KEPEKAAN empat anak muda yang membawa nafas baru dalam industri nasyid tanah air dengan menampilkan konsep urban nasyid terhadap isu-isu semasa dijadikan sebagai pegangan untuk menghasilkan album kedua mereka.
Kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Devotees, melakukan pendekatan baru agar lagu-lagu yang dimuatkan dalam album baru, Berjalan Tanpa Henti, tidak melanggar syariah menerusi album.
Malah, kumpulan dianggotai Adi Akmal, Halim, Shauqi dan Muhammad itu sudah terlebih dulu mengetahui hukum itu sebelum Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad memberikan kenyataan menggesa penulis lirik dan penyanyi nasyid menghentikan penggunaan ayat-ayat suci dalam lirik lagu nasyid kerana menjadi dosa apabila ayat al-Quran dibacakan bersama iringan muzik.
Kata Adi, mereka sudah lama mendapat maklumat itu. Sebab itulah mereka membuat pendekatan baru dengan menjadikan terjemahan ayat-ayat suci sebagai lirik lagu yang dinyanyikan.
“Tidak timbul masalah rasa terikat untuk mencipta atau menyanyikan lagu-lagu nasyid kerana kami boleh menggunakan cara lain untuk berdakwah sebagaimana yang kami terapkan dalam album kami.
“Kami juga mengekalkan konsep sama untuk album kedua. Jika sebelum ini menyanyikan lagu Inggeris, Lament hasil garapan Waheeda, kali ini turut memuatkan satu lagu Inggeris, Don’t Walk Away hasil sentuhan saya sendiri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album kedua mereka, baru-baru ini.
Kata Adi, Devotees yang ditubuhkan pada 2004 dengan penampilan pertama menerusi album sentuhan komposer terkenal seperti Yasin, Waheeda dan Along Exist pada 2005. Mereka pernah menjadi lima terbaik dalam Nasyid Minggu Ini pada 2008.
Walaupun sudah bersama hampir lapan tahun, Adi mengakui hal yang paling membanggakan ialah mereka tetap kekal sebagai satu anggota.
“Kami sudah rapat seperti adik-beradik. Tetapi tidak bermakna kami tidak berhadapan dengan perselisihan faham. Perkara yang membuatkan kami terus bertahan sebagai satu kumpulan ialah sikap saling memahami. Sikap inilah yang kami amalkan agar kami terus bersama-sama sebagai satu kumpulan,” katanya.
Mengenai tempoh agak lama untuk muncul dengan album baru, Adi mengakui kesibukan masa yang membelenggu mereka menjadi puncanya.
Katanya, ketika album pertama berada di pasaran, mereka masih lagi bergelar mahasiswa. Selepas itu, mereka menceburi alam pekerjaan menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi menghasilkan album dalam masa yang singkat.
“Meskipun sibuk dengan pekerjaan masing-masing, kami bang�ga kerana dengan terhasil�nya album kedua ini membuktikan minat dan kesungguhan kami dalam dunia seni masih sama seperti dulu.
“Kami harap lagu-lagu segar Devotees mampu menambat hati dan telinga pendengar serta berharap lagu kerohanian ini sering dimainkan di stesen radio.
“Semoga kemunculan album ini dapat menjadi pengubat rindu buat peminat Devotees yang sekian lama menanti buah tangan terbaru daripada kami,” katanya.
Album yang sudah berada di pasaran itu memuatkan lapan lagu menampilkan irama muzik dan persembahan vokal yang lebih segar dan matang. Ia dihasilkan di bawah produksi sendiri, Devotees Music Works dan Ez Qurban Sdn Bhd.
Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu mendapat sentuhan komposer terkenal seperti Yasin dan Dakmie serta komposer baru, Taufik Nordin.
Memilih genre pop, balada, fusion dan juga padang pasir, lagu-lagu yang mereka nyanyikan kali ini diyakini mampu memuaskan hati pendengar dengan kepelbagaian melodi yang kontemporari dan diiringi lirik yang sarat dengan mesej kemanusiaan yang mampu mencetus inspirasi dan motivasi.
Sepanjang bergiat dalam arena muzik, Devotees giat mengadakan persembahan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Mereka turut mendapat undangan untuk membuat persembahan di Singapura dan Kemboja. Nyata kumpulan ini bukan hanya terkenal di tanah air tetapi juga diminati di luar negara.
Anggota Devotees yakin dengan bakat dan kemampuan mereka dalam penghasilan dan penerbitan lagu setelah belajar melalui pengalaman mereka dalam industri muzik.
Sumber : Harian Metro
Copyright 2011 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
0 comments:
Post a Comment