Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Wednesday, December 17, 2008

Syifa album 2

Syifa rela dibayangi Hijjaz


Pelancaran album kumpulan Syifa, Seri Hati disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Ahmad Kabit (tiga dari kiri).


MELETAKKAN sasaran sebagai kumpulan nasyid unggul yang mampu membuat persembahan di peringkat antarabangsa seperti senior mereka, Raihan merupakan fokus jangka masa panjang bagi kumpulan nasyid yang baru bertatih mencipta nama, Syifa ini.

Kumpulan Syifa yang membawa maksud penawar itu sebenarnya bukanlah baru dalam bidang hiburan.

Hakikatnya, menjuarai pertandingan Festival Nasyid Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiga tahun lalu, umpama langkah permulaan bagi ketujuh-tujuh ahlinya mengorak langkah sebagai penyanyi nasyid berkumpulan.

Pernah muncul dengan album pertama yang diterbitkan tahun lalu, Sinar Kedamaian, kini Syifa muncul pula dengan album kedua berkonsepkan pop tradisional kreatif, Seri Hati.

Menggabungkan elemen-elemen muzik seperti inang, Arab nusantara, Banggera, pop Arab dan pop Melayu, album terbitan RBI Vision Resources itu diedarkan oleh Hijjaz Marketing And Distributors, syarikat milik kumpulan nasyid yang tidak asing lagi, Hijjaz.

Vokalis utama Syifa, Mohd. Zahidan Omar, 28, atau Zidan ketika ditemui memberitahu kumpulannya itu begitu bertuah kerana bermentorkan kumpulan Hijjaz yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik terutamanya nasyid.

“Sebenarnya, kalau kami tidak beritahu pada sesiapapun label kumpulan kami, umum pasti dapat meneka berdasarkan imej dan pembawakan Syifa hampir sama dengan imej yang dibawa oleh Hijjaz,” kata Zidan.

Malah, kopiah yang digunakan oleh kesemua ahli kumpulannya juga sama seperti kopiah yang pernah diperkenalkan oleh kumpulan Hijjaz tidak lama dahulu. Bezanya, kopiah yang digunakan oleh Syifa diperolehi dari Bangladesh.

Diacukan persoalan mengenai imej mereka yang seakan meniru penampilan Hijjaz, kata Zidan kumpulannya perlu menggunakan nama Hijjaz untuk membolehkan mereka dikenali umum bagi memudahkan langkah mereka bertapak di persada seni.

“Memang kami gunakan nama Hijjaz untuk lebih dikenali ramai. Sebab rasanya kami perlu tumpang populariti ‘otai’ kami untuk naikkan nama Syifa dan memperkenalkan diri.

“Hijjaz adalah mentor kami dan kami rasa tidak ada masalah mengikut langkah mentor kami tambahan pula Syifa sendiri memang meminati Hijjaz sejak dahulu lagi.

“Tak sangka pula sekarang kami boleh bekerjasama dengan kumpulan Hijjaz dalam menghasilkan album,” kata Zidan lagi.

Enam anggota Syifa yang lain ialah Izat, 37, Afnan, 29, Azwan, 30, Din, 27, Nass, 26, dan Samry, 31 di mana kesemuanya merupakan petugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menariknya, kebanyakan lagu yang terkandung dalam album Seri Hati merupakan air tangan anggota Hijjaz yang masing-masing berpengalaman luas melahirkan lagu-lagu berunsur Islamik.

Antanya ialah Seri Hati dan Cuba Renungkan ciptaan Isman Isam, Syafuna Ya Rasullah (Munif Ahmad), Hukum Hakam (AbaiOs), dan tiga lagu ciptaan Ariffin Rahim iaitu Pasti Berpunca, Mentari Hidup serta Milik Mu selamanya.

Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album tersebut ialah Jalan Pulang ciptaan Saiful dari kumpulan Mestica, Keluarga Bayangan Syurga (Fadzli-FarEast) dan Nikmat Kurnia ciptaan Frizdan.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More