Tuesday, September 1, 2009

SHAHID BERHASRAT INGIN BERSAMA DENGAN RABBANI

BERITA @ FN

Shahid warisi kemerduan suara Asri Rabbani

MUNGKIN umum lebih mengenali Rabbani yang merupakan kumpulan nasyid popular sehingga kini, tetapi umum mungkin kurang mengenali anak muda yang bernama Abdul Shahid Mohd Zamiluddin ini.

Senang disapa dengan panggilan Shahid, anak muda berusia 25 tahun ini sebenarnya merupakan anak didik atau protege kepada arwah Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang telah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 14 Ogos lalu.


Shahid ingin meneruskan perjuangan Ustaz Asri bersama Rabbani, namun bimbang untuk menyuarakan hasrat hatinya itu. - foto mStar Online

Biarpun gayanya tidak seperti Ustaz Asri, tetapi vokal serta aura mentornya itu dapat dirasai melalui nyanyiannya ketika mendengar Shahid menyanyi bersama kumpulan Rabbani pada majlis berbuka puasa di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Kemerduan serta lenggok nyanyiannya tidak ubah seperti Asri yang merupakan penyanyi utama kumpulan Rabbani.

Menurut Shahid, dia mengenali mentornya itu ketika sekolahnya menjemput Rabbani mengadakan konsert serta pernah menyertai kem motivasi bersama Ustaz Asri.

"Saya mula mengenali Ustaz Asri ketika Rabbani dijemput untuk mengadakan konsert di sekolah Maahad Tahfiz Al-Futhail, Kelang.

"Ketika itu saya baru berumur 17 tahun dan menghadiri satu sesi ujibakat bersama Rabbani ketika itu, semenjak itu saya sering dipanggil untuk menyanyi bersama Rabbani hingga kini.

"Sejak itu juga saya mula rapat dengan Ustaz Asri dan belajar vokal dengan dia. Dia mengajar saya semua teknik nyanyian yang betul kepada saya dan saya memang betul-betul nak belajar kerana memang meminati Ustaz Asri," kata Shahid yang menggangap mentornya itu sebagai abangnya sendiri.

Shahid turut berkongsi kenangannya bersama Asri ketika menyertai kem motivasi dan dapat berborak serta makan bersama-sama.

"Kenangan kami bersama banyak, ketika saya sertai kem motivasi bersama Ustaz Asri, saya begitu gembira apabila dapat berborak-borak dengannya malah kami juga makan bersama pada ketika itu.

"Selain tu, bila setiap kali Rabbani ada buat persembahan, saya akan pergi dan mesti Ustaz Asri akan panggil saya naik ke pentas untuk nyanyi sekali.

"Ustaz Asri juga pernah telefon saya dan dia minta saya buat persembahan pada satu majlis sambutan ulangtahun Rabbani yang ke-10 pada waktu itu.

"Dia juga pernah beritahu saya, dalam ramai-ramai orang yang dia jumpa, saya adalah antara orang yang boleh membawakan lagu-lagu Rabbani dengan baik dan sehingga kini jika ada persembahan, saya akan sentiasa nyanyikan lagu-lagu Rabbani.

"Malah Ustaz Asri sangat menghargai orang yang boleh bantu dia dalam meneruskan perjuangan dakwah dan nasyid," ujar Shahid yang masih terasa dengan pemergian mentornya itu.

Menurut Shahid yang memang begitu meminati Asri sejak bersama kumpulan Nada Murni lagi dia berhasrat untuk meneruskan perjuangan mentornya itu, namun dia bimbang untuk menyatakan hasratnya ingin menyertai Rabbani.

"Ustaz Asri seorang yang sangat baik, warak dan tidak sombong dengan sesiapapun... Malah dia juga tidak kedekut ilmu yang dia ada untuk dikongsi bersama.

"Saya mula meminati Ustaz Asri sejak dia bersama Nada Murni lagi, selepas dia keluar dan menubuhkan Rabbani saya lagi bertambah minat dengan dia.

"Kalau boleh saya teringin sangat nak teruskan perjuangan ustaz Asri bersama Rabbani... bukan ingin mengejar glamour tetapi meneruskan perjuangan dia dengan bakat yang Allah s.w.t berikan kepada saya.

"Jika Rabbani tawarkan peluang untuk saya menyertai mereka, saya akan terima dengan harapan yang besar dan gembira," katanya.

Selain itu, anak muda yang bekerja di sebuah syarikat sound system iaitu Warisan Sound ini juga mempunyai perniagaannya sendiri yang dikenali sebagai B.I.G Sound.

Shahid yang juga aktif menyanyi bakal mengeluarkan albumnya sendiri selepas raya nanti kerana masih lagi diperingkat mastering.

"Saya tengah buat album sendiri... bersama kumpulan saya iaitu Soufies. Album ini mungkin akan keluar selepas raya nanti.

"Album ini masih lagi dalam proses mastering dan tajuknya juga belum lagi diputuskan.

"Lagu-lagu dalam album itu semuanya di cipta oleh Hafiz Hamidun manakala lirik pula dicipta oleh Ahmad Fedtri Yahya," jelas Shahid.

Sumber : MSTAR

BERITA @ FN



Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More