Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Sunday, July 6, 2008

TV9 Teruskan Misi Terbit Program Agama


Oleh Zul Husni Abdul Hamid (Berita Harian)


GENRE BARU: Mampukah peserta ini membawa kelainan untuk komersialkan irama nasyid?
Akademi al-Quran berakhir malam ini, Akademi Nasyid bawa revolusi baru bermula Sabtu.

SAAT program realiti bercorak hiburan mendominasi saluran televisyen, TV9 mengorak langkah berani dengan menongkah arus apabila menerbitkan pelbagai program realiti berbentuk keagamaan.

Meskipun pada permulaan agak kabur dengan penerimaan masyarakat, apatah lagi program yang disajikan kepada penonton agak lari daripada aspek komersial namun masing-masing percaya, Tuhan akan memberikan jalan untuk mereka yang menegakkan agamanya.

Hampir dua tahun beroperasi, TV9 kini boleh berbangga apabila mempunyai dua program ‘signature’ iaitu Akademi Al-Quran yang bakal mengakhiri musim ketiga malam ini manakala Cari Menantu baru saja melabuhkan musim keduanya, baru-baru ini.

Terbaru, TV9 bakal menghidangkan Akademi Nasyid, membawa misi untuk memperkayakan kualiti genre itu dan tidak mahu terbelenggu dengan muzik nasyid biasa.

Penerbit Akademi Al-Quran, Shukri Ibrahim berkata, ketika diberikan kertas kerja untuk menerbitkan program itu dia sendiri kebingungan.

“Program ini bermain dengan fakta, apatah lagi ia berasaskan kepada ayat suci al-Quran justeru kami perlu menyajikan corak persembahan yang tepat dan menjauhi apa saja kesilapan yang boleh membangkitkan pertikaian.

“Tanggungjawab ini berat dan langkah pertama adalah mendapatkan pandangan mufti supaya corak program yang dirangka tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.

Tidak mahu dilihat statik yang memungkinkan penonton bosan dengan persembahan, Shukri memanfaatkan pengalaman sebagai penerbit program hiburan dengan menyuntik elemen itu dalam penerbitan Akademi Al-Quran.

Menyuntik elemen produksi pelbagai kamera yang kerap digunakan dalam penerbitan program hiburan, teknik yang sama juga digunakan dalam penerbitan Akademi Al-Quran.

“Kami menggunakan enam kamera menjadikan musim ketiga ini lebih berbeza, berbanding musim pertama yang agak kaku.

“Malah dari segi karakter dan kritikan juri, kami dapati mereka lebih selesa dan pengalaman itu menjadikan program ini matang dengan pelbagai maklumat yang turut membantu penonton untuk lebih memahami isi kandungan al-Quran serta cara pembacaannya,” kata Shukri.

Pengurus Penerbitan Hiburan, Prime Work Studio Media Prima Berhad, Fazliniza Zakaria pula berpendapat, Akademi Al-Quran menyuntik pelbagai pembaharuan berbanding acara tilawah dan musabaqah yang konvensional.

Tidak hanya membiarkan penonton disajikan dengan bacaan al-Quran serta memahami isi kandungannya menerusi terjemahan, pengetahuan penonton juga diperluaskan menerusi penggunaan pelbagai istilah berkaitan pembacaan yang mudah difahami.

“Juri memainkan peranan penting dalam meningkatkan pemahaman penonton, malah membantu mereka lebih memahami apa yang disampaikan sekali gus mempertingkatkan mutu bacaan ayat suci,” katanya.

Akui Shukri, jika musim pertama dulu kebanyakan peserta lebih tertumpu kepada mereka yang memasuki sekolah tahfiz dan agama, kini program itu semakin diminati apabila ia turut menjadi tumpuan umum.

“Apa yang mengujakan kami, mat motor juga mencuba nasib dengan menyertai uji bakat pertandingan ini sekali gus memperlihatkan Akademi Al-Quran sebagai wadah tontonan baru yang mengesankan,” katanya.

Komersialkan irama nasyid

MENYEBUT irama nasyid, apa yang terbayang di mata umum ialah imej penyanyi berbaju Melayu atau jubah, tampil berkopiah yang membentuk identiti kebanyakan penggiat genre itu.
Bagaimanapun, menerusi Akademi Nasyid yang akan memulakan siarannya di TV9 pada 21 Jun ini, irama nasyid yang bertindak sebagai satu cabang dakwah dalam menyebarkan syiar Islam dipersembahkan dalam bentuk komersial dan kontemporari.

Fazliniza bersama penerbit program itu, Azman Abdul Ghafar banyak membuat rujukan dan berdasarkan kajian, nasyid tidak hanya tertakluk kepada melodi semata-mata sebaliknya ia lebih memfokus kepada mesej yang ingin disampaikan.

Penerimaan peminat terhadap irama nasyid yang kontemporari dan mempunyai unsur muzik universal seperti dipopularkan Raihan menerusi Allahu, Intifada oleh Rabbani malah Alhamdulillah nyanyian Too Phat membuatkan mereka ingin melihat genre itu diteroka dengan lebih berani lagi.

“Kami banyak merujuk kepada Festival Nasyid Indonesia yang jauh lebih ke depan, malah berani meneroka dengan membawakan irama nasyid bersama muzik kontemporari tetapi mengekalkan lirik yang membawakan unsur ketuhanan.

“Barangkali mereka di sana lebih berani, namun apa yang cuba disampaikan menerusi Akademi Nasyid akan membawa revolusi baru dalam genre itu “Kami cuba membentuk program ini bukan sebagai sebuah pertandingan nasyid, sebaliknya mengajak penggiat irama ini supaya berani meneroka sesuatu yang baru.

“Mungkin dulu platform untuk mengkomersialkan irama ini terbatas, tetapi minat terhadap irama ini semakin meluas dan ramai yang menanti peluang justeru TV9 membentangkan platform itu,” kata Fazliniza.

Akui Azman, sambutan yang diberikan terhadap sesi uji bakat pertandingan itu juga di luar jangkaan. Di Kuala Lumpur saja, ia disertai lebih 1,000 peserta dan mereka menjangkakan lebih 4,000 mencuba nasib dalam pertandingan itu.

“Mungkin kerana ini musim pertama, ramai yang masih tertanya-tanya bagaimana corak serta perjalanan program ini. Namun, kami yakin reaksi terhadap program ini akan berkembang apabila disiarkan nanti, sekali gus membantu irama nasyid untuk bertapak lebih kukuh dengan mesej mengesankan,” katanya.

Menjadikannya lebih kontemporari, tenaga pengajar pertandingan ini juga dibarisi penggiat seni arus perdana menjadikan program ini terbuka dan mampu menjangkau penonton yang pelbagai.
“Nasyid acap kali disogokkan dengan imej serta melodi yang stereotaip tetapi peminat hari ini mahukan sesuatu yang relevan serta selari dengan selera muzik moden.

“Kami kagum dengan usaha yang dibawakan Yasin apabila mengetengahkan pengaruh Arab dan universal dalam lagu nyanyiannya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More