Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Sunday, April 26, 2009

HIJJAZ Taja Umrah

BERITA @ FN

Timur: Hijjaz Taja Umrah Madihah Sekeluarga

Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my

CHE BAHROM menghulurkan pasport antarabangsa untuk Nik Nur Madihah sambil diperhati
ibunya, Mariani dan Ismen Nadim (dua dari kanan) yang menaja pakej umrah.

Pelajar cemerlang anggap hadiah paling berharga

KOTA BHARU: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, semalam menerima tajaan menunaikan ibadat umrah bersama ibu bapanya daripada Hijjaz Trade Corporation Sdn Bhd (Hijjaz).

Untuk tujuan perjalanan itu, tiga beranak terbabit sambil diiringi Pengarah Urusan Hijjaz, Ismen Nadim Isam, menyiapkan pasport antarabangsa masing-masing di Jabatan Imigresen Kelantan.

Kehadiran mereka disambut Pengarah Imigresen Kelantan, Che Baharom Hamzah, yang turut membantu memudahkan proses berkenaan sebelum menyerah dokumen perjalanan itu kepada Nik Nur Madihah dan ibu bapanya, Nik Mohd Kamal Husin, 41, dan ibunya, Mariani Othman, 40.

Nik Nur Madihah berkata, peluang mengerjakan ibadat umrah yang ditawarkan oleh Hijjaz, adalah hadiah yang amat berharga dan tidak pernah dibayangkan selama ini.

“Saya bersyukur dan gembira kerana diberi peluang ini. Saya tidak menduga dapat ke tanah suci ketika usia muda ini kerana selama ini tidak terfikir berpeluang ke luar negara, apatah lagi ke Makkah.

“Peluang menunaikan ibadat umrah di Makkah adalah kesempatan mendekatkan diri dengan Allah dan berdoa supaya diberi kekuatan dan petunjuk memilih peluang melanjutkan pelajaran yang diterima setakat ini,” katanya yang menarik perhatian ramai berikutan pencapaian 20A dalam SPM 2008.

Nik Nur Madihah berkata, beliau kini masih mempertimbangkan tawaran biasiswa penuh yang diterimanya daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Petronas, sebelum memilih universiti luar negara untuk melanjutkan pelajaran.

“Agak sukar bagi saya membuat keputusan kerana tiga penaja berminat menawarkan biasiswa penuh bagi kos melanjutkan pengajian saya ke luar negara. Malah pagi tadi, saya menerima borang tajaan Mara, namun belum ada keputusan dan diharap apabila di Makkah nanti, saya mendapat petunjuk Allah.

“Saya kini dalam persimpangan antara melanjutkan pelajaran peringkat A Level di United Kingdom atau Jordan. Peluang sudah ada, cuma saya hanya tinggal buat pilihan. Saya tahu semua penaja sama ada kerajaan negeri, syarikat korporat dan pihak lain menaruh harapan tinggi terhadap saya untuk berjaya dalam bidang pengajian.

“Saya tak nafikan sejak berita kejayaan saya dalam SPM itu disiarkan media massa, rezeki saya mencurah-curah dan saya berjanji akan terus berbakti kepada negara dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ismen Nadim berkata, Hijjaz Trade berbesar hati dapat menaja kunjungan umrah kepada Nik Nur Nadihah yang menjadi individu pertama menerima tajaan itu berikutan kejayaan cemerlang dalam SPM 2008.

“Ketika Hijjaz Trade ditubuhkan, kami memang sudah berniat menaja mana-mana pelajar yang kurang berkemampuan termasuk anak yatim, menunaikan umrah. Perancangan ini sepatutnya dibuat mulai 2010 tetapi dipercepatkan ekoran kemunculan Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang dari Maahad Muhamaddi ini.

“Kami menghargai kejayaannya kerana mahu beliau dicontohi pelajar Melayu lain terutama mereka yang berasal dari keluarga kurang bernasib baik, yang kemiskinan tidak boleh menjadi penghalang kepada kejayaan dalam pelajaran,” katanya.

Sumber : Berita Harian

BERITA @ FN

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More