Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Thursday, August 6, 2009

"Kasih sayang itu datang daripada Allah dan bukannya boleh dibuat-buat." Ujar Akhil Hayy

BERITA @ FN

Akhil: Anak-anak amat menyukai Waheeda

Akhil puji keperibadian Waheeda. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU

WALAUPUN penyanyi dan penceramah bebas Akhil Hayy masih cuba menyorok tentang status hubungannya dengan penyanyi dan pelakon Waheeda, namun dia tidak menyembunyikan yang anak-anaknya amat menyukai penyanyi irama ‘World Music’ itu.

“Anak-anak amat menyukai dia kerana dari dulu lagi mereka minat cara dia..,” kata Akhil yang juga dikenali sebagai Ustaz Akhil itu.

Akhil tidak menolak yang anak-anaknya menggemari Waheeda kerana sikapnya yang humor dan pandai mengambil hati.

“Yang kita tahu, Waheeda ada ramai peminat kecil kerana dia seorang yang kelakar dan membawakan mesej yang baik iaitu wanita bertudung dan menjaga auratnya.

“Dia juga merupakan salah seorang artis yang tiada masalah untuk dijadikan contoh. Lagipun, dalam dunia ini tiada siapa yang ‘perfect’.

“Saya pun rapat dengan dia,” ujar Akhil dengan jujur.

Biarpun Akhil belum memberikan reaksi yang menunjukkan dia akan mendirikan rumah tangga dengan Waheeda dalam masa terdekat ini, anak-anak mungkin akan menjadi pengikat hubungan mereka berdua setelah anak-anak seolah-olah memberikan ‘lampu hijau’ kepada mereka.

Akhil akui atas sebab itu, dia tidak menghalang anak-anaknya untuk menghubungi penyanyi yang didakwa sedang sakit itu.

“Anak-anak sentiasa berhubung dengan dia kerana kadangkala dia menjadi pemberi semangat untuk mereka belajar.

“Dia pula berkata amat merindui untuk menziarahi anak saya.

“Kasih sayang itu datang daripada Allah dan bukannya boleh dibuat-buat.

“Secara automatik Allah beri anak-anak suka pada dia,” jelas bekas vokalis kumpulan D’Riyadh ini.

Akhil tidak lokek untuk berkongsi cerita tentang bagaimana anak-anaknya mula rapat dengan Waheeda setelah penyanyi itu datang beraya ke rumahnya pada beberapa tahun dulu.

“Semasa dia datang beraya ke rumah saya di Ipoh, anak-anak saya memberikan cenderamata kepadanya tetapi waktu tu saya dah nampak muka bekas isteri saya, Maizawati seolah-olah curiga sedangkan dia datang sebagai selebriti.

“Apa-apa pun soal jodoh ini saya serahkan kepada Tuhan..kalau ada jodoh saya terima sahaja,” kata Akhil sambil tersenyum.

Akhil berkata sejak akhir-akhir ini ramai yang seolah-olah mendoakan dia dan Waheeda berkahwin apabila persoalan yang sama ditanya kepadanya iaitu ‘kahwin’.

“Orang pun dah doakan..kalau itu takdirnya, saya akan bagitahu,” jelas Akhil bersungguh-sungguh yang tidak pernah lekang dengan senyuman di bibir.

Dua orang anak (kiri dan kanan) hasil perkahwinan Maiza dan Akhil.

Dalam masa yang sama, Akhil masih sempat memberikan komen tentang penglibatan bekas isterinya, Maizawati Zainal atau Maiza sebagai duta Koleksi Tudung Myza dan BondaMama yang dikelolakan oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah.

“Dia (Maizawati) masih dalam edah dan jika mengikut hukum agama dia sepatutnya memberitahu bekas suaminya (Akhil) dan hanya duduk di rumah.

“Tetapi apabila dia melakukan keputusan itu, saya hanya serah kepada ‘tuan punya dunia’ (Allah),” kata Akhil dalam nada tegas.

Namun, sebelum Maiza memberitahu yang dia sudah tidak mahu berurusan dengan Akhil lagi lalu bagaimana dia mahu meminta izin kepada Akhil.

Sementelah, niat Maiza hanya ingin mencari pendapatan lebih bagi menanggung dirinya, dua orang anak dengan suami pertama dan ibunya termasuk minyak kereta dan hutang perniagaannya.

Tambahan pula, Akhil sendiri mengaku yang dia hanya memberikan RM2,000 untuk bayaran edah, RM250 untuk seorang anak dan bayaran kereta sebanyak RM500 sebulan selagi Maiza tidak berkahwin.

Ditanya adakah dia ada bertanya khabar dengan jandanya itu, Akhil juga menidakkannya.

“Tiada..masing-masing hanya membuat kerja masing-masing tetapi dia tetap ibu kepada anak-anak saya. Saya hanya mengikut nawaitu (niat) saya.

“Cuma Allah sahaja yang tahu. Sekarang, tiga orang anak saya berada di bawah jagaan saya dan saya akan fokuskan pada anak-anak dahulu,” tambahnya.

Disoal pula, walaupun Maiza tidak meminta izin darinya, adakah Akhil bersetuju dengan karier baru bekas isterinya itu?

“Saya sebenarnya tidak suka dengan apa yang dia lakukan. Ikutkan dari dulu lagi dia nak buat kerja seperti itu tetapi saya yang tak izinkan. Jadi sekarang dia sudah keluar dari kepompong..itulah yang terlepas.

“Kalau nak tahu, itulah Maizawati Zainal. Namun, saya hanya berpesan kepadanya supaya menjaga diri, jangan bersolek tebal dan duduk di rumah dalam tempoh edah ini,” akhiri Akhil yang mengalunkan lagu ‘Sesungguhnya’ yang dipopularkan oleh Raihan ketika rakaman program ‘1001 Inspirasi Raikan Kemenangan’.

Program itu merupakan program istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disiarkan pada 20 September depan, Ahad, pukul 1.30 petang di saluran Astro Oasis.

Wajah Akhil juga akan muncul menerusi drama bersiri 'Cinta Sempurna' mulai 17 Ogos ini, setiap Isnin hingga Jumaat pukul 3 petang di saluran yang sama.

Sumber : MSTAR


BERITA @ FN





Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More