Saturday, May 2, 2009

Kisah Akhil Hayy Dan Waheeda

BERITA @ FN

Keseronokan beristeri baru

Dalam alim dan pancaran keilmuan agama di wajahnya, Ustaz Akhil terbukti seorang yang sukar diramal, penuh kejutan dan pandai membikin gimik

KELMARIN, pada penghujung hari ke-30 di bulan April, sebuah kisah dan serangkai teka-teki hampir terungkai. Semuanya hampir terjawab dan kami menyangka segala spekulasi yang menghambat hubungan 'intim' dua nama popular, Akhil Hayy dan Waheeda, bakal bertemu titik kesudahan.

Pen dan kertas di tangan pun sudah diletakkan dalam keadaan cukup bersedia untuk menari-nari membungakan rentak pengakuan. Perakam suara bahkan kamera video media elektronik juga sudah di garisan bermula untuk merekodkan satu pengakuan yang dikira sangat eksklusif daripada bibir seorang selebriti agama popular.

Dia ustaz yang dianggap paling cool, tampan apatah lagi sejarah lamanya pernah bergelar penyanyi rock menguatkan lagi auranya untuk diselami dalam-dalam tentang gosip kononnya dia sudah bernikah dengan penyanyi dan pelakon popular, Waheeda.

Di saat penasyid serta penceramah motivasi popular itu membuka intro bicara, di sebelahnya duduk wanita yang dimaksudkan.

Akhil Hayy dan Waheeda persis sepasang merpati berlainan warna, seorang berjubah putih dan seorang lagi berjubah hitam. Mereka kelihatan cukup bersedia untuk mengumumkan tentang hubungan yang selama ini terkunci rapat.

"Hari ini, saya mahu membuat satu deklarasi yang eksklusif untuk semua yang hadir ke majlis ini. Hari ini juga ada keluarga Waheeda di sini. Jadi, saya mahu membuat satu pengakuan yang diharap-harapkan akan membuka segala persoalan demi untuk kebaikan bersama," luah Akhil, ikon eksklusif pertama Astro Oasis, penuh berkeyakinan.

Ketika itulah, darah para petugas media yang hadir bagaikan menyimbah deras ke muka. Masing-masing sudah merangka-rangka apa tajuk untuk laporan eksklusif yang bakal dipaparkan sebagai berita utama keesokan harinya.

Ditambah dengan pesanan orang kuat Oasis, Izelan Basar bahawa Akhil akan membuat pendedahan mengejutkan, bukanlah kesalahan mutlak media yang hadir kalau mereka pantas mencorak berita seperti itu di minda.

Akhil meneruskan pengakuan. Sambil matanya mengerling ke arah Waheeda, dia berkata, sepatah demi sepatah.

"Inilah isteri saya, Honey Al-Zahra. Isteri saya menerusi program Cafe' Akhil Hayy yang sudah masuk musim kedua dan sedang ditayangkan menerusi Astro Oasis bermula 29 April, baru-baru ini."

Seperti guruh yang tidak jadi menggemparkan alam dengan titis hujan, semua yang hadir jadi terkedu dan masing-masing menghembuskan nafas, dalam rasa yang bercampur-campur. Rupanya kami hanya dipermain-mainkan. Akhil sengaja mahu menduga dengan menjentik emosi media yang sedari awal sudah dia sedari. Wartawan hadir untuk mencari berita 'panas' sebegini.

Ternyata, dalam alim dan pancaran keilmuan agama di wajahnya, Ustaz Akhil terbukti seorang yang sukar diramal, penuh kejutan dan pandai membikin gimik.

"Inilah kejutan yang saya katakan kepada Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basir sejak awal-awal lagi. Bukan ada kejutan lain pun," katanya berseloroh.

Bagaimanapun, Akhil tetap diasak. Persoalan tentang sejauh mana kesahihan perkhabaran kononnya Akhil dan Waheeda sudah bernikah di satu lokasi pada satu tarikh yang dirahsiakan di Selangor menjadi soalan seterusnya yang diajukan.

Lebih meyakinkan media, sumber yang menyatakan khabar angin itu ialah seorang yang juga bergelar ustaz popular dan orang yang sangat dikagumi atas pencapaian dan keperibadian mulia.


BARISAN karyawan siri Cafe' Akhil Hayy (dari kiri) Afiq (AF5), Izelan dan Mimi Haris yang turut 'mengahwinkan' Akhil dengan Waheeda.

"Gosip tentang kami sebenarnya sudah jadi macam tsunami. Saya ada hak, Waheeda ada hak (menyimpan privasi). Dan media juga ada hak untuk bertanya.

"Komen saya mengenai perkara itu senang sahaja. Tuhan melaknat orang yang membangkitkan fitnah walaupun ketika sedang tidur. Kondisi saya ini ibaratnya saya berada di dalam sebuah rumah yang bertutup dengan sekadar berkain pelikat, tidak berbaju. Ketika itu datanglah tetamu yang mengetuk pintu dan memberi salam berkali-kali.

"Dalam Islam, apabila tuan rumah tidak membuka pintu serta tidak menyahut tiga kali salam yang diucapkan tetamu, maknanya tuan rumah tidak mahu menerima tetamu itu. Dalam keadaan saya sekarang, ibaratnya, rumah saya itu sudah diketuk bagai nak roboh dan tetamu tidak diundang itu masih tidak mahu balik. Biarlah, kalau benar apa anda maksudkan, saya akan umumkan satu masa nanti," beritahu Akhil seolah-olah berceramah dalam nada yang berbasa-basi, masih bermain-main.

Dalam nada guraunya, Akhil masih berpesan, walaupun bukan pembuat fitnah tetapi orang yang mengkhabarkan fitnah tetap tergolong dalam kalangan dilaknat Tuhan.

Terpanggil untuk sama memberikan penafian, Waheeda yang sekadar tersenyum dan mendiamkan diri di sebelah Akhil tampil dengan alasan begini.

"Orang yang beri maklumat itu ustaz ya? Adakah anda tahu betapa banyaknya dengki-mendengki wujud di kalangan orang dalam dunia nasyid?" tanyanya ringkas, sekali gus mendedahkan selumbar yang membawa nanah ke sekitar kerjaya artis nasyid.

Apa yang menghairankan kami ialah tidakkah penglibatan Waheeda sebagai isteri Akhil menerusi program berkenaan tambah menguatkan kewujudan hubungan istimewa itu. Belum lagi soal kesudian bergambar berdua-duaan dengan aksi akrab. Meskipun berkali-kali bibir menafikan, bukankah gambar tidak pernah berbohong?

"Kenapalah media gemar tonjolkan perkara-perkara yang difikirkan tidak baik. Isu nikah, isu tengok wayang berdua tetap diperkatakan walaupun berkali-kali kami cakap.

"Kami tetap manusia yang tidak terkecuali daripada kesilapan, tapi biarlah kesilapan itu antara kami dengan Tuhan. Bagi saya biarlah, dunia ini memang neraka bagi orang beriman. Bukan nak kata saya orang kuat iman sangat, tapi dunia ini ialah syurga bagi orang kafir," getus Waheeda.

Menyokong pendapat 'isteri barunya' itu, Akhil pula menyifatkan penglibatan Waheeda menerusi Cafe' Akhil Hayy adalah sebagai pelengkap. Bukannya dengan tujuan terus menghangatkan cerita cinta mahupun mengiakan gosip yang sedang ingin dikorek.

Dakwah, katanya, tidak hanya bersandarkan al-Quran, hadis dan hukum syariah tetapi harus ada pendekatan kemanusiaan dan psikologi.

"Saya kenal dia, saya melihat Waheeda boleh buat itu semua kerana dia juga seorang fasilitator. Selebriti seperti Waheeda juga hanya boleh dibilang dengan jari, dia tunaikan apa yang sepatutnya ditunaikan olehnya. Sebab itulah saya ambil dia berlakon dalam program ini," katanya.


AKHIL dan Waheeda, adakah mereka sekadar kawan?

Menjadi 'bahan' di tengah ruang sembang masyarakat, ia bukanlah sebab untuk mengelak bertemu media atau khalayak yang sepatutnya mereka ziarah.

"Saya hadir juga kerana berani berdepan anda semua. Saya kira anda semua juga berani kerana bertanyakan soalan yang berani. Kami datang ke sini bukan untuk merayu sebaliknya menyeru.

"Kalau difikirkan, adalah mustahil bagi pasangan digosipkan telah bernikah boleh tampil bersama, mengumumkan bahawa mereka sebenarnya pasangan suami isteri dalam sebuah program TV.

"Dalam dakwah, saya berpandukan maksud satu ayat, 'Sampaikanlah walau sepotong ayat'," luah Akhil tidak berhenti berhujah.

Soal menjatuhkan imej seorang ustaz, Akhil tidak langsung pedulikan setitis titik hitam yang cuba mengotori jubah putihnya.

Persoalannya, bukan dia yang mencipta gosip berkenaan sebaliknya dia ialah individu yang cuma mengikut rentak yang ditarikan oleh pihak lain.

"Orang seperti saya tidak akan menghentikan dakwah atau amalan murni hanya kerana ada yang cuba menyekat. Media kena faham, banyak lagi benda lain yang boleh ditulis.

"Saya tak minta digelar ustaz. Bila masuk ke dunia seni dengan imej begini, sedikit ilmu agama, orang panggil ustaz. Saya hargai, setidak-tidaknya saya boleh mencermin diri sendiri," kata Akhil tidak gentar dengan segala tohmah yang menuduh itu dan ini.

Daripada butir bicara pasangan berkenaan, pada akhir sidang media, satu sahaja kesimpulan yang boleh diterjemahkan.

Semuanya kekal sebagai teka silang kata. Masih tiada jawapan atau sekurang-kurangnya pembayang yang mampu menemukan kita semua dengan jawapan yang sahih. Ada bagaikan tiada, tiada bagaikan ada.

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

Sumber : KOSMO !

BERITA @ FN

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More