Wednesday, December 17, 2008

‘Bukan mabuk glamor’

Rap
GELARAN Ustaz Rock cukup sinonim dengan Akhil Hayy yang berambut panjang ketika tampil memberi ceramah motivasi dan dakwah. Di samping penceramah bebas, Akhil juga aktif dalam seni untuk berdakwah.


Akhil bekas anggota kumpulan rock, D'riyadh pada era 80-an, begitupun selepas memilih untuk bergerak solo sudah mengecapi kejayaan menerusi album Nasyid Lagenda yang terjual lebih 40 ribu unit dan Di Bawah Satu Cahaya (lebih 25 ribu unit).

Atas sambutan itu juga, dia turut menerbitkan album seperti Nasyid Lagenda 2, Kembara Sufi selain aktif menghasilkan album kompilasi berbentuk zikir, selawat dan doa.

Namun seperti dilalui kebanyakan selebriti tanah air sepertinya, Akhil tidak lari daripada gosip sebagai asam garam dunia hiburan. Selepas timbul cerita mempunyai hubungan intim bersama Waheeda, timbul pula persepsi negatif masyarakat terhadap penampilannya ketika menjayakan persembahan pentas.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi ruangan Soseh Soseh pada 10 Disember lalu melaporkan mengenai tindakan ustaz popular yang menanggalkan ketayap.

Penampilannya yang dikatakan tanpa ketayap, serban dan jubah seakan-akan menunjukkan mahu kembali kepada kemunculan asalnya dalam bidang seni. Perkara itu juga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan peminat dan menyifatkannya mengejar populariti.

“Memang kita tidak boleh menutup mulut dan menidakkan persepsi masyarakat. Begitupun, kita perlu melihatnya dari pelbagai aspek. Mungkin imej saya berambut panjang menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak. Corak pakaian dan penampilan saya bergantung kepada majlis tertentu.

“Untuk majlis ceramah dan motivasi saya masih mengenakan pakaian serban, ketayap dan jubah. Begitupun, untuk majlis komersial penampilan saya mungkin berbeza sedikit kerana tidak mahu menimbulkan persepsi masyarakat terhadap individu bergelar ustaz. Mentaliti masyarakat kita menganggap ustaz hanya berada di masjid dan belajar di sekolah pondok.

“Sebagai pendakwah dan artis saya memainkan peranan berbeza. Soal mabuk glamor tidak timbul. Glamor itu penting bagi pendakwah. Kalau orang tidak mengenali kita bagaimana hendak berdakwah? Glamor bagaikan tarikan kepada masyarakat untuk mendengar ceramah atau dakwah.

“Orang kenal Ustaz Nik Aziz, Ustaz Harun Din dan Ustazah Siti Norbahyah.


“Saya berceramah mengenai agama supaya masyarakat mendengar dan mengambil iktibar daripadanya. Secara tidak langsung saya juga menggunakan saluran yang ada sebagai ustiz (ustaz campur artis) dalam berdakwah,” katanya.

Tambahnya, mungkin mereka yang melihat penampilannya tanpa memakai ketayap, serban dan jubah pada majlis tertentu membuat penilaian atau persepsi berbeza.

Menurut bapa kepada lima anak itu, soal pakaian itu ditentukan mengikut majlis, begitupun dia sentiasa berhati-hati dan menganggap perkara itu sebagai cabaran bagi setiap pendakwah sepertinya.

Selain aktif berceramah, Akhil turut terbabit dalam sitkom Kafe Akhil Hay yang memasuki musim kedua disiarkan di Astro Oasis. Akhil juga dijangka menjayakan watak Ustaz Rock dalam sebuah telemovie tidak lama lagi.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More