BERITA @ FN
Semangat Asri tidak mati
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Kumpulan Rabbani |
Segala perjuangannya untuk memartabatkan lagu nasyid dan berdakwah menerusi hiburan akan diteruskan anggota kumpulan Rabbani yang lain
Mohd Asri atau dikenali di kalangan teman-teman sebagai Ustaz Asri menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun Khamis lalu iaitu 10 hari selepas meraikan ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada 3 Ogos, tanpa sempat menjalani ibadat puasa yang bakal menyingkap tirainya beberapa hari saja lagi. Dia rebah ketika memenuhi undangan stesen televisyen RTM yang mengadakan sidang media musim terbaru program Syahadah kira-kira jam 10.30 pagi.
Selepas ini tidak kelihatan lagi senyuman manis dan sapaan mesra dari seorang bernama Ustaz Asri yang ramah walau dengan sesiapa saja tanpa melihat luaran seseorang insan itu. Baginya, semua makhluk di dunia ini sama justeru wajar diberi layanan sama rata.
Kehilangan Allahyarham secara mengejut pagi Khamis lalu sekali lagi menggegarkan industri hiburan tanah air yang baru saja meratapi pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad tanggal 25 Julai lalu. Kini dunia seni sekali lagi suram dengan pemergian seorang ikon Nasyid.
Pemergian Asri tidak hanya diratapi keluarga terutama balu Nor Jannah Shahdan, 38, serta enam cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama iaitu Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4; anggota kumpulan Rabbani sendiri, bahkan mereka yang pernah mengenali Allahyarham biarpun cuma untuk seketika turut terkesan dengan pemergian Allahyarham. Selepas ini tiada lagi suara lunaknya mengalunkan azan, membacakan ayat suci Al Quran, mendendangkan lagu memuji kebesaran Ilahi serta membacakan doa di majlis.
GAMBAR kenangan ketika melawat Beijing di China. |
Kembalinya Asri ke Rahmatullah adalah satu kehilangan besar buat industri nasyid tempatan yang sudah tentu kesannya lebih dirasakan anggota Rabbani yang lain iaitu Azadan Abdul Aziz Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman yang sudah bersama-sama Asri sejak kumpulan itu ditubuhkan 12 tahun lalu iaitu tanggal 1 Mac 1997.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai kenangan suka duka serta kejayaan dikecapi bersama. Rabbani pernah menerima anugerah Penyanyi/Kumpulan Nasyid Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut. Dalam tempoh lebih sedekad itu juga, pelbagai pencapaian diraih dan sebanyak 19 buah album dihasilkan.
Tidak mudah untuk anggota Rabbani melupakan segala kenangan bersama Allahyarham. Kehilangannya membuatkan pergerakan Rabbani menjadi pincang. Namun kata salah seorang anggota yang juga teman rapat Allahyarham, semangat Asri akan terus mengiringi perjuangan mereka kerana Allahyarham bersungguh-sungguh untuk menaikkan nama Rabbani sehinggalah ke saat dia menutup mata.
"Pemergian Asri tidak akan menguburkan nama Rabbani memandangkan tidak mudah untuk kami berada pada tahap sekarang. Bagaimanapun semangat Allahyarham akan sentiasa mengiringi perjuangan kami, biarpun kehilangannya meninggalkan kesan besar kepada kami.
SENTIASA menjalani program motivasi bersama peminat yang kebanyakkannya adalah pelajar sekolah. |
"Rabbani akan tetap bergerak, namun suasananya pasti tidak sama lagi seperti dulu. Ketiadaan ustaz membuatkan kumpulan ini jadi pincang tetapi kami perlu meneruskan karier Rabbani. Persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya sepanjang bulan Ramadan yang menjadi aktiviti wajib Rabbani akan tetap kami teruskan.
"Bagaimanapun ada undangan yang terpaksa kami batalkan beberapa hari selepas ustaz meninggal dunia sebagai menghormati pemergiannya," kata Azadan yang bertungkus-lumus menguruskan pengurusan jenazah.
Mengenali Allahyarham hampir 20 tahun iaitu ketika sama-sama menyertai kumpulan Nadamurni adalah satu kenangan yang sukar dilupakan Azadan. Lebih menyayat hati apabila melihat teman baiknya rebah di depan mata menyambut panggilan Ilahi. Ayat terakhir Asri yang melaungkan nama Allah ketika rebah masih lagi terngiang-ngiang di ingatan Azadan.
"Saya bersyukur menjadi antara orang yang rapat dengan Allahyarham tetapi pemergiannya cukup mengejutkan buat saya. Pada hari pemergiannya, ustaz memang kelihatan kurang sihat, pagi sebelum kami ke RTM dia muntah-muntah bagaimanapun kami hanya menyangkakan ia serangan gastrik kerana ustaz ada menghidap penyakit itu.
"Ketika isteri arwah menghantarnya ke pejabat, keadaan dia cukup lemah. Sebaik memasuki kereta dia hanya berdiam diri, melihat keadaannya itu saya pun membiarkan saja kerana tidak mahu mengganggunya. Namun apabila tiba di RTM, dia nampak ok saja tetapi ketika kami sedang membuat 'soundcheck', tiba-tiba saya terdengar laungan Allah dan nampak arwah rebah.
"Kenangan bersama Allahyarham cukup sukar untuk saya lupakan. Sepanjang mengenalinya dia seorang yang penyabar, ceria dan suka meraikan orang lain serta terlalu merendah diri, apa saja yang dilakukan adalah ikhlas dari dasar hatinya. Kadang kala kami rasakan dia tidak perlu melakukan sesuatu perkara sampai ke tahap begitu sekali. Jika terbabit dengan persembahan pula, dia seboleh-bolehnya akan memastikan keseluruhan anggota Rabbani tiba lebih awal supaya tidak membiarkan penganjur tertunggu-tunggu," kata Azadan lagi.
Dalam membuat keputusan untuk Rabbani pula kata Azadan, lazimnya mereka akan berbincang bersama-sama. Namun dalam banyak hal, ustaz lebih gemar berdiam diri dan mendengar bagaimanapun lazimnya jika arwah bersuara, keputusan yang lahir selalunya bernas dan tidak terjangkau pada pemikiran anggota yang lain.
"Arwah ustaz lebih suka mendengar daripada bercakap sehinggakan bila masa dia marah pun kita tak tahu. Cuma saya perasaan, dua tiga hari sebelum dia meninggal dunia, arwah nampak tidak begitu aktif serta lebih banyak berdiam diri," kata Azadan.
Sumber : BERITA HARIAN
BERITA @ FN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
0 comments:
Post a Comment