Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Friday, July 31, 2009

"BUDAYA MEMBACA" MEMBINA SAHSIAH DIRI YANG CEMERLANG

BERITA @ FN

DI BookXcess, lambakan buku murah bukan saja menguntungkan penulis dan karyawan, malah kepada ulat buku.




TINGKAT dua, Blok A Dataran Harmodal, Petaling Jaya (PJ) pada hari itu terasa hangat seperti suasana di pasar borong. Dari jauh, kelibat pengunjung yang datang begitu jelas kedengaran.

Berpusu-pusu masuk ke ruang jualan, majoritinya hadir bersama kotak atau beg-beg plastik bersaiz besar.

Biarpun tiada aktiviti tawar-menawar, pelanggan begitu pantas membuat pilihan. Tanpa berfikir panjang, satu-persatu dicapai dan dicampak terus ke dalam kotak. Kotak yang penuh, bersilih ganti dengan yang baru. Belum sampai sejam, kotak-kotak tersebut sudah pun sarat menggunung.

Berkotak-kotak buku itu diangkat menuju ke kaunter kiraan. Ironinya, barang yang dibeli bukanlah bekalan makanan untuk stok sebulan. Apa yang ada, cuma buku pelbagai saiz dan genre, cukup untuk memuaskan nafsu membaca komuniti pembaca ini.

Buku kanak-kanak

Tanpa disedari, tindakan itu menarik perhatian. Dengan perasaan ingin tahu bercampur keliru, Alice Chong, 23, berfikir 'Banyaknya beli! Buka kedai buku ke?'. Sepanjang hidup Alice, dia belum pernah membeli buku sebanyak itu sekali gus.

"Sejak hari pertama lagi, saya nampak ramai yang beli sehingga mencecah ratusan ringgit. Ada yang datang dua tiga kali. Rupa-rupanya, mereka langsung tidak kisah pasal wang. Janji dapat stok buku yang banyak pada harga yang sangat murah," cerita Alice, saat mengenang pengalaman bekerja sambilan pada jualan buku Big Bad Wolf (BBW), dua bulan lalu.


BOOKXCESS menawarkan pelbagai seleksi buku pada harga murah.


Meskipun hanya berlangsung selama lima hari, jualan buku itu meninggalkan impak besar terhadap komuniti pembaca tempatan. Bayangkan, dengan wang RM1 pembaca boleh membawa pulang sebuah buku kanak-kanak. Malah, sebuah novel pemenang anugerah sastera boleh diperoleh pada harga RM8 sahaja. Sedangkan, pada hari-hari biasa, buku-buku itu mencecah harga lebih RM30 setiap satu.

Dalam diam, Alice mengaku dia terpengaruh. Tidak ingin ketinggalan, pada hari terakhir jualan, anak kelahiran Johor Bharu, Johor itu terus 'menyambar' kira-kira 20 buah buku untuk dirinya dan ahli keluarga yang lain.

"Harga menjadi faktor utama bagi pelajar seperti kami. Jadi, kalau nampak sahaja harga buku yang mahal, niat membaca terus terkubur.

"Bukan apa. Belum tahu cari wang, sudah membazir. Walaupun tahu beli buku itu berbaloi, tetapi jika harganya mahal, ia jadi tidak praktikal. Sebaliknya, satu bebanan," jelasnya kepada Kosmo! bersungguh-sungguh.

Budaya membaca

Sebab itulah apabila harga buku murah, tiada yang teragak-agak untuk membuat pembelian. Malah, setakat ini, Alice telah membaca buku ketiga daripada sejumlah buku yang dibelinya tempoh hari.


JACQUELINE berpendapat harga buku yang murah akan menguntungkan kedua-dua pihak pembaca dan penulis.


Seperti Alice, Benzemine Hoh, 23, berpendapat, budaya membaca hanya boleh ditingkatkan sekiranya harga buku tidak membebankan.


HAFIZ HAMZAH


"Apabila membeli buku yang mahal dan tebal, pembaca mungkin ragu-ragu sama ada dapat menghabiskannya atau tidak. Dalam kes saya, kalau bukan sebab harga buku yang murah, agaknya saya tidak akan mencuba bahan bacaan berbahasa Inggeris," katanya yang hanya membelanjakan lebih RM60 untuk 14 buah buku.

Biarpun faham bahawa faktor harga buku yang mahal sebagai pembunuh niat membaca, seorang pembaca tegar, Hafiz Hamzah, 27, sedar berhubung nilai estetika sesebuah buku.

Jelasnya, penurunan harga buku juga dapat menggandakan kuasa pembelian bilangan buku oleh pembaca. Tindakan ini, kata Hafiz, 'jauh lebih baik daripada segala macam retorik yang berselindung di sebalik kempen membaca.'

"Ini (harga buku mahal) tidak dapat dielakkan. Tetapi, kalau kita ingin meningkatkan budaya membaca, fikirkan satu mekanisme bagi membolehkan industri menawarkan harga buku lebih rendah. Selain menambah bilangan pembaca, ia juga boleh membanyakkan bahan bacaan berkualiti, termasuklah judul yang jarang mendapat perhatian.

"Jika subsidi saja alternatif yang tinggal, apa salahnya diusulkan kepada kerajaan. Desak jika perlu. Ini soal melahirkan masyarakat yang ada otak, bukan hal main-main," tambahnya.

Buku tersadai

Tanpa bebanan untuk memiliki buku, golongan pembaca dan bakal pembaca diyakini akan memburu lebih banyak buku. Kaedah ini dilihat jauh lebih berkesan daripada membiarkan buku tersadai di rak-rak kedai.

Dalam usaha membudayakan amalan membaca pula, Hafiz berharap kerajaan tidak melahirkan masyarakat yang lemah intelek menerusi 'bahan bacaan kontang idea'. Novel-novel cinta tempatan dan import yang berselerak bukan sajian murah terbaik untuk membentuk minda masyarakat.


KEDAI BookXcess yang terletak di Amcorp Mall, Petaling Jaya.


Sebaliknya, buku-buku yang 'berisi' dan berunsur ilmiah diyakini mampu menggerakkan kesedaran dan pandangan sosial seseorang pembaca. Turut mencari buku dari pelbagai sumber alternatif, Hafiz mengakui salinan fotokopi mungkin satu-satunya jalan demi memenuhi keperluan pembacaan berkos rendah.

"Jika buku-buku itu benar-benar sukar didapati dan mahal, apakah alternatif yang lebih baik, selain menggunakan salinan fotokopi walaupun tidak 'dihalalkan'.

Bagi pengusaha kedai buku lebihan, BookXcess, Jacqueline Ng pula, lambakan buku murah juga menguntungkan golongan penulis. Buku yang diturunkan harganya secara tidak langsung memberi peluang kedua kepada karyawan.

"Bila harga buku murah, pembaca akan terdedah kepada penulis-penulis baru atau tidak dikenali. Jika mereka sukakan karya tersebut, pembaca akan dapatkan judul buku lain daripada penulis yang sama dari kedai buku perdana. Bukankah itu satu berita baik?" tanyanya kepada Kosmo!.

Sumber : KOSMO !

BERITA @ FN



Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More