Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Saturday, February 14, 2009

Album Terbaru Dalam Masa Terdekat-Devotees



Bukan tidak mahu popular - Devotees

>>devotees<<



Nama kumpulan nasyid Devotees agak kurang dikenali oleh sesetengah khalayak. Tetapi bagi mereka yang mengikuti perkembangan nasyid, kumpulan tersebut memang sudah tidak asing lagi kepada khalayak.


Dibarisi oleh empat anak muda, anggotanya Adi Akmal, Halim, Muhammad dan Shauqi masih lagi terus bertahan dalam kesuraman industri muzik tempatan khususnya nasyid.


Kumpulan ini yang pernah menghasilkan album pada tahun 2005 ini masih lagi percaya bahawa mereka mempunyai peminat setia. Album terdahulu yang terjual sebanyak 10,000 unit mendapat sentuhan komposer Yasin, Wahida, Along Exist, anggota Hijjaz dan ramai lagi.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, anggota Devotees percaya apa yang telah mereka sajikan kepada peminat bukannya sesuatu yang tidak berkualiti, tetapi lebih kepada masalah teknikal seperti kekurangan promosi.


Mungkin ada skeptikal bahawa artis nasyid sahaja mesti memakai songkok atau lebai menutup kepala.


"Bagi kami itu bukanlah satu isu yang bsar kerana setiap orang terutamanya ahli kumpulan nasyid mempunyai identiti tersendiri," ujar Adi lagi.


Jelasnya, Devotees tidak mahu mempolemikkan isu ini memandangkan mereka akan tampil dengan album terbaru sedikit masa lagi. Album yang lebih berkonsepkan pop balada ini akan memuatkan sebanyak 10 buah lagu.


"Kami sudahpun merakamkan enam lagu dan masih lagi mencari masa yang sesuai untuk menyiapkan sepenuhnya album terbaru yang akan berada di pasaran pada tahun ini.


"Lagipun kami terpaksa mencari masa yang sesuai kerana saya dan Halim masih lagi menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Shauqi dan Muhammad pula sudah bekerja," ujar anak tunggal ini.


Jelas anak saudara kepada penyanyi Salwa Abdul Rahman ini lagi, untuk album kali ini mereka mahu mengangkat tema kemanusiaan sebagai teras perjuangan memandangkan tema seperti ini jarang digunakan. Untuk album kedua ini, mereka akan mengunakan khidmat Yasin, Salleh Brothers, Dakmie dan ramai lagi komposer hebat dalam pembikinan album tersebut.


Bukan sekadar boleh menyanyi, tetapi boleh mencipta lagu. Itulah gambaran kepada kegigihan Adi untuk terus berjaya dalam bidang ini.


"Kalau boleh saya hendak menjadi insan serba boleh," jelas anak jati Johor ini.


Persembahan di luar negara


Mungkin ramai yang masih lagi tidak mengenali kumpulan ini dan menganggap mereka adalah kumpulan baru. Tetapi hakikatnya mereka sudahpun menjejakkan kaki ke luar negara melakukan persembahan.


"Sebelum ini kami telah bekerjasama dengan Ez Qurban dan secara tak langsung dapat membuat persembahan ke Singapura dan Kemboja.


"Melihatkan sambutan yang diterima di sana, saya sendiri dapat rasakan bahawa memang kedatangan kami diterima baik oleh masyarakat tempatan di sana," ujar Halim.


Bagi mahasiswa UIAM ini, pengalaman membuat persembahan di negara orang sememangnya sangat menarik dan memberikan kepuasan kepada dirinya. Bukan menidakkan sambutan orang tempatan, tetapi masyarakat di luar sana lebih menghargai mereka.


Jelasnya, apa yang lebih membanggakan ialah Devotees menjadi artis Malaysia pertama yang membuat persembahan di Kemboja. Walaupun hanya membuat persembahan di masjid sahaja, tetapi memori itu tetap akan dikenang sampai bila-bila.


"Ramai yang mengatakan bahawa seseorang ahli nasyid mesti hebat dari segi pengetahuan agamanya dan mungkin juga boleh dipanggil ustaz. Tapi hakikatnya kami tetap sama seperti insan lain.


"Insya Allah kami tetap akan berkongsi apa saja dengan peminat. Bagi saya nasyid bukan sekadar untuk berdakwah tetapi juga untuk hiburan orang ramai dan diri sendiri," ujar Halim lagi.


Muhammad, jejaka yang berasal dari Ranau, Sabah ini pula mahu irama nasyid lebih diterima ramai memandangkan nasyid bukan lagi sesuatu yang dipandang konservatif seperti dahulu.
"Mungkin ada yang melihat kejayaan sesetengah kumpulan nasyid selama ini bergantung kepada kekuatan lagu yang mereka persembahkan dan publisiti yang mereka terima.


"Tetapi cuba lihat lambakan kumpulan nasyid yang ada hari ini. Kadang kala mereka langsung tak diberi peluang untuk muncul di televisyen dan lagu-lagu yang mereka bawa juga jarang dimainkan di radio," ujar Jurutera Ujian di sebuah syarikat terkemuka ini.


Jelasnya masih ada lagi pihak yang menganggap bahawa irama nasyid berada di kelas bawahan dan masih wujud double standard kepada jalur muzik jenis ini.


Ini bukanlah satu isu yang baru kerana tidak banyak program-program yang melibatkan kumpulan nasyid. Tapi, dengan kewujudan saluran agama di sesetengah stesen televisyen sedikit sebanyak telah merancakkan lagi irama nasyid ke peringkat yang lebih tinggi.


Kadang kala tidak semua peluang akan terus dihidangkan di depan mata, hanya mereka yang benar-benar bijak mencuri peluang dapat terus kekal dalam industri muzik tanah air. Bila diasak pertanyaan mengapa kumpulan mereka tidak popular, Shauqi berkata mungkin nama Devotees tidak gah seperti kumpulan nasyid yang lain.


Tetapi mereka masih mempunyai peminat yang mengikuti perkembangan mereka sejak diawal kemunculan dahulu.


"Siapa kata kami tidak mempunyai peminat? Kebanyakan peminat kami terdiri daripada pelajar sekolah dan penuntut pusat pengajian tinggi yang masih setia bersama kami.


"Kami juga mempunyai kelab peminat yang dinamakan Kerabat Devotees yang sehingga kini sudah mempunyai 1,500 orang ahli sejak di awal penubuhannya lagi.


"Pelbagai aktiviti yang telah kami buat khusus untuk peminat setia kami termasuklah mengadakan perjumpaan setiap tahun. Kali ini kami akan mengumpulkan peminat kami semasa pelancaran album nanti," jelas pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi ini.


Pelbagai perancangan yang telah mereka atur untuk menghargai sokongan yang diberikan oleh peminat merangkumi aktiviti-aktiviti motivasi. Jelas Shauqi, Devotees juga akan terlibat dalam beberapa program motivasi yang lebih bersifat ilmiah.


"Kami juga sedar cabaran-cabaran yang bakal Devotees hadapi kelak. Oleh itu kami mahukan perjuangan kami dalam arena muzik tanah air terus mendapat sambutan dari orang ramai," tutur Shauqi menutup perbualan.



Oleh SY MUSSADDAD MAHDI

Foto HAFIZH KHOSMAT



sumber daripada utusan.com.my

for more details please visit at http://www.devo.com.my/index.htm

syukran jazilan..

>>arekeyz_info<<

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More