Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Friday, September 11, 2009

"ALLAHYARHAM ASRI TIDAK BANYAK KARENAH"

BERITA @ FN

Hati isteri arwah Asri

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


NOOR JANNAH dan anak akan menyambut lebaran di Rawang bagi memudahkan mereka menziarahi kubur arwah Asri pada pagi raya.

Ramadan, Syawal tahun ini begitu berlainan tanpa suami yang pergi menyahut panggilan Ilahi

BERTEMU balu vokalis kumpulan Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, Noor Jannah Shahadan, 39, bersama lima daripada enam anak ketika majlis berbuka puasa Media Prima Berhad dan Scomi Group di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama, hati disentap pilu melihat anak-anak Allahyarham yang masih kecil.

Sama seperti si ibu, anak-anak Allahyarham, Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12, dan Mohd Ilham, 10, juga kelihatan cukup tabah seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sementara si kecil Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4, pula nampak seronok bermain belon berdua sementara menantikan ibu mereka ditemuramah. Mereka masih terlalu kecil untuk mengerti sepenuhnya bahawa Abi mereka tidak mungkin kembali lagi.

Ujar Noor Jannah, sesekali, dua anak kecilnya itu terlintas bertanyakan ketiadaan Abi mereka dan mempersoalkan kenapa terlalu cepat Abi dijemput-Nya. Walaupun sedih apabila si kecil mengajukan soalan sedemikian, namun dia perlu menerangkan sejelas-jelasnya kenapa perkara itu berlaku.

“Memang sedih apabila anak bertanyakan soalan macam itu. Biasanya jika dia ajukan soalan itu, saya akan peluk dia erat-erat dan jelaskan apa yang berlaku kepada Abi mereka. Dia tahu jawapannya tetapi mungkin kadang-kadang dia lupa,” kata Noor Jannah ramah.

Ramai kagum melihat ketabahan wanita bernama Noor Jannah menghadapi kehilangan suaminya secara mengejut. Namun dia juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Tiada isteri yang tidak akan terkesan dengan pemergian seorang suami setelah 16 tahun berkongsi hidup, apatah lagi di dalam bulan Ramadan serta Syawal yang bakal menjelang tidak lama saja lagi.

Bagaimanapun kesedihan itu disimpan kemas Noor Jannah sendirian kerana tidak mahu anak-anak terus bersedih dengan pemergian Asri. Di samping itu, Noor Jannah juga tidak suka memperlihatkan kesedihannya di hadapan khalayak. Satu-satunya tempat untuk dia melempiaskan kesedihan adalah di dalam bilik.



“Mestilah saya rasa lain sejak ketiadaan arwah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan seperti ini. Sunyinya memang tak dapat nak digambarkan, seolah-olah tiada apa untuk disambut tahun ini. Selalunya bila bulan puasa, hari pertama hingga ketiga arwah akan berada di rumah sepanjang hari. Hari keempat barulah arwah akan mula berada di Hotel Singgahsana dan dia akan sibuk hinggalah ke penghujung Ramadan.

“Jadi kami memang sukar nak bertemu, biasanya tengah malam barulah kami anak beranak dapat bersua muka dengan arwah. Jika sesekali arwah pulang awal, anak-anak cukup seronok. Mereka akan keluar menyambutnya bersungguh-sungguh. Arwah cukup suka kami menyambut kepulangannya, tetapi sekarang tiada siapa akan menyerbu keluar lagi,” imbau Noor Jannah saat-saat manis ketika hayat Asri.

Kata Noor Jannah, Allahyarham Asri seorang yang tidak banyak kerenah. Arwah tidak mempunyai juadah khusus ketika berbuka puasa, apa saja yang dihidang Noor Jannah akan dijamah tanpa banyak soal. Tidak kira sama ada ia dimasak sendiri ataupun dibeli saja dari kedai.

“Juadah memang arwah tak kisah, saya masak apa pun dia ok. Kalau beli sekali pun dia tak kisah. Waktu berbuka pula, arwah akan pilih anak yang mana untuk bacakan doa. Jika mengenang kembali kenangan berbuka bersama arwah, memanglah menyedihkan. Saya tak sangka selama ini hanya dengar cerita mengenai rakan-rakan yang meninggal tetapi apabila benda itu berlaku kepada kita, barulah saya tahu bagaimana perasaannya.

“Agar tidak terlalu teringatkan arwah, saya sengaja sibukkan diri dengan perniagaan tudung sekolah. Itu saja cara saya nak melupakan arwah iaitu dengan cara membanyakkan kerja. Tapi bila penat lagilah saya terasa kehilangan arwah, waktu arwah masih ada selalunya saya akan minta bantuannya supaya pulang cepat bantu saya tengokkan anak-anak. Selalunya arwah akan cuba tunaikan permintaan saya tetapi sekarang tiada lagi tempat untuk saya minta pertolongan.

“Pernah saya menangis teresak-esak ketika dalam kereta kerana mendengarkan suara arwah menerusi IKIM.Fm, tapi bila difikir-fikir kembali tindakan itu boleh membahayakan nyawa, saya cuba kawal perasaan sedih itu. Jika ingin menangis sekali pun, saya lebih senang menangis sendirian di dalam bilik. Memanglah saya boleh layan perasaan tetapi sampai bila saya nak terus bersedih,” kata Noor Jannah yang akan meraikan Aidilfitri di Bukit Sentosa, Rawang saja tahun ini bagi memudahkannya menziarah kubur arwah di pagi lebaran nanti.

Sumber : BERITA HARIAN

BERITA @ FN



Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More