Suara lunak Leeya cetus Syafeera
Syafeera ( Cahaya Solat )
Semuanya menghimpun peminat tersendiri. Ini adalah kerana nilai estetika tinggi dalam muzik berjaya mempengaruhi setiap individu.
Hari ini, band indie mula menjengah pasaran arus perdana yang mewujudkan persaingan sihat dalam persada seni tanah air.
Artis ‘mi segera’ jolokan untuk artis realiti berlumba-lumba mencuba nasib di arena nyanyian, namun hakikat sebenar untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Monopoli kaum Adam jelas dalam arena nasyid tanah air seperti Raihan, Rabbani, In-Team dan Hijjaz. Ini berlaku bukan kerana diskriminasi, tetapi kerana kurangnya artis nasyid wanita.
Bersandar itu, sekumpulan wanita dari Batu Pahat, Johor bertekad menubuhkan kumpulan nasyid wanita dipanggil Syafeera.
Kehebatan kumpulan nasyid lelaki dijadikan cabaran oleh Syafeera.
Dianggotai Seti Syuhada Zakaria atau Seti, 26; Norashikin Abdullah (Ekin), 23; Dahliana Robani (Leeya), 28, dan Zanariyah Ngarit (Zana), 24, Syafeera bertekad memecah monopoli artis lelaki.
Menyingkap penubuhan Syafeera, Leeya berkata kumpulan berkenaan tercetus apabila Abdul Halim Abdullah atau Aim Crossfire, 41, mendengar nyanyian Leeya di Quantize Studio & Productions di Batu Pahat.
Kelunakan suaranya menggamit Aim untuk menubuhkan kumpulan nasyid wanita.
Leeya mengatur langkah dengan mengajak rakannya, Seti untuk menyertainya.
Tidak menoleh ke belakang, Seti adalah guru sekolah agama mempelawa rakan seangkatannya, Zana untuk turut sama menyertai manakala Zana menerima tawaran rakan baiknya, Leeya menyertai Syafeera.
Mengekalkan konsep nasyid tradisional, Syafeera tampil dengan album single Syafeera, Cahaya Solat yang memuatkan empat lagu seperti Cahaya Solat ciptaan Adha dan lagu oleh Aim, Carilah Ilmu (Adha, Aim), Ku Mohon (Leeya, Leeya) dan Dendang Nasihat (Fauzan, Aim).
Menurut Leeya, lagu dalam album itu disulami dengan nasihat dan pengajaran.
“Album single kami ini dihasilkan untuk memperkenalkan Syafeera kepada masyarakat.
“Melalui cara ini, kami dapat mengetahui penerimaan peminat terhadap album dan konsep yang kami bawakan.
“Selepas ini, berkemungkinan kami bakal tampil dengan album penuh.
“Lagu untuk album ini sudah siap dirakam dan menunggu masa untuk menjengah pasaran.
“Kami bersemangat untuk menaikkan semula irama nasyid yang kian malap. Selama ini kita hanya mendengar nasyid artis lelaki, diharap Syafeera dapat mengisi kekosongan ini,” katanya.
Di samping itu, Leeya berkata status mereka tidak perlu disembunyikan.
Ini kerana dalam menubuhkan Syafeera, suaminya banyak memberikan sokongan dan dorongan.
Leeya dan Ekin sudah berumah tangga manakala Seti bakal mengikut jejak mereka pada tahun ini. Hanya Zana masih belum berkeluarga.
Keindahan nama Syafeera dipetik daripada satu nama bunga. Ia umpama kumpulan berkenaan yang dianggotai kaum hawa dan namanya diberikan Aim sendiri.
Antara pertandingan yang pernah disertai Syafeera ialah johan Pertandingan Nasyid Wanita Piala Ahli Parlimen Batu Pahat, naib johan Pertandingan Nasyid Moden, Marhaban di Astro dan johan Pertandingan Nasyid Wanita Peringkat Kebangsaan di Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam.
Menurut Seti, kerjaya seni tidak mengganggu karier mereka sebagai guru.
“Kerjaya tetap kerjaya. Masa untuk Syafeera tetap ada, tetapi tidak mengganggu masa mengajar. Kami hanya menerima tawaran pada ketika itu kami tidak mempunyai sebarang program,” katanya.
Profile kumpulan Syafeera :
.............................................................................................
1) Nama: Dahliana Binti Robani
Nama komersial: Leeya
Tarikh lahir: 12 Nov 1981
Asal: Batu Pahat, Johor
Idola: Rabbani, Al-Jawaher, El- Suraya
.............................................................................................
2) Nama: Seti Syuhada Binti Zakaria
Nama komersial: Seti
Tarikh lahir: 14 ogos 1982
Asal: Batu Pahat, Johor
Idola: Rabbani
.............................................................................................
3) Nama: Norasyikin Binti Abdullah
Nama komersial: Ekin
Tarikh Lahir: 2 Feb 1986
Asal: Batu Pahat, Johor
Idola: Rabbani
.............................................................................................
4) Nama: Zanariah Binti Ngarip
Nama komersial: Zana
Tarikh Lahir: 3 Apr 1985
Asal: Batu Pahat, Johor
Idola: Rabbani
Sumber :HMETRO
p/s : Dengarkan lagu-lagu Syafeera ekslusif di Nasyidfm!
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
0 comments:
Post a Comment