Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Thursday, April 9, 2009

KONSERT ROCK ROHANI

Konsert rohani penyanyi rock

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Strategi pemasaran sebegitu dilakukan kerana pihak penerbitan album berkenaan, Hadani Cipta Sdn Bhd, melihat jualan dan promosi secara langsung mampu menjalin silaturahim antara artis dan peminat.

"DARIPADA pekan kecil, meliputi daerah setiap negeri dijelajahi bagi mempromosikan album Rock Rohani, yang tidak pernah dipasarkan secara komersial kepada umum"

Sekali gus, keberkesanan menyampaikan dakwah melalui lagu yang terkandung dalam album yang menghimpunkan penyanyi rock lebih terkesan.

Kini, selepas hampir dua tahun bergerak secara bebas tiba masanya sebuah konsert besar ditampilkan.

Pada 18 April ini, Karya Hadani Sdn Bhd (syarikat induk menaungi Hadani Cipta Sdn. Bhd) menganjurkan konsert 'Malam Seribu Karya' yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor jam 8 malam.

Penyanyi rock berpengalaman yang ditampilkan malam itu ialah Yantzen, Ezam daripada kumpulan Akar, Razak Ahmad, Rahmat (Mega) dan Sham (Barongan). Semua mereka ini antara artis rakaman di bawah label berkenaan.

Menghangatkan lagi konsert berkenaan, penganjur turut mengundang penghibur yang dianggap legenda, papa rock, Ramli Sarip dan Amy Search selain raja pop, Jamal Abdillah; raja SMS, Mawi serta Nazrey (bekas anggota Raihan).

Pengarah Urusan Karya Hadani Sdn Bhd, Raja Iskandar Raja Ibrahim, berkata, daripada sebuah showcase kini beralih kepada konsert yang besar kerana penganjur mendapati sambutan hebat daripada penonton di hampir semua lokasi dikunjungi sebelum ini.

"Berdasarkan pengalaman lalu, khususnya persembahan yang dijayakan di Kota Bharu baru-baru ini dibanjiri hampir 13,000 penonton.

"Justeru, kami berharap dengan kapasiti Stadium Melawati yang luas dan selesa memberi peluang kepada semua peminat mengambil bahagian menyaksikan konsert ini," katanya.

Konsert itu menyediakan himpunan lagu terbaik yang dipetik daripada album Rock Rohani 1, 2 dan 3.

Demi memastikan prestij konsert terjaga, pihak penganjur memberi penekanan kepada konsep persembahan, sistem bunyi, penataan cahaya dan sudut teknikal pentas.

Di samping itu, ia memperkenalkan pemuzik handalan seperti Mohd Shahrin Shamsudin yang bertindak selaku Pengarah Muzik, Joe Wings bermain di posisi gitaris, Mohar (seruling),

Ujang Exists (dram) dan beberapa nama besar lain.

Berhubung keberanian menganjurkan konsert berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian ini, Raja Iskandar berkata, pihaknya yakin konsert ini akan mendapat sambutan ramai.

Ini memandangkan strategi pemasaran syarikat itu tidak hanya mensasarkan khalayak umum saja. Malah tiket akan dijual kepada ahli yang berdaftar di bawah rangkaian perniagaan Karya Hadani Sdn Bhd.

"Boleh dikatakan di mana saja lokasi persembahan yang kami singgah, ribuan ahli Karya Hadani akan turut serta sebagai tanda sokongan.

"Justeru dengan jumlah ahli yang ada dan ditambah dengan kehadiran penonton luar nanti, barangkali tidak kurang daripada 5,000 hingga 7,000 akan membanjiri stadium itu," katanya.

Setiap lagu yang dipersembahkan Yantzen, Ezam, Razak, Rahmat dan Sham nanti adalah hasil nukilan Pengasas Karya Hadani Sdn Bhd, Tengku Harun Tengku Mat Saat atau dikenali sebagai Ustaz Harun.

"Antara lagu bakal diperdengarkan nanti ialah Zat Ilahi , Suara, Keindahan Cinta Suci, Semangat Juang Seorang Isteri, Kasih Suci, Kaulah Pujaan dan Pesanan Untuk Ibu.

"Setiap artis jemputan turut menyampaikan sebuah lagu daripada album berkenaan dan mereka juga akan membawakan lagu daripada album mereka sendiri yang mempunyai unsur ketuhanan dan kerohanian.

"Matlamat mengadakan konsert ini bukan sekadar berhibur saja sebaliknya untuk berdakwah," katanya.

Katanya lagi, tiket dijual pada harga RM60, RM150 dan RM200.


:::::Info @ FN 2009:::::

1 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More