Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Friday, April 23, 2010

ANAK MUDA YANG DAHAGAKAN PROGRAM ILMIAH

BERITA @ FN

Imam muda perlu global


SEBAHAGIAN peserta sabar menanti giliran ketika menghadiri uji bakat di Pusat Islam.

MEWAJIBKAN calon membaca surah al-Fatihah dengan tajwid serta bacaan yang terbaik di peringkat asas, uji bakat Siri Pencarian Imam Muda yang berlangsung di Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 April lalu mendapat perhatian memberangsangkan daripada warga ibu kota.

Tidak hanya peserta yang hadir dari sekitar Lembah Klang, ia turut didatangi beberapa anak muda yang sanggup melintasi sempadan ibu negara demi mencapai matlamat menempatkan diri ke dalam program terbaru terbitan Astro Oasis itu.

Siri Pencarian Imam Muda memulakan misi 'memburunya' di Terengganu pada 26 dan 27 Mac lalu diikuti Alor Setar (2 & 3 April); Johor Bahru (10 & 11 April) serta terakhir di Kuala Lumpur.

Daripada lapan sesi uji bakat yang dijalankan, ia telah berjaya mengaut sejumlah 1,134 peserta yang hadir mencuba nasib untuk menjadi Imam Muda bagi musim pertama.

Bercakap soal sesi uji bakat di Kuala Lumpur, dalam dua hari sesi yang dijalankan pada tarikh berkenaan, seramai 661 peserta telah hadir dan ia mencatatkan jumlah tertinggi berbanding tiga lokasi lain.

Diwarnai dengan pelbagai ragam, membaca surah al-Fatihah pada dasarnya nampak mudah tetapi bacaan yang merdu dan lunak belum tentu terpilih untuk ke peringkat seterusnya.

Kefasihan, tajwid dan sebutan antara yang ditekankan dalam bacaan al-Fatihah.

Perkara itu diperjelaskan oleh salah seorang juri Siri Pencarian Imam Muda iaitu Ahmad Termizi Abdul Razak yang juga Imam Besar Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Ujar Ahmad Termizi, sekadar 'mewarnai' bacaan al-Fatihah dengan pelbagai lenggok lagu, sesiapa sahaja mampu melakukannya.

Namun, katanya, ia belum mencukupi untuk seseorang itu melepasi peringkat pertama jika gagal membacanya dengan hukum tajwid yang baik.

''Kesempurnaan bacaan adalah menjadi keutamaan. Ia merangkumi banyak aspek selain taranum iaitu kaedah memperelok atau memperindah bacaan secara berlagu.

''Kadang-kadang mereka (para peserta) jangka bacaan sudah baik tetapi di peringkat kami para juri, bukan sekadar taranum yang diteliti. Kami mencari yang terbaik,'' katanya ketika ditemui di Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Siri Pencarian Imam Muda menyaksikan Ustaz Hasan Mahmud Al Hafiz iaitu bekas Imam Besar Masjid Negara diberi tanggungjawab sebagai pengetua untuk memastikan keseluruhan aktiviti pembelajaran bagi melahirkan imam muda berjalan lancar.

Beliau juga memiliki kuasa untuk menyingkir peserta yang dilihat gagal menonjolkan bakat ketokohan sebagai imam.

Selain daripada itu, Ketua Imam Masjid Muadz Bin Jabal, Taman Setiawangsa, Ustaz Shahrizan Daud At Turabi dan Ustaz Norhisyam Al Idrus (penceramah bebas) bakal bergerak selaku mentor kepada peserta.

Siri Pencarian Imam Muda merupakan sebuah program yang dihasilkan Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mencari imam muda terbaik di negara ini.

Individu terpilih bakal dihimpunkan di sebuah asrama selama tiga bulan bagi mempelajari dan memahami tentang hal keagamaan dan kepimpinan Islam.

Kesemua mereka akan diuji setiap minggu dengan latihan amali, praktikal dan tajuk-tajuk agama serta aktiviti kemasyarakatan serta kepimpinan.

Menyambung perbualan, ujar Ahmad Termizi, imam muda yang dicari pada masa kini perlu bersikap kontemporari dan global.

Mereka, jelasnya, tidak semestinya mengetahui tugas sebagai imam ketika di masjid atau surau sahaja tetapi melangkaui segenap apa yang berlaku di sekeliling.

''Mereka perlu ada pakej dan matlamat serta visi. Iman yang serba boleh dan global,'' tegasnya.

Selain Ahmad Termizi, tiga lagi yang diundang menjadi juri ialah Mohd. Abd. Nasir Abdullah (Imam Besar Masjid KLCC); Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim (Imam Masjid Negara) dan Rohaily @ Abd. Rahman Abd. Hamid (Imam Masjid Salahuddin Al Ayyubi).

Berjaya melepasi peringkat pertama, peserta akan diuji ke peringkat kedua yang menilai mereka mengenai isu semasa, pengetahuan am, penguasaan bahasa Inggeris atau bahasa Arab dan kemampuan memberikan syarahan.

Juri yang terbabit di peringkat kedua ialah Izelan Basar (Pengurus Saluran Astro Oasis); Azrai Kamaruddin (Ketua Bahagian Hiburan, Astro Entertainment Sdn. Bhd.) dan Tuan Asmawi Tuan Umar (Pegawai Perhubungan Awam Jawi).

Sambutan luar biasa

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Siri Pencarian Imam Muda, Nizam Hamid berkata, pihaknya melahirkan rasa bangga kerana musim pertama program berkenaan mendapat perhatian menggalakkan daripada anak muda.

Meski sebuah program bercorak keagamaan, jelas Nizam, ia memperlihatkan bahawa generasi muda masa kini amat meminati program sedemikian dalam memperoleh ilmu berkenaan kepimpinan Islam.

''Kebanyakan yang hadir ke sesi uji bakat sudah maklum apa itu Siri Pencarian Imam Muda. Tetapi, ada ketika, bukan semua yang berjaya memenuhi ciri-ciri yang kami tetapkan untuk terus ke peringkat seterusnya.

''Siri Pencarian Imam Muda bukan hanya mencakupi bidang keagamaan semata-mata tetapi ia cukup luas,'' tegasnya.

Antara insentif menarik yang bakal menanti juara ialah penajaan penuh biasiswa ke Universiti Antarabangsa al-Madinah, Arab Saudi, tawaran menjawat jawatan sebagai imam serta sebuah kereta.

Bukan itu sahaja, jura turut membawa pulang wang tunai RM20,000, sebuah komputer riba dan pakej menunaikan haji.

Siri Pencarian Imam Muda bakal bersiaran di saluran Oasis (saluran 106, Astro) bermula 27 Mei ini.


Sumber : UTUSAN


BERITA @ FN




Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More