Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Sunday, August 16, 2009

"KEYAKINAN KEPADA ALLAH KUNCI KEKUATAN"

BERITA @ FN

Asri ajar anak dengan hati


PERMATA hati Asri dan Halizah. Dari kiri, Mohd. Fathi, Ilham Fikri, Mohd. Nasiruddin, Hamdi Rabbani dan Sofiyyah Munawarah.


PAGI semalam, kedatangan saya ke rumahnya di Rawang, Selangor disambut baik isteri Allahyarham Asri Ibrahim, vokalis nasyid Rabbani, Halizah Shahzan, 39. Riak wajahnya tenang ketika ditemui. Beliau ditemani anak bongsunya, Hamdi Rabbani, 4 tahun.

Bohong jika dikata tiada riak duka yang terlukis pada wajah wanita yang baru kehilangan ‘nyawanya’ ini. Namun demi anak-anak, ranjau kehidupan yang terbentang, disusuri dengan yakin.

Menjadi pemimpin kepada Mohammad Nasiruddin, 14, Muhammad Fathi, 13, Atiqah, 11, Ilham Fikri, 9, Sofiyyah Munawwarah, 5, dan Hamdi Rabbani, selepas pemergian Asri, hanya keyakinan kepada Allah serta ajaran arwah menjadi kunci kekuatan mereka kini.

Sekuat ibunya dalam meredakan pemergian insan tersayang, anak-anak soleh Allahyarham turut merestui pemergian si bapa.

“Saya rindu ayah,” ringkas, namun begitu menyentuh hati ungkapan yang keluar daripada bibir Hamdi.

Sementara anak-anaknya yang lain, termasuk Nur Afikah yang diserang demam lebih selesa membiarkan ibunya berbicara tentang insan yang paling mereka sayangi.

“Kalau nak ceritakan tentang kenangan, dalam masa sesingkat ini, memang tak tahu nak cerita macam mana,” Halizah memulakan bicara.

Saya membiarkan wanita yang wajahnya cukup suci ini mengutip kekuatan untuk bercerita. Beberapa detik kemudian, Halizah bersuara lagi.




Jelasnya, kenangan menunaikan umrah bersama Asri baru-baru ini adalah kenangan termanis sebelum suaminya itu dijemput pulang oleh Ilahi.

Selebihnya dia menyerahkan kenangan tersebut bertandang mengikut keadaan. “Ada masa-masanya, kenangan yang lama itu mudah saja datang. Kalau teringat, hanya doa saja yang mampu saya titipkan,” katanya tersekat-sekat.

Antara momen yang segar dalam ingatannya selain bulan madu di Mekah adalah ketika kali terakhir menghantar arwah ke pejabat Rabbani pada pagi kejadian iaitu Khamis lalu.

“Walaupun arwah pergi tanpa saya, namun saya puas sebab saya sendiri yang menghantar arwah. Sempat bersalam dan sempat menatap wajahnya,” jelasnya yang memberitahu menerima panggilan tidak sampai setengah jam selepas menghantar arwah.

Ketika saya melanjutkan persoalan mengenai anak-anak, Halizah termenung sebentar.

“Alhamdulillah. Semuanya faham dan reda dengan ketentuan Allah. Ada yang masih sedikit terkejut namun mereka cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ini,” jelasnya.

Namun satu hal yang meninggalkan kesan di hatinya apabila bercakap tentang arwah dan anak-anaknya adalah cara arwah mendidik anak-anak mereka. Akuinya, dia akan merindui cara didikan arwah kerana suaminya itu mengajar anak-anak melalui hati – menegur dengan cara halus dan berhemah.

“Jarang arwah marah malah susah melihat dia marah anak-anak. Sebaliknya sikap dia yang suka memujuk dan tenang itu memang cukup berbekas di dalam hati kami,” cerita Halizah tentang seorang lelaki bernama Asri yang tidak akan pernah kembali bersamanya lagi kecuali diizinkan Tuhan sewaktu kiamat menjelma nanti.

Rabbani belum cari pengganti

PERGINYA Ustaz Asri yang dikasihi, membekaskan sejuta rasa di sanubari khalayak yang mengenalinya. Canda dan nasihatnya selalu menjadi penyeri hari-hari anggota Rabbani yang lain.

Bagi Azadan Abdul Aziz, 36, Rahmat Shafie, 37, Mohd Asri Ubaidullah, 38, Lokman Abdul Aziz, 35, Rithahudeen Yaakob, 38, Mohd Nazrul Azhar Tamrin, 31, Zulkifli Azman, 35, dan Affendi Shahabudin, 33, kehilangan arwah umpama sebutir bintang yang membuat kehidupan mereka gelap tanpa cahaya bimbingan.




Biar arwah terlebih dahulu meninggalkan anggota yang lain pada usia 40 tahun, namun legasi Rabbani tidak akan mati. Rabbani akan terus mekar dan memperjuangkan gurindam nasihat daripada alunan merdu nasyid mereka.

“Kami tidak bercadang untuk mencari pengganti arwah. Sebenarnya pemergian arwah bukan sekadar sebagai anggota Rabbani. Tapi dialah teman, dialah ayah dan ketua yang kami sayangi,” luah Azadan yang jelas kedengaran menangis menahan sebak di corong telefon.

Tambah Azadan, demi menghormati pemergian Asri, Rabbani membekukan agenda seni mereka sebelum kembali aktif pada Ramadan keempat kerana terikat dengan kontrak persembahan bersama Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor.

Ditanya apakah lagu kegemaran Asri yang tidak pernah gagal dibawakan dalam persembahan-persembahan mereka, Azadan memberitahu, Asri menggemari banyak lagu daripada album terkini mereka daripada album Nostalgia Nada Murni.

“Tapi lagu kegemarannya adalah Bila Nur Melimpah di Hati dan Mana Milik Kita. Sejak kebelakangan ini, lagu Mana Milik Kita yang arwah cipta sendiri 20 tahun lalu menjadi lagu wajib persembahan kami,” ujarnya yang akan menunaikan hajat Asri membuat aqiqah untuk anaknya pada 18 Ogos ini. – MALIAH SURIP

Sumber : KOSMO

BERITA @ FN



Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More