BERITA @ FN
Penaja kian yakin program ilmiah
Oleh Rozdan Mazalan
KEJAYAAN Oasis pada Forum Halal Sedunia Jun lalu apabila dinobatkan sebagai Pembekal Kandungan Berkaitan Halal Terbaik. |
Izelan Basar harap syarikat korporat terus beri sokongan kepada projek Astro Oasis
TANPA pembabitan secara langsung syarikat penajaan dalam menyokong penerbitan pelbagai program ilmiah berkaitan Islam, kejayaan yang dicapai sepanjang dua tahun usia saluran berbayar Astro Oasis tidak bermakna.
Biarpun usia saluran 106 di Astro itu diibaratkan anak-kanak yang sedang belajar berjalan, namun kegigihan, ketekunan dan ketelitian dalam membawa hala tuju saluran itu satu pencapaian yang memberangsangkan.
Hari ini genaplah dua tahun usia Oasis yang bagaikan anak kecil berdiri di gigi air dan di hadapannya lautan ilmu yang luas untuk terus melangkah mencorak dunia penyiaran tanah air ke peringkat antarabangsa.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, kejayaan saluran Oasis amat bermakna dengan sokongan syarikat penajaan yang mula yakin dengan program berbentuk ilmiah.
“Tidak dinafikan, banyak syarikat penajaan memainkan peranan penting dalam menaja program besar yang kami anjurkan membuktikan mereka bukan saja berani mempertaruhkan dana untuk program hiburan semata-mata.
PROGRAM Bicara Kifayah banyak memberi pendedahan kepada penonton. |
“Saya sangat berharap usaha syarikat besar dalam memainkan peranan sebagai penaja diteruskan agar program ilmiah yang mempunyai hala tuju yang luas di seluruh negara Islam dapat dilunaskan,” katanya.
Beberapa faktor juga menyumbang kepercayaan masyarakat yang bukan saja mensasar kepada yang beragama Islam, malah masyarakat yang menganuti kepercayaan lain turut membantu.
Menurut Izelan, pelbagai sudut penting diambil kira dalam menyokong kejayaan Oasis sehingga berjaya menarik penonton beralih kepada stesen ilmiah.
“Antara perkara yang diperhatikan adalah sudut dalaman itu sendiri seperti warga kerja Oasis adalah pasukan yang dinamik. Kakitangan Oasis tidak mempunyai bidang yang khusus dan mereka rata-ratanya datang dari latar belakang yang berbeza.
“Dari perbezaan itulah lahirnya kreativiti mencorakkan pelbagai program yang berbeza daripada program berbentuk ilmiah sedia ada. Menariknya warga kerja Oasis bukan saja penganut agama Islam tetapi mereka turut memahami kehendak penonton program ilmiah.
“Dari sudut pengaturcaraan pula, kami banyak membuat kajian dan menggunakan fakta kajian itu untuk mencorak destinasi bagi mencapai hala tuju dan objektif Oasis. Sementara dari sudut penjenamaan, kita menjaga jenama Oasis dengan teliti dan mengangkat program itu agar lebih bernilai,” katanya.
Sejak penubuhan Oasis pada15 Oktober 2007, pembekal daripada syarikat penerbitan luar semakin berminat untuk menghasilkan program atau drama melalui garis panduan yang diberikan Oasis mengikut gaya hidup Islam.
“Saya melihat keterbukaan syarikat penerbitan dalam menghasilkan karya ilmiah semakin meningkat. Melalui garis panduan yang diberikan, secara tidak langsung syarikat penerbitan menjadikan saluran ini sebagai landasan kepada pengkarya menghasilkan program ilmiah.
“Dari sudut penonton pula, ramai yang mula menyedari televisyen bukan lagi satu benda yang negatif. Oasis membuktikan, televisyen bukan lagi medium elektronik yang melekakan. Dari segi keuntungan yang diperoleh, Oasis penting bagi orang yang kerap ke masjid dan tidak kurang penting bagi orang kurang ke masjid.
“Turut membanggakan, ada juga banyak hospital yang menyajikan program Oasis bagi tujuan menenangkan pesakit. Bagi orang yang berkeluarga pula mereka turut menjadikan program yang disiarkan Oasis untuk mendidik anak-anak,” katanya.
Melalui pengamatan di dalam dunia penyiaran, Izelan turut mengenali pasti cabaran yang akan dirintangi bagi turut memartabatkan program ilmiah yang dihasilkan.
“Banyak yang perlu dipertingkatkan dari segi pasaran dan penajaan untuk menerbitkan program ilmiah. Sebelum ini mungkin mereka menganggap ia satu genre baru di negara ini. Kami di Oasis perlu giat untuk menambat hati penaja untuk menyokong menerbitkan program ilmiah yang lebih menarik dan berlainan dari yang sedia ada.
“Dari sudut syarikat produksi pula, mereka perlu banyak mempertingkatkan kajian dan penjenamaan mengikut kehendak Oasis. Banyak kertas kerja yang diterima tidak menunjukkan kehendak Oasis terutama dari sudut kajian yang menyeluruh berkaitan sesuatu topik dan subjek.
“Biasanya mereka menghasilkan sesuatu produk hanya melihat sasaran penonton di negara ini saja walhal produk kita mampu untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Ini dibuktikan apabila ada stesen televisyen dari negara Islam di luar negara berminat untuk membeli format program kita termasuk drama yang disiarkan.
“Syarikat produksi yang membekalkan produk kepada kita harus kreatif dan sensitif berkaitan gaya hidup Islam yang dipaparkan sebagai contoh isteri sedang memotong bawang dan suami sedang membasuh pinggan cukup untuk menggambarkan pasangan suami isteri tanpa shot sinikal berada di atas katil,” katanya.
Sementara itu, satu lagi program realiti yang melahirkan format berbeza dan bakal mendapat tempahan kebanyakan negara Islam di dunia adalah program realiti Cari Imam Muda.
“Ia adalah program realiti yang melahirkan imam muda berusia dalam lingkungan 18 hingga 27 tahun. Program ini mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Buat masa ini segala perancangan di peringkat akhir penghasilan dan dijangka disiarkan awal tahun depan.
“Proses uji bakat di seluruh negara akan diadakan pada Disember ini dengan mencari kriteria seperti berperwatakan menarik, kacak, suara yang merdu, kelancaran membaca al-Quran dan mempunyai pengetahuan yang luas di dalam agama.
“Kami menawarkan hadiah yang amat lumayan bagi mengangkat Imam Muda ini lebih tinggi daripada program realiti lain. Pemenang akan menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian Islam berkaitan kepimpinan Islam di Jordan atau Mesir,” katanya.
INFO: Perancangan Program
1. Program Luar studio - Qiamullai (Disember 2009)
2. Konsert Kerohanian (Mac 2010)
3. Jemputan Umrah (Februari 2010)
4. Cari Iman Muda (April 2010)
5. Peningkatan drama berunsur Islam tempatan sebanyak 40 peratus (Sepanjang setahun)
Pencapaian
1. Anugerah Media Islam Negara (Amin) pada 7 Oktober 2009.
2. Johan Qariah, Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, di PWTC (12 September 2009)
3. Johan Qariah, Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan, Di Universiti Teknologi Petronas Tronoh, (18 Julai, 2009)
4. Pembekal Kandungan Berkaitan Halal Terbaik pada Forum Halal Sedunia, 2009.
BERITA @ FN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
0 comments:
Post a Comment