Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Thursday, May 27, 2010

CABARAN PENGURUSAN JENAZAH PESERTA IMAM MUDA

BERITA @ FN


"Cabaran urus jenazah 'busuk'

PESERTA mengusung jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Karak, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

PESERTA Imam Muda mengkapankan jenazah.

Malam ini jam 9 di astro Oasis

Saksikan tugasan pertama 10 peserta Imam Muda mulai jam 9 malam di Astro Oasis

PENGALAMAN mereka ibarat baru setahun jagung, namun ujian yang terpaksa dipikul 10 peserta Imam Muda cukup berat. Hanya mereka yang 'terpilih' mampu memikul tanggungjawab menguruskan jenazah yang sudah tidak sempurna.

Kerjasama yang diberikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur mendapatkan dua jenazah yang tidak dituntut waris diuruskan oleh peserta Imam Muda sepenuhnya.

Melalui rekod Jabatan Forensik, dua jenazah beragama Islam yang tidak dituntut waris itu dijangka sudah meninggal lebih sebulan lalu. Salah seorang adalah penghidap HIV dan seorang lagi pesakit diabetes.

Mungkin semua sudah boleh membayangkan keadaan fizikal dan bau jenazah yang tidak menyenangkan itu lebih-lebih lagi bagi 10 Imam Muda yang kali pertama berhadapan dengan situasi ini.

Inilah cabaran dan ujian pertama 10 Imam Muda yang bakal disiarkan menerusi saluran Astro Oasis (106) mulai jam 9 malam sebelum menantikan pelbagai lagi cabaran menanti mereka selepas ini.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, ujian yang diberikan 10 Imam Muda itu adalah proses pembelajaran sebenar yang harus mereka tempuhi sebelum bergelar imam.
“Pembelajaran yang dilalui di dalam program ini berdasarkan skop sebenar yang diberikan oleh Jawi. Di dalam episod pengurusan jenazah, mereka akan melalui semua proses bermula mengenal pasti jenazah sehinggalah pengebumian.

“Genre Imam Muda yang akan dilalui mereka ini meliputi perjalanan kitaran hidup manusia daripada kelahiran sehinggalah kematian. Selepas ini mereka akan berhadapan dengan pelbagai lagi cabaran sebagai persiapan diri untuk bergelar imam,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Karak, Taman Batu Muda, baru-baru ini.

Penilai ujian pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Unit Falaq, Jawi, Mohd Marngi Wasin, berkata pendedahan proses pengurusan jenazah kepada kesemua Imam Muda bertujuan memberitahu kepada masyarakat berkaitan pengurusan jenazah bukanlah perkara yang sukar.

“Pendedahan itu bukanlah untuk menakutkan semua orang yang selama ini banyak mengetahui perkara buruk selepas menguruskan jenazah sehingga orang takut untuk melakukan sendiri.

“Pengurusan jenazah sebenarnya lebih baik dilakukan sendiri oleh keluarga si mati dan bukan orang lain. Sebab itu kita cuba meyakinkan semua orang bahawa ia tidak susah, malah memberi keinsafan kepada kita semua.

“Mereka dinilai berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui kelas dalam program ini atau yang sememangnya sudah diketahui mereka seperti keberanian, keselesaan, cetusan idea, adab, tidak mengikut orang lain dan kerjasama berkumpulan,” katanya yang berpuas hati menilai kesemua Imam Muda dengan sempurna.

Tanpa bantuan dan sokongan pelbagai pihak, Imam Muda sukar untuk diteruskan lebih lagi sebagai pencetus program memecah tradisi.

Penerbit Eksekutif Imam Muda, Nizam Hamid, berkata pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jawi sejak awal bagi merealisasikan program pertama di dunia ini.

“Ini juga adalah program realiti pertama yang menggunakan jenazah sebenar dan kami mendapat bantuan Jabatan Forensik, HKL yang juga diuruskan oleh Jawi.

“Sebelum 10 Imam Muda ini melakukan praktikal, mereka terlebih dulu diberikan teori berkaitan pengurusan jenazah. Kemudian mereka dibawa ke Jabatan Forensik HKL untuk mengenal pasti jenazah.

“Sepuluh Imam Muda ini diberikan kepada dua kumpulan A dan B untuk menguruskan dua jenazah. Sebaik jenazah sampai ke tanah perkuburan, mereka sendiri akan mengangkat daripada kenderaan yang membawa jenazah untuk dimandikan.

“Memandangkan jenazah yang diuruskan mereka ini tidak sempurna, jadi mereka dibekalkan dengan pakaian khas bagi mengelakkan perkara buruk. Ternyata kesemuanya begitu kuat melawan cabaran itu, malah melakukannya dengan bersahaja tanpa tekanan.

“Selain mendapat bantuan Jawi dan Jabatan Forensik HKL, semua tenaga kerja Imam Muda begitu komited melaksanakan tanggungjawab merealisasikan sebaik mungkin. Saya juga dibantu dua penerbit berpengalaman menerbitkan pelbagai program realiti di Astro seperti Raja Idham Raja Mohamad dan Muhamad Adlan Shahril,” katanya yang berterima kasih kepada Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Omar yang juga penasihat Imam Muda kerana menyelesaikan segala keperluan yang berkaitan.


Sumber : BERITA HARIAN


Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More