BERITA @ FN
Rabbani tunaikan hajat Asri
SEWAKTU hayatnya, sebelum Ustaz Asri dijemput Ilahi pada tanggal 13 Ogos 2009, beliau sempat menghadiri mesyuarat dengan pihak penaja Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1431 Hijrah iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM).
Dalam perbincangan, Ustaz Asri meluahkan pandangan agar Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1431 Hijrah diadakan di lokasi terbuka tanpa mengenakan bayaran kepada pengunjung yang hadir.
Demi menunaikan hajat tersebut, Rabbani yang kini masih gigih bergerak mengambil keputusan untuk mengadakan konsert siri ketiga ini di lapangan terbuka di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Terengganu.
"Kami memilih Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Terengganu semata-mahu mahu menunaikan hasrat Ustaz Asri selain menampilkan kelainan berbanding konsert lalu.
"Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1431 Hijrah kali ini menampilkan pengisian menjurus perjuangan. Di tengah-tengah persembahan, kami akan selitkan penghargaan kepada Rasul, para sahabat, individu alim ulama termasuk Ustaz Asri.
"Ia juga memperlihatkan tema edutainment yang menggabungkan unsur-unsur pendidikan dan mesej positif dalam hiburan menerusi alunan nasyid, qasidah, drama pendek dan anekdot tazkirah," beritahu Azadan Abdul Aziz atau Azadan pada sidang media Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1431 Hijrah di ibu negara Selasa lalu.
Konsert anjuran Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd. berkonsepkan kerohanian itu turut melibatkan penyanyi popular tanah air antaranya ialah Jamal Abdillah, Aishah, Yasin, Joe Flizzow, manakala Datuk Siti Nor Bahyah sebagai pelengkap kepada acara berskala besar tersebut.
Tambah Azadan, ia bukan sekadar menunaikan hajat Asri untuk mengadakan konsert di kawasan terbuka, sebaliknya mereka turut menunaikan hajat ketua yang disegani itu dengan menggantikan posisinya kepada salah seorang anggota kumpulan mereka sendiri iaitu Zulkiflee Azman.
Zulkiflee atau Zul kini mengepalai tugas Ustaz Asri sejak 20 Ogos 2009. Zul pula tidak dipilih secara rambang, tetapi ada cerita di sebalik pemilihan beliau.
Paling mengejutkan, ia juga 'dipersetujui' oleh Ustaz Asri yang terlebih dahulu memberi lampu hijau agar mencari orang baru menggantikan posisinya.
Menurut Azadan, Ustaz Asri seperti mengetahui dia bakal pergi buat selama-lamanya apabila berjenaka tentang Zul sebagai vokalis.
"Selalunya urusan persembahan saya sendiri yang buat. Tapi untuk memenuhi undangan menyanyi di majlis Malam Imbauan Rasul di Tawau, Sabah, Oktober lalu, Ustaz Asri yang beria-ria lakukan perbincangan.
"Bahkan, Ustaz Asri sempat berkata kepada promoter persembahan itu jika dia tidak dapat menyanyi kelak, Zul boleh gantikan tempatnya meskipun dia sedikit pemalu.
"Selepas Ustaz Asri meninggal dunia, promoter ini sendiri yang jelaskan kepada kami tentang perkara itu. Dengan itu, kami sebulat suara pilih Zul sebagai penyanyi utama kumpulan ini," jelasnya.
Ziarah pusara sebelum rakaman
Sedar atau tidak, Rabbani sudah merakamkan sebanyak 18 buah album sejak tahun 1997.
Muncul dengan naskhah terbaru, Rabbani yang mengangkat judul Mahabbah (Kasihilah, kamu akan dikasihi...) bagaimanapun memperlihatkan perbezaan nyata tanpa suara lunak Ustaz Asri berbanding sebelumnya.
"Sebelum buat rakaman lagu pada November lalu, kami akan sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada Ustaz Asri. Namanya sentiasa membasahi bibir kami dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
"Kami juga berdepan pengalaman tersendiri untuk merakamkan lagu Kejora Sinar Zaman yang ditujukan kepada Ustaz Asri. Sepatutnya kami rekod lagu ini pukul 3 petang, tapi waktu itu kami rasa macam tidak boleh berbuat apa-apa.
"Lantaran itu, kami ambil keputusan untuk melawat pusara Ustaz Asri sambil membacakan surah Yasin kepadanya. Selepas itu kami mula bersemangat untuk meneruskan semula rakaman lagu ini.
"Alhamdulillah, proses rakaman untuk menghasilkan album ini berjaya disudahkan dalam tempoh sebulan saja tanpa mengalami masalah," jawabnya sambil memanjatkan kesyukaran.
Album Mahabbah juga menyelitkan sebuah lagu dendangan Ustaz Asri bergandingan dengan Mawi berjudul Inikah Petanda ciptaan Amaludin Syukri (KRU Publishing Sdn. Bhd.).
"Lagu ini tidak sempat dimasukkan dalam album sebelum ini. Kesempatan melahirkan album Mahabbah membuatkan kami sengaja memunculkan Inikah Petanda bagi mengubat kerinduan peminat terhadap Ustaz Asri," jelas Azadan yang mendapat tajaan PRM Global Vision Sdn. Bhd. untuk membikin album berkenaan.
Sumber : KOSMO !
BERITA @ FN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
0 comments:
Post a Comment