Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Friday, September 4, 2009

"JANGAN UJI KESABARAN SAYA" UJAR AKHIL HAYY

BERITA @ FN

Bila kesabaran Akhil diuji


TIDAK teragak-agak untuk menyaman mana-mana penulis blog yang terus memburukkan dirinya dan Waheeda.


SETELAH disatukan secara sahnya pada 16 Ogos lalu di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baharu, Selangor, pendakwah popular, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi nasyid, Waheeda, 30, kini sedang melayari bunga-bunga indah alam berumah tangga.

Lebih menarik lagi apabila hari-hari terawal mereka berpayung dalam sebuah institusi kekeluargaan baru memperlihatkan atmosfera lancar sambil disertai oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

"Alhamdulillah, perkahwinan yang baru terbina ini dilihat berjaya merapatkan perhubungan silaturahim antara dua buah keluarga.

"Pada saya perkahwinan tidak semestinya untuk diraikan oleh kedua mempelai saja. Tetapi ia turut disambut dengan seluruh keluarga.

"Sejak awal Ramadan lalu, saya dan Waheeda lebih banyak berbuka puasa di rumah kedua-dua belah mertua sehingga kami tiada ruang untuk berbuka berdua.

"Tiga hari pertama kami berbuka puasa di rumah emak saya di Gopeng, Perak manakala tiga hari berikutnya di rumah keluarga Waheeda.

"Kami cukup bersyukur apabila dikurniakan ahli keluarga yang bersikap memahami dan sentiasa menyokong daripada belakang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Astro Megaraya 2009 di Taman Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengenai pengumuman Waheeda yang hendak bersara dari dunia artis semasa hari pernikahan mereka, Akhil berkata, keputusan Waheeda itu lahir daripada dirinya sendiri dan bukannya atas paksaan sesiapa.

"Bukan saya yang memaksa dia untuk berhenti daripada dunia seni. Tetapi dia sendiri yang membuat keputusan yang sudah tentunya mengejutkan ramai ini.

"Sebagai seorang suami saya perlu menghormati keputusan Waheeda dan menyambut baik niatnya dengan dengan perasaan sempurna," ujarnya.

Jangan uji kesabaran saya

Terus-terang, apa jua kisah yang berlegar di laluan maya terutama mengutuk Akhil dan Waheeda secara terang-terangan memang tidak mampu diterima oleh pasangan pengantin baru itu.

Situasi yang tidak mengejutkan langsung apabila ada sebilangan penulis blog kurang bertauliah menunjuk pandai dan memperlihatkan belang kononnya mereka lebih tahu daripada segala-galanya termasuk bab yang terarah keagamaan.

Mudah sahaja kepada mereka untuk menghakimi orang lain secara luaran tanpa ada usul-periksa. Hakikatnya, mereka yang lebih gemar mengkritik belum tentu punya pengetahuan mahupun ilmu yang mendalam terhadap satu-satu perkara.

Satu-persatu helaian kisah hidup Akhil dan Waheeda diselak waima keputusan muktamad untuk bergelar suami-isteri sudah tertulis di atas sekeping sijil pernikahan.

Ingatkan penyatuan mereka sebagai suami-isteri mampu menutup mulut-mulut jahat orang lain. Namun, ada lagi yang terus enak berkata-kata.

Masing-masing meluahkan butir pendapat sendiri. Ada yang nekad memboikot Akhil dan Waheeda. Malah tidak kurang yang berani mempersoalkan kredibiliti Akhil yang selama ini digelar masyarakat sebagai ustaz mahupun pendakwah.

Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Akhil mula tersentak sehingga bertindak untuk menyaman mana-mana penulis blog yang disyaki sudah 'menzalimi' dirinya dan Waheeda.

"Sudah lama saya bersabar dengan cakap-cakap kurang enak daripada segelintir penulis blog. Semakin saya mendiamkan diri, semakin banyak pula yang menulis bukan-bukan tentang kami di Internet.

"Sampai pada satu tahap nanti, saya akan saman penulis-penulis blog yang menulis cerita yang tidak baik tentang saya dan Waheeda.

"Saya dan Waheeda kini sudah sah bergelar suami-isteri. Kami tak pernah mencari musuh selama ini. Justeru saya tidak faham kenapa penulis-penulis blog sanggup mereka-reka cerita seperti ini.

"Sekiranya orang lain sudah mengalami penceraian mahupun berniat untuk mendirikan rumah tangga baru, kenapa masih ada mulut-mulut yang ingin berbuat bising seolah-olah tidak berpuas hati?

"Bak kata Rasulullah, kalau tidak tahu tentang satu-satu perkara maka lebih baik untuk kita berdiam lantas bermuhasabah diri," jelas Akhil penuh pengertian tersurat dan tersirat.

Apabila diajukan pertanyaan penulis di laluan maya yang dimaksudkan olehnya itu, Akhil bagaimanapun enggan mendedahkan nama blog yang membikin hatinya terusik.

Dalam perkara yang melibatkan penulis blog tidak bermoral itu, Akhil mempercayai bahawa Allah tetap akan membalas setiap inci daripada perbuatan manusia yang menyakiti dirinya.

"Saya hanya mampu berdoa kepada-Nya. Allah Maha Adil sekali gus kita sebagai insan biasa tidak tahu lagi macam mana hari-hari yang bakal dilalui selepas ini.

"Ia diibaratkan perjalanan hidup kami sebagai manusia biasa. Bahkan kami bukannya membuat jenayah. Terlalu banyak orang terlepas pandang dalam soal ini.

"Saya dan Waheeda benar-benar berasa dizalimi sehingga program Cafe Akhil Hayy terpaksa direhatkan untuk tempoh sementara.

"Walaupun terpaksa berdepan dengan perkara ini namun saya tetap berfikiran positif. Saya percaya Tuhan akan memberi balasan yang setimpal kepada mereka melalui doa kami.

"Insya-Allah, doa manusia yang dizalimi akan dikabul Allah. Kalau benarlah rancangan Cafe Akhil Hayy akan dihentikan maka saya menerima keputusan pihak Astro dengan hati yang terbuka tanpa melenting tidak tentu pasal.

"Ini semua bergantung kepada pihak mereka (Astro). Rezeki saya ditentukan oleh Allah Taala. Malah saya bersedia untuk menerima setiap keputusan dengan perasaan positif," ulasnya ringkas.

Akhil bakal muncul dalam dua buah program sempena Hari Raya Aidilfitri nanti yang disiarkan oleh Astro - Mega Raya Astro di Astro Ria pada 19 September pukul 11 malam dan 1001 Inspirasi di Astro Oasis, 20 September, 1.30 petang.

Sumber : KOSMO

BERITA @ FN


Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More