Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Thursday, February 11, 2010

"NASYID SEKARANG DAH LAIN" ??

BERITA @ FN

ADA APA DENGAN NASYID ?

kashfy

Ini adalah entri yang penuh dengan persoalan saya terhadap nasyid. Entri seterusnya, jika saya telah dapat erti nasyid yang sebenar, akan dikemukakan pula cadangan-cadangan supaya industri nasyid kita berkembang luas.

Betulkan saya sekiranya tersalah. Saya cuma mahukan kepastian apa itu lagu nasyid dan apa yang menyebabkan sesuatu lagu itu dipanggil sebagai lagu nasyid. Malah juga siapa itu penasyid dan apa kriteria untuk jadi seorang penasyid.

Saya teringat dahulu semasa di sekolah menengah, Ketua Pelajar merampas kaset-kaset non nasyid. Mereka kata, “Apa ini dengar lagu-lagu lagha!”

Mahu sahaja saya tanya mereka apa yang mereka faham tentang nasyid.

Kalau mereka kata lagu nasyid ini adalah lagu yang membawa mesej ketuhanan, pada masa itu yang kerap dipasang di surau asrama adalah lagu-lagu nasyid yang berunsur cinta. Lirik yang mesejnya lebih kuat kepada cinta sesama pasangan. Oh, dan mungkin ada satu dua baris yang menyuruh mengingat Tuhan.

Satu dua baris daripada lebih kurang sepuluh ke atas baris yang ditambah untuk menampakkan keislamikan. Jikalau begitu, sama sahajalah dengan lagu daripada band non nasyid.

Teringat salah satu rangkap dalam lagu Trauma oleh kumpulan Elite:

Selemah ku lemah

Daku berserah

Trauma yang ku rasakan

Hanya pada Mu Tuhan

Yang memahami

Pedih di hati

Itu pandangan saya ketika itu – ketika umur baru 16 tahun.

Sekarang masih lagi ada yang berkata kepada saya, “Azree, bulan puasa ini kurangkanlah dengar lagu-lagu lagha.”

“Habis itu nak dengar lagu apa? Nasyid? Kalau terleka dengan nasyid, boleh jadi lagha juga,” balas saya.

Apa Itu Nasyid

Mengikut Wikipedia, nasyid secara traditionalnya dinyanyikan secara acapella dan dimainkan dengan sebuah daf(alat muzik). Kemudian, nasyid berkembang apabila muncul kumpulan-kumpulan yang menggunakan bermacam instrument muzik dan mengkategorikan diri mereka sebagai penasyid.

Daripada hanya sebuah genre sahaja, kini nasyid berkembang dan naik satu tahap. Nasyid kini sudah mempunyai beberapa genre di bawahnya seperti Nasyid Pop, Nasyid Balada, Nasyid Pop Rock, Nasyid Hip Hop, Nasyid Rap dan bermacam lagi. (Hoho. Ini memang saya reka sendiri)

Mungkin boleh lawan AIM(Anugerah Industri Muzik), nasyid pula boleh buat AIN(Anugerah Industri Nasyid).

Siapa Itu Penasyid

Cuma yang merunsingkan saya bagaimana seseorang atau sesuatu kumpulan itu kita kategorikan sebagai penasyid. Kita sedia maklum, kalau mahu jadi artis mestilah suaranya sedap. Begitu juga dengan penasyid. Jadi apakah kriteria yang patut ada pada diri seorang penasyid?

Adakah ia dipilih berdasarkan rupa paras? Atau mungkin pakaian yang dipakai ketika membuat persembahan? Atau memakai kopiah/serban pada cover album? Atau dari universiti atau sekolah mana? Atau mungkin seorang yang boleh memberi ceramah di masjid-masjid atau surau-surau? Atau tidak berjalan berdua-duaan dengan bukan muhrim?

Atau cukupkah sekadar mempunyai satu dua single atau album yang bernaung di bawah nama nasyid?

Saya tidak mahu imej nasyid menjadi rosak disebabkan ada kes seperti penasyid berdua-duaan dengan bukan muhrim atau penasyid daripada kumpulan ‘Matematik’(bukan nama sebenar) rampas kekasih orang atau kumpulan nasyid berpecah belah.

Perkara ini saya tidak pasti cuma bagi saya kita perlu ada satu senarai ciri-ciri yang melayakkan diri seseorang itu sebagai seorang artis nasyid.

Apa Beza Nasyid dengan Non Nasyid

Ini adalah persoalan yang lagi kerap bermain di minda. Ini kerana ada satu perspektif di kalangan beberapa golongan ‘orang agama’ yang mengatakan selain dari nasyid adalah lagu lagha. Salahkah kereta seseorang memainkan siaran Hotfm dan bukannya IKIMfm. Lalu dikatakan, “Tidak islamiklah” atau “Cukup-cukuplah lagu lagha.”

Seperti yang saya tulis pada awal entri ini, agak susah bagi saya untuk membezakan antara lagu nasyid dan lagu non nasyid. Sekiranya dikatakan dari segi lagu atau rentaknya, saya kira tidak berbeza dengan lagu non nasyid.

Kalau dulu kita memahami lagu nasyid adalah lagu yang memuji Tuhan. Tapi sekarang ia berkembang dan membawa mesej kasih sayang terhadap alam, terhadap sesama manusia, terhadap sesama pasangan bukan muhrim dan terhadap peperangan.

Bila lagu sebegitu diterima sebagai lagu nasyid, maka definisi lama nasyid iaitu lagu bersifat ketuhanan perlu dinilai semula.

Edry Faizal(ahli kumpulan 5forty2) memberi cadangan di facebook saya, “Mungkin kita perlu menyenaraikan apakah ‘concept of nasyeedness‘. Sekiranya sebuah kerusi mempunyai concept of chairness yang mana kita boleh bersetuju sesuatu objek itu kerusi, selain darinya bukan kerusi. Maka apakah pula concept of nasyid itu sehingga kita boleh mengatakan ini nasyid dan itu bukan.”

Apa Yang Kita Inginkan

Saya teringat ada salah seorang ahli kumpulan Hijjaz berkata apabila ditanya kenapa mengeluarkan kumpulan nasyid baru dengan lagu bertema cinta, “Kita mahu tarik golongan lain yang masih belum dengar lagu nasyid untuk turut meminati nasyid.”

Tetapi apa yang saya lihat lain. Beberapa rakan apabila ditanya pendapat mereka tentang nasyid, rata-ratanya mengatakan, “Nasyid sekarang dah lain, tiada beza dengan lagu bukan nasyid.”

Setiap apa yang kita inginkan, ia memerlukan satu badan yang bertanggungjawab untuk menilai dan memastikan kualiti nasyid dan penasyidnya.

Sumber : StudioMuslim

BERITA @ FN


Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More