Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Monday, May 11, 2009

INDUSTRI NASYID : HIDUP SEGAN MATI TAK MAHU - IKIM.FM

BERITA @ FN

Industri nasyid terus hidup


Oleh ZUARIDA MOHYIN



barisan ahli panel rancangan bicara dari Studio Z n Z untuk radio Ikim yang berjudul "Industri Nasyid : Hidup Segan Mati Tak Mahu" di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JIKA lebih dua tiga dekad lalu, album nasyid hanya dijual di gerai-gerai ceramah agama, toko-toko buku Islam dan pasar-pasar malam, kini irama nasyid sudah pun berjaya menempatkan diri di premis-premis penjualan album utama, malah sebaris dengan genre muzik lain yang di bawah kelolaan syarikat bertaraf antarabangsa.

Irama nasyid Malaysia hakikatnya telah wujud sejak tahun 1970-an dan 1980-an menerusi penasyid berkumpulan seperti Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan. Kemudian diikuti penasyid Nadamurni. Ini menunjukkan bahawa irama nasyid sudah merentas zaman sejak dahulu lagi.

Apa yang membezakan antara kumpulan nasyid dahulu dan sekarang adalah dari segi komposisi muzik dan pembawakan imej mereka.

Namun, senario kegemilangan industri nasyid ini mula menjadi fenomena semenjak kemunculan lima anak muda yang menggelarkan diri mereka Raihan, dengan dendangan lagu Puji-pujian daripada album sulung mereka pada 1996.

Pada masa itu lagu tersebut sentiasa meniti di bibir seluruh masyarakat, sekali gus menjadi petanda penerimaan identiti nasyid sebagai satu cabang seni serta turut mewarnai industri hiburan ketika itu dengan imej nasyid kontemporari dan moden.

Sambutan yang diterima sungguh luar biasa. Bahkan mengatasi populariti artis-artis ternama yang sedia ada waktu itu. Ini dibuktikan dengan penjualan album Raihan yang mencecah 650,000 unit dalam tempoh beberapa bulan.

Angka ini melonjakkan ia sebagai album terbaik di sepanjang sejarah penghasilan album di negara ini.

Sejak kemunculan Raihan, pelbagai lagi kumpulan nasyid muncul seperti Rabbani, Hijjaz, Brothers, Inteam dan ramai lagi sehingga ke suatu ketika, genre nasyid menjadi teraju utama kepada arus muzik di negara kita.

Kini, perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Keadaan agak ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila berlaku lambakan album-album nasyid di pasaran serta saingan daripada irama muzik negara asing.

Tambah merumitkan apabila kemunculan penasyid-penasyid baru dengan pelbagai bentuk irama nasyid. Sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan industri nasyid negara ini.


Menyedari suasana kegawatan yang melanda ekonomi negara ketika ini, tempias ini turut dialami dalam industri nasyid negara ini. Oleh itu, topik 'Industri Nasyid: Hidup Segan Mati Tak Mahu' yang dipilih dua penerbit Radio IKIM.fm, Zamri Zainal Abidin dan Zarita Kasim untuk rancangan Dari Studio Z & Z, menemui kata sepakat dan pendirian tegas panel-panel jemputan bahawa industri nasyid tidaklah seperti gambaran peribahasa di atas serta masih ada masa depan cerah. Cumanya, semua penggiat seni tanah air terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam industri nasyid tidak terus berputus asa serta berpeluk tubuh.

Pada sesi rakaman pagi itu, panel jemputan iaitu Hafiz Hamidun, Asri Ibrahim dari kumpulan nasyid Rabbani, Ketua Pegawai Eksekutif Raihan Productions, Mubin Abdul Latif dan Nor Akmar Shamsuddin dari Harian Metro, bersetuju peranan utama nasyid masih lagi sebagai santapan rohani.

Seterusnya, dianggap sebagai wadah untuk mesej Islam atau medium dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat, sama ada untuk tujuan pentarbiahan, mahupun sebagai hiburan. Malah mereka turut meyakini bahawa industri nasyid punyai identitinya yang tersendiri dan unik.

Menurut Asri, realiti perkembangan industri nasyid itu sendiri memang ketara merudumnya apabila ia dilihat dari segi penjualan album yang semakin menurun dari semasa ke semasa. Kalau dahulu Raihan mampu mengungguli dengan penjualan album sehingga mencecah lebih 600,000 unit tetapi sekarang, untuk sampai kepada tiga angka, ia adalah sesuatu yang sukar.

"Walau bagaimanapun, jika ditanya daripada kaca mata seorang artis yang memang aktif dalam industri nasyid ini, saya dapati senario lembap ini bukan melanda industri nasyid sahaja, tetapi turut dirasai industri-industri lainnya.

"Malah kita masih membuktikan jualan album nasyid masih lancar sungguhpun dalam ekonomi gawat. Buktinya, kumpulan nasyid yang awal-awal pembabitan mereka seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, boleh dikatakan semuanya sudah berjaya membina syarikat rakaman mereka sendiri dan telah ada produk-produk lain di bawah syarikat mereka itu," jelas Asri.

Seperkara lagi kata beliau, kalau 10 atau 20 tahun yang lalu, irama nasyid tidak ada di sekolah-sekolah atau dipertandingkan atau tersenarai dalam mana-mana anugerah seni muzik berprestij tanah air. Sekarang, ia menjadi satu aktiviti atau kokurikulum wajib di sekolah sama ada sekolah beraliran agama mahupun kebangsaan.

"Ini menjelaskan kepada kita bahawa nasyid masih hidup dan tidak segan untuk hidup," kata Asri.

Bahkan di setiap peringkat persekolahan telah ada kategori pertandingan nasyid. Contohnya di sekolah agama mereka ada apa yang dinamakan Amal Islami manakala sekolah kebangsaan ada Tilawatil Quran.

Terbaru, kata Asri, nasyid turut diiktiraf sebagai salah satu genre muzik yang turut mewarnai persada seni hiburan tanah air. Malah kalau sebelum ini sekadar dipertandingkan dalam kategori Album Nasyid Terbaik, tetapi kini telah diwujudkan kategori baru seperti, Lagu Nasyid Terbaik.

"Ditambah dengan perkembangan positif para penasyid negara apabila ada di antara artis nasyid kita ini seperti Rabbani telah mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar yang bukan atas platform agama telah menjadi penaja konsert sempena sambutan Maulidur Rasul pada baru-baru ini," katanya.

Menurut Asri, ini membuktikan kekuatan industri nasyid itu sendiri sekali gus memberi keyakinan bahawa nasyid masih terus hidup dan mampu bertahan dan kekal teguh di persada seni tanah air.

Menurut bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Hafiz Hamidun, sejak bergelar artis solo, beliau dapati bahawa industri hiburan di Malaysia adalah sangat terbuka.

Katanya lagi, tidak timbul para penggiat seni hiburan tanah air meletakkan irama nasyid sebagai muzik kelas kedua, tidak komersial atau tidak popular lalu tidak diberi kesempatan atau membeza-bezakannya dengan genre-genre muzik lain.

"Apa yang saya rasakan, industri muzik kita alhamdulillah saling hormat-menghormati. Oleh itu, orang yang terlibat dengan industri nasyid seharusnya tidak ada alasan merasakan mereka terpinggir atau tidak ada ruang untuk ke hadapan dengan identiti nasyid," jelas beliau.

Malah, Hafiz juga yakin penggiat industri hiburan seperti artis, syarikat rakaman dan sebagainya mengakui potensi yang ada pada industri nasyid.

"Ini kerana kita dapati genre muzik tertentu hanya diikuti atau diminati oleh satu-satu kelompok sahaja tetapi lagu-lagu berbentuk nasyid ini, mampu diterima oleh seluruh dunia kerana ia ada hubungan dengan agama dan kepercayaan.

"Apa lagi, ada juga pemuzik rock itu sendiri mahu melabelkan muzik mereka sebagai rock rohani," terang Hafiz yang juga pengacara rancangan Tilawah Interaktif dan Forum Perdana Ehwal Islam di RTM.

Sementara itu, Nor Akmar memberitahu, irama nasyid itu adalah satu keperluan rohani yang amat diperlukan oleh setiap manusia, apatah lagi hiburan itu adalah satu fitrah atau keinginan semula jadi manusia dalam mencari ketenangan dalaman.

"Bagi saya irama nasyid itu tidak ada kekurangannya. Malah kalau dahulu kita lihat perkembangan genre muzik itu lebih terikat atau mengikut era tahun-tahunnya, tetapi nasyid ia cukup berbeza dan unik.

"Saya katakan demikian kerana kita lihat muzik nasyid masih mampu bertahan dengan identitinya yang mententeramkan jiwa dan mengubat pelbagai penyakit kerohanian," katanya.

Malah dari sudut akhbar, kata Nor Akmar, liputan yang diberi adalah sama rata tetapi berita mereka tidaklah bergantung dengan gosip untuk bertahan atau dikenali.

"Cuma sedikit kelemahan yang dapat saya kongsikan ialah dari segi silaturahim atau lebih tepat komunikasi dan hubungan dua hala yang terjalin antara artis nasyid dengan pengamal media massa," ujarnya.

Pada perbincangan itu juga, Asri turut menyarankan artis-artis baru nasyid agar lebih bersabar dan sentiasa mencari alternatif serta idea-idea baru atau lebih kreatif dalam membuka peluang dan mencari pasaran baru.

Katanya, mereka perlu mengambil contoh artis lama seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz yang sentiasa bersungguh-sungguh dan berusaha untuk terus diterima dan seterusnya bertahan lama.

Walaupun begitu, belum turut memuji beberapa artis baru yang tidak mudah putus asa dan masih terus menghasilkan album waima ia sekadar kompilasi, single ataupun melahirkan album dalam bentuk berdakwah tetapi kaedah pendekatan yang berlainan.

Untuk itu, Mubin turut menyuarakan agar artis nasyid tempatan mencari pasaran baru di luar negara kerana bersetuju dengan pasaran negara yang dikatakan sudah semakin tepu sementelah pula dalam negara menghadapi kegawatan ekonomi.

Itulah juga yang telah dibuktikan oleh Raihan dengan mengembangkan sayap mereka ke negara-negara luar seperti di Eropah, Afrika Selatan malah dalam kelompok negara di benua Asia sendiri.

"Saya ingin memberi pujian kepada kumpulan nasyid Rabbani kerana kejayaan mereka mendapatkan tajaan daripada Telekom Malaysia (TM) untuk konsert mereka. Ini menunjukkan satu perkembangan yang memberangsangkan dan kecerahan masa depan industri nasyid.

"Peluang-peluang untuk mengadakan show juga satu cara bagaimana artis-artis nasyid ini mampu terus bertahan dan memperoleh pendapatan. Buat masa ini, pendapatan dari segi penjualan album tidak berapa jalan, jadi pendapatan daripada persembahan itu jauh lebih berlipat kali ganda," kata Mubin.

Terdahulu, Asri turut merayu dan berharap agar industri nasyid sentiasa mendapat sokongan dan dokongan daripada agensi kerajaan dan swasta atau pihak-pihak bertanggungjawab lain. Ini perlu dalam memastikan kelangsungan (survival) industri ini.

Contohnya, dalam keraian hari-hari kebesaran umat Islam seperti pada sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya.

Sumber : UTUSAN

BERITA @ FN

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More