Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Saturday, June 4, 2011

95 peratus hasil kerja kami Berjalan Tanpa Henti Devotees

Devotees enggan dimanipulasi lagi


DEVOTEES kini lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Photobucket

TUJUH tahun lalu, kumpulan Devotees yang masih hijau dalam dunia hiburan telah diuji dengan pelbagai rintangan.

Melihatkan keindahan bekerjaya dalam dunia hiburan membuatkan mereka alpa bahawa ada sang penipu yang menunggu mangsa. Apatah lagi usia mereka ketika itu hanyalah remaja belasan tahun.

Kini, kegagalan dan cabaran lalu mematangkan ahli kumpulan Devotees yang terdiri daripada Muhammad Mohd. Tawil, 25, Adi Akmal Sehrom, 24, Abd. Halim Ahmad, 24 dan Ahmad Shauqi Abu Kashim, 26 itu.

Kata mereka: “Pengalaman ditipu ketika menerbitkan album sulung kami berjudul Devotees itu banyak memberikan pengajaran sangat berharga buat kami.

Menyingkap sejarah lalu, Devotees yang terdiri daripada graduan universiti tempatan itu melalui detik gelap apabila pulangan hasil bakat mereka dikaut pihak lain dalam tempoh tiga tahun bergelar artis rakaman.

“Kami tidak melihat pengalaman itu sebagai mematahkan semangat bahkan memberi suntikan semangat buat kami untuk terus berjuang.

“Sekurang-kurangnya kegagalan itu membuatkan kami lebih matang dan bersatu hati. Memang ada hikmah di sebalik kejadian itu,” kata mereka.

Dek pengajaran lampau, empat anak muda tersebut mengorak langkah menerbitkan album terbarunya sendiri.

Tempoh tujuh tahun bertapa setelah album pertama diterbitkan, mereka kini hadir dengan album terbaru berjudul Devotees: Perjalanan Tanpa Henti.

Mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, album yang mengandungi lagu-lagu seperti Berjalan Tanpa henti, Bersama, Hadirnya Cahaya S.A.W. dan Selagi Hayatmu Di Sini itu terhasil atas komitmen tulang empat kerat mereka sendiri.

“Boleh dikatakan 95 peratus daripada album ini adalah hasil kerja kami sendiri termasuklah reka bentuk kulit album sehinggalah kepada proses rakaman.

“Kami serik dengan sejarah lalu. Justeru, tidak mahu mengambil risiko biarlah kami hasilkan sendiri dan mengaut pulangan sendiri,” kata Adi Akmal.

Mahu lari daripada tanggapan masyarakat bahawa kumpulan nasyid perlu berimej Islamik, Devotees menampilkan lagu-lagu berentap segar sesuai dengan penerimaan generasi muda selain berpenampilan kontemporari.

Menerusi album baru terbitan mereka di bawah nama Devotees Music Works dan EzQ, Devotees menampilkan lagu-lagu segar dengan pelbagai rentak.

“Walaupun lagu-lagu Devotees berunsurkan dakwah dan ketuhanan tetapi muziknya mengandungi unsur-unsur pop dan R&B.

“Bagi kami tidak salah untuk menghasilkan lagu-lagu berentak sebegitu kerana lirik yang berunsurkan nasihat lebih penting untuk memberi pengajaran kepada pendengar terutamanya remaja.

“Bukan menyangkal bahawa kami adalah kumpulan nasyid tetapi Devotees adalah sebuah kumpulan muzik nasyid yang bersifat urban,” ujar Ahmad Shauqi.

Album yang dihasilkan dengan garapan komposer-komposer seperti Yasin, Dakmie, Taufik Nordin dan ahli Devotees Sendiri itu mempertaruhkan tujuh buah lagu baharu kini berada di pasaran.

Peminat yang ingin berinteraksi dengan kumpulan Devotees boleh mengikuti perkembangan mereka di laman sesawang Facebook dengan carian ‘Devotees’ di laman sosial tersebut.

Sumber : KOsmo



Copyright 2011 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More