BERITA @ FN
Asri tinggalkan khazanah nasyid
|
|
Satu persatu mereka menutup mata pergi meninggalkan kita. Rasanya masih baru mengira hari saat kehilangan Allahyarham Shukery Hashim. Diikuti pula oleh Khairil Khamis, Yasmin Ahmad dan pada Khamis lalu pula seorang lagi artis iaitu anggota kumpulan Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim,40 pergi buat selama-lamanya.
Mereka semua pergi bagaikan berjanji. Sehari selepas Asri yang lebih mesra dipanggil ustaz Asri dijemput kembali, pelakon Param pula mengikut jejak serupa.
Yalah... bak kata rangkap lagu nukilan Asri, Pergi Tak Kembali: setiap insan pasti merasa saat perpisahan terakhir, dunia yang fana akan ditinggalkan hanya amalan yang dibawa.
Memang benar 13 Ogos lalu tarikh yang mengejutkan peminat apabila penulis lagu dan lirik itu pergi mengotakan janjinya dengan Tuhan. Perginya tidak akan kembali lagi.
Yang tinggal hanyalah lagu-lagu daripada kelunakan suaranya untuk kita jadikan kenang-kenangan. Asri disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar akibat serangan jantung.
Sebelum itu beliau bersama kumpulannya mengadakan latihan untuk program Syahadah terbitan RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Beliau rebah pada jam 10 pagi ketika sedang memegang mikrofon.
Sebelum itu Asri ada memberitahu isterinya, Halizah Shahadan, 38, yang dia kurang sihat selain mengalami muntah-muntah. Tetapi kerana komitmen dan janji, Allahyarham tetap mahu meneruskan usaha menjayakan program yang sudah dirancang itu.
Perginya Asri merupakan satu kehilangan besar terhadap bidang nasyid negara ini. Manakan tidak, sehingga hari ini tiada siapa yang dapat menandingi keunggulan suaranya yang boleh dianggap unik itu.
|
|
Kemunculan kumpulan itu pada saat populariti kumpulan nasyid melonjak selepas Raihan menjadi kumpulan nasyid pertama menjual album kira-kira 600,000 unit.
Ketika Rabbani muncul, saya pernah berkata, kumpulan nasyid atau kumpulan marhabankan itu? Bayangkanlah pertama kalinya saya melihat kumpulan nasyid yang disertai ramai anggota iaitu 13 orang, melebihi sebelah pasukan untuk satu perlawanan bola sepak.
Tetapi lihatlah selepas 12 tahun menempuh ranjau duri sebagai anak seni, Rabbani bersama Asri mampu bertahan sehinggalah Allahyarham pergi. Asri boleh disifatkan sebagai individu yang tawaduk, baik budi pekertinya. Tutur katanya lemah lembut dan tidak lokek memberikan senyuman.
Sumber : UTUSAN
BERITA @ FN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
0 comments:
Post a Comment