'Saya bukan gila isim' - Yassin
Didiagnosis gangguan bipolar, mengaku didatangi cahaya
|
|
MELANGKAH masuk ke rumah penyanyi dan komposer yang popular dengan lagu Mimpi Laila dan Salsabila, Yassin Sulaiman, 34, yang ditemani isteri dan anak, ramah menyambut.
Dia yang kelihatan sedikit kurus kemudian rancak bercerita tentang pengalaman selama dua minggu hidup dalam keadaan tertekan hingga terpaksa dimasukkan ke wad psikiatri di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Menurut laporan sebelum ini, ramai peminat dan teman-teman Yassin hairan kerana dia yang baru muncul dengan album Arus Qudus, sering menulis perkara pelik dalam laman Facebook miliknya.
Penyanyi yang pernah berlakon dalam tiga buah filem iaitu Syukur 21, No Problem dan Mendam Berahi ini pernah mengaku mengalami kekeliruan identiti ketika mula-mula bergerak sebagai penyanyi solo iaitu dari tahun 2001 hingga 2005.
Mengingati semula peristiwa terbaru ini, Yassin berkata dia didatangi 'cahaya' pada satu malam semasa Maghrib. Katanya, ketika itu dia duduk di meja menghadap komputer dan melayari laman sosial Facebook.
"Tiba-tiba saya didatangi satu cahaya yang terang. Lembik lutut dan sendi saya, lantas saya terus terbaring menghadap kiblat dan menangis sepuasnya.
"Saya tidak tahu adakah ini petunjuk daripada Allah atau godaan syaitan," ujarnya yang kemudian teringat bait sajak yang dibacakan oleh Dian Sastro yang berbunyi "Sadarku akan hadirmu, mematahkan sendi-sendi yang biasanya tegak berdiri".
Bait itu terkandung dalam lagu Alhamdulillah nyanyian Yassin, Ahli Fiqir dan Too Phat.
Bilakah titik mula anda mengalami tekanan mental?
Ia bermula dengan laman sosial Facebook. Saya terlalu taksub dengan masalah dunia dan kawan-kawan. Waktu itu saya terfikirkan masa depan anak-anak saya. Apa bakal terjadi kalau dunia terus begini dengan pelbagai masalah?
Saya obses mahu menyelesaikan masalah dan berdiskusi mengenainya. Peperangan dalam jiwa saya berlaku dan rasa mahu menjadi penyelesai semua masalah. Tapi tekanan ini berlaku perlahan-lahan, bukan secara drastik. Cuma pada hari ketiga, saya semakin tertekan dan berlanjutan selama dua minggu.
Anda ketagih Facebook?
Saya ketagih mahu membuat pengakuan. Ia menjadikan saya hiper. Antara masalah yang saya lihat di dunia sekarang ialah masalah budaya. Saya kemudian bimbangkan masalah ekonomi yang dikuasai riba, jurang kemiskinan kita serta politik Malaysia dan dunia.
Saya juga kerap mengikuti berita di kaca televisyen dan semuanya saya lemparkan ke dalam Facebook. Segalanya saya tulis di ruangan 'What on your mind' kerana itu yang ada dalam minda saya.
Siapa yang mula-mula perasan perubahan anda?
Isteri saya. Dia lihat ada yang tidak kena dengan saya. Kemudian keluarga saya cadangkan saya berjumpa doktor. Mulanya saya enggan kerana ego yang besar. Tapi akhirnya saya pergi berjumpa doktor di HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) yang merasakan saya berdepan dengan gangguan bipolar. Selepas itu, saya bertemu dengan doktor di Hospital Pantai dan mendapatkan kaunseling daripada seorang doktor yang sudah lama saya kenal.
Benarlah yang anda dimasukkan ke hospital?
Ya, benar. Saya masuk ke hospital (HUKM) selama dua minggu mulai pertengahan Mei hingga awal Jun. Mereka menjaga tidur saya agar cukup, diet saya dan diberikan ubat. Malah saya tidak dibenarkan menggunakan komputer atau telefon bimbit. Saya perlu membuatkan rutin hidup saya kembali normal.
Apa perubahan yang mahu anda buat selama dua minggu dalam tekanan?
Saya terpanggil untuk mengubah nasib masyarakat. Semangat itu terus datang tapi saya gagal kerana terlalu gopoh untuk bertindak. Saya juga mahu mengubah perangai orang yang buruk kepada baik. Dua minggu itu jiwa saya bagaikan berkonfrontasi. Ego saya sangat mewah dan besar. Hanya saya yang betul.
Apa komen anda bila dikhabarkan gila isim?
Oh, gila isim? Malah ada orang kata saya ketagih dadah. Bagi saya, ini tidak betul. Isim adalah terminologi orang lama yang tidak tahu akan hal saintifik. Ilmu sekarang sudah berada di hujung jari. Isim ini definisi lama. Saya cuma tertekan dan didiagnosis doktor sebagai gangguan bipolar.
Mulanya saya enggan menerima fakta ini tapi difikirkan, mungkin betul. Gangguan ini sama ada membuatkan orang menjadi sedih atau hiper.
Anda bagaimana sekarang?
Saya tidak pernah berasa sebaik sekarang. Mood saya stabil dan Alhamdulillah. Ada hikmah di sebalik semua kejadian. Saya juga sudah malas untuk menonton berita. Mahu rileks. Tapi saya tidak fobia kepada Facebook. Saya bersyukur kerana pernah angan-angan untuk mengalami perubahan pada usia 40. Tetapi Allah mempercepatkan proses itu dan saya didatangi segala hal pada usia 34 tahun.
Sumber : KOSMO !
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
2 comments:
rase stori ni lame tau dah...(t'tgk dlm Melodi dl2). tp minat gak nak baca post ni in details...
bagusla Yassin...smua org doakan hrp ko brada di jln yg lurus n betul~
hm...tiap x tgk si Yaasin ni aku akn byk2kan usnuzon n try to not judjing him "by its cover"~
I still remember when he wrote on his status 'My Wall My Right"... after that I remove him from my FB friend list (thinking that it must be not his official Facebook account, someone has hack his facebook and wrote everything).
Then I know from the web that he get bipolar. So, I wish he get well, get better, and keep on making nasyid album like before. He one of the best nasyid singer and composer.
Post a Comment