INTEAM LEBAR EMPAYAR
credit to : Busyairi
MENYANYI lagu nasyid adalah minat mereka namun perancangan masa depan tetap diutamakan. Justeru, seperti Hijjaz dan Raihan yang menubuhkan perniagaan sampingan, Inteam juga tidak ketinggalan. Siapa sangka, Inteam Records Sdn Bhd kian bergerak maju.
Selain sibuk menghasilkan album untuk kumpulan sendiri, Inteam juga turut menerbit dan mengedarkan album untuk artis nasyid lain. Bahkan, tidak cukup dengan itu Inteam juga produk pendidikan Islamik untuk kanak-kanak seperti bacaan doa dan tajwid.
Dianggotai tiga ahli yang sudah berkeluarga iaitu Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid dan Abdul Rahim Osman, Inteam gigih melebarkan empayar mereka. Bagi mereka, menceburi bidang perniagaan sangat penting untuk jaminan ketika tua.
Muhammad Hazamin berkata irama nasyid sememangnya masih diterima ramai tetapi pada masa sama pelapis muda juga silih berganti. Jadi, persaingan tetap ada.
"Malah pasaran muzik juga turun naik. Justeru, sekalipun menghasilkan dan menerbit album, perancangan lain harus dibuat. Setakat ini, kami bersyukur kerana produk seperti cakera padat (CD) dan buku seperti Bijak Solat, Bijak Tajwid dan Bijak Iqra' mendapat sambutan baik. Secara tidak langsung, kami dapat dapat membantu kanak-kanak mendalami agama.
"Lagipun, dengan adanya CD dan buku, proses pendidikan akan lebih cepat. Selain membaca dan menonton, ia memudahkan kanak-kanak mengingatinya. Dalam soal ini, selain guru di sekolah, ibu bapa juga boleh mengajar di rumah," jelasnya.
Menyentuh pula soal penjualan album, Mohd Syahril berkata dua album baru Inteam iaitu Nur Muhammad dan Love Allah Love Rasul yang dipasarkan beberapa bulan lalu mendapat sambutan baik. Katanya, undangan persembahan pentas juga tidak putus.
"Kami bersyukur kerana setakat ini undangan nyanyian masih diterima. Bahkan, dari situ kami turut memberi tumpuan pada aktiviti promosi album. Setakat ini, memang fokus jualan lebih ditumpukan di pusat pengajian tinggi awam (IPTA).
"Tidak terkecuali, kami juga aktif menjual album dan produk pendidikan Islamik di pesta buku. Apapun, lagu nasyid tidak seperti produk pendidikan. Peluang pendidikan memang ada permintaan tetapi lagu nasyid memerlukan promosi yang giat kepada pendengar," katanya memaklumkan perancangan pembikinan album baru terap diteruskan. Kata Mohd Syahril, apa yang pasti untuk penghasilan album itu, Inteam tidak mahu terburu-buru atau tangkap muat. Biarpun tidak popular seperti Raihan dan Rabbani, Inteam tidak pernah kecewa. Peminat mereka tetap ada dan buktinya Inteam tetap tersenarai dalam kelompok Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) setiap tahun.
Cuma, hingga kini kemenangan masih tidak berpihak buat mereka. Kata Abdul Rahim gagal meraih trofi Artis Nasyid Popular itu tidak sedikitpun mengecewakan mereka kerana menganggapnya bukan rezeki.
"Barangkali, giliran Inteam untuk menang belum tiba lagi. Jadi, kami harus sabar menunggu datangnya rezeki ditentukan Tuhan itu. Lagipun, pembabitan Inteam dalam industri nasyid tanah air pun masih baru berbanding Rabbani, Raihan dan Hijjaz," katanya.
Sumber : MyMetro
Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
1 comments:
Semoga Inteam terus maju.. Insya-Allah..
Post a Comment