BERITA @ FN
Dengarnya...: Stesen TV tak hargai sumbangan Ustaz Asri?
ALLAHYARHAM UST ASRI IBRAHIM
TAKZIAH kepada keluarga pemimpin dan vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohd Asri Ibrahim di atas kepulangannya ke Rahmatullah pada pagi Khamis lalu.
Cik Normah berasa sayu, sedih dan hiba apabila mendengar pemergian Mohd Asri atau mesra dengan panggilan Ustaz Asri. Masih terbayang wajahnya yang jernih, sentiasa senyum dan suaranya yang lembut setiap kali menyapa Cik Normah dan rakan-rakan.
Jarang kita mendengar suaranya tinggi. Walaupun mungkin ada perkara yang tidak disenangi, arwah Asri sentiasa senyum dan mendiamkan diri saja.
Mendengar suara arwah Asri apabila melaungkan takbir raya yang disiarkan di TV atau azan solat, memang sampai jauh ke sanubari. Begitu juga apabila mendengar rakaman suaranya membaca al-Quran seperti yang dimuatkan dalam albumnya.
Cik Normah menjadi terkedu apabila mendengar lagu Pergi Tak Kembali. Seram dan menginsafkan kita apabila menghayati lirik lagu ini. Kalau dengar lagu Intifada pula, jiwa kita jadi segar, bersemangat dan berani dalam mempertahankan maruah Islam.
Dalam industri muzik, terutama nasyid, Ustaz Asri dianggap sebagai ikon. Cik Normah rasa bukan saja peminat muzik nasyid, tetapi orang biasa seperti Cik Normah juga turut mengagumi dan menghormati kewibawaan arwah Ustaz Asri. Arwah dipandang tinggi sebagai seorang yang disegani, berkarisma, tetapi pada masa yang sama sering merendah diri.
Selepas pemergian Ustaz Asri, Cik Normah dihujani oleh pertanyaan daripada orang ramai, kenapa stesen TV tidak membuat program khas sebagai mengenai jasa dan sumbangan beliau dalam persada muzik tanah air.
Kata mereka, kalau stesen TV boleh membuat program khas dengan cepat untuk mengenang jasa dan sumbangan Yasmin Ahmad, kenapa pula perkara sama tidak dilakukan kepada Ustaz Asri Ibrahim?
Adakah kerana ustaz Asri tidak menonjolkan imej Malaysia? Barangkali kerana stesen TV melihat ustaz Asri sebagai penyanyi nasyid semata-mata yang tidak ada kelas kalau dibandingkan dengan Yasmin Ahmad.
Memang selama ini, stesen TV dan sesetengah stesen radio sentiasa memandang rendah muzik nasyid. Iyalah, apa sangat nasyid. Tidak urban! Kekampungan pula tu. Jadi kalau nak siarkan lagu nasyid sekalipun hanya pada waktu sebelum atau selepas waktu solat.
Bagi Cik Normah, orang di stesen TV dan radio kena keluar dan melihat sendiri bagaimana pengaruh ustaz Asri kepada dunia muzik keseluruhannya. Dia cukup dihormati, sama ada orang Melayu atau bukan Melayu, yang Islam atau tidak Islam.
Sumber : BERITA HARIAN
BERITA @ FN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
0 comments:
Post a Comment