Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Friday, August 22, 2008

Muslim Voice & Eda Fazilah ke final

Dua peserta tersingkir masuk final.

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

JUJUR: Persembahan selamba namun menyentuh
emosi membantu Muslim Voice ke final.

REZEKI: Eda Fazilah peserta wanita tunggal meneruskan perjuangan.

GAGAL: Kumpulan Sofieya turut membuat persembahan pada konsert akhir Akademi Nasyid.


Eda Fazilah, Muslim Voice masih ada peluang rebut juara

BIARPUN pernah kecundang dalam episod keenam dan ketujuh, namun takdir sudah tertulis memutuskan bahawa harapan untuk meraih RM100,000, selain peluang merakamkan album tetap ada bagi peserta solo wanita Eda Fazilah Ismail dan peserta berkumpulan, Muslim Voice.

Mereka adalah antara peserta bertuah yang pernah tersingkir dalam program realiti Akademi Nasyid terbitan TV9 diumumkan untuk meneruskan perjuangan bersama empat peserta yang berada di kedudukan selesa sebelum pertandingan peringkat akhir program itu 30 Ogos depan.

Pengumuman itu dibuat selepas lapan peserta yang pernah tersingkir diberi peluang sekali lagi bertanding sesama mereka dalam episod ke-9 minggu lalu untuk meletakkan dua lagi peserta ke peringkat akhir.

Kejayaan itu membolehkan Muslim Voice dan Eda Fazilah meneruskan perjuangan mereka di peringkat akhir bersama empat peserta yang sudah layak sebelum ini iaitu Azhan Atan dari Johor, Mohd Syukri Nasrun (Pahang), Mohamad Aiman Mohd Sidek (Terengganu) dan Kumpulan D'Vision (Melaka).

Ketua juri, Farihin Abdul Fatah berkata, kejayaan mereka adalah atas inisiatif sendiri yang dilihat berjaya memperbaiki kelemahan selepas tersingkir pada episod lalu.

“Muslim Voice menunjukkan kecemerlangan apabila berjaya menarik perhatian juri dengan persembahan yang selamba sehingga emosi mereka sampai kepada pendengar.

“Ini adalah kekuatan mereka yang berjaya mencari identiti sendiri dengan karakter kumpulan yang selamba dan tidak berpura-pura untuk memberikan persembahan terbaik. Apa yang mereka persembahkan itu adalah jujur.

“Bagi Eda Fazilah pula, walaupun dia harus sentiasa sering diingatkan kerana kecuaiannya namun dia menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.

“Eda juga mempunyai kekuatan dari segi vokal dan tone yang sedap sebagai penyanyi nasyid dan saya yakin dia mampu pergi jauh dalam industri muzik ini,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Selain Farihin, juri pada malam itu yang diadili komposer,Azmi Manap dan Isman Nadim Isam juga tidak ketinggalan memberikan pujian selepas mereka membuat persembahan.

Menurut Isman, Muslim Voice adalah peserta yang memberikan persembahan terbaik daripada peserta lain malam itu selain Eda yang cuba menunjukkan kekuatan vokal yang dimilikinya dengan baik.

Bagi Azmi pula, kumpulan yang dilabelkan sebagai kumpulan budak nakal disebabkan karakter selambanya, Muslim Voice menunjukkan kreativiti dalam persembahannya apabila menyelitkan elemen muhibah dalam penyampaian vokal acapella.

Janji berikan yang terbaik pada malam final

“IMPIAN untuk ke peringkat akhir itu tetap ada, namun tidaklah mengharap terlalu tinggi memandangkan kesemua peserta yang bertanding cukup bersedia dengan persembahan mereka. Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaru ini, kami bersyukur.

“Kami akan bersedia untuk pertandingan akhir ini dengan memperbanyakkan lagi pembaharuan serta membaiki kelemahan dalam masa dua minggu ini.

“Terima kasih kepada keluarga dan peminat yang sentiasa mengundi untuk memastikan kami berjaya sebagai seorang pendakwah melalui lagu ketuhanan ini,” kata Muhammad Zulhelmi Mohd Safain yang mewakili kumpulan mereka.

Peserta solo tunggal wanita, Eda Fazilah juga agak tergamam apabila diumumkan layak membuat persembahan peringkat akhir yang bakal berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

“Perasaan terkejut, gembira dan macam-macam lagi timbul apabila diumumkan terpilih ke peringkat akhir. Saya bersyukur dengan pemilihan ini kerana sekurang-kurangnya usaha saya selama ini membuahkan hasil.

“Selepas tersingkir pada minggu keenam saya rasa sudah tidak ada harapan untuk berjuang lagi dan kembali bersemangat selepas pengacara mengumumkan pada minggu kelapan bahawa semua peserta yang tersingkir akan diberi peluang sekali lagi.

“Saya akan memastikan segala teguran yang diberikan juri akan diperbaiki dalam masa dua minggu ini dan ingin sekali melakukan persembahan yang terbaik buat kali terakhir ini dengan memberikan tumpuan kepada vokal, emosi dan persembahan keseluruhan,” katanya.

Selain enam lagi peserta yang membuat persembahan iaitu Sofieya, Voice of Man, In Heart, Farhan, Zuriana dan Mohd Shahrizal, penonton disajikan dengan persembahan kumpulan nasyid Niwarna dengan lagu Hikmah Kembara dan rocker Yatzen dengan lagu Suci.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More