Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Friday, May 21, 2010

FENOMENA INDUSTRI NASYID

BERITA @ FN

Kumpulan nasyid diam-diam berisi

RAIHAN

KITA imbas dan renung sejenak sejarah yang panjang dalam arena nasyid tanah air. Irama nasyid mula diminati ramai dengan kemunculan kumpulan Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan pada 1970-an, sebelum menyusul kumpulan Nada Murni, sekitar tahun 1980-an.

Pun begitu, senario kegemilangan industri nasyid ini mula menjadi fenomena sejak kemunculan kumpulan Raihan yang berjaya menggegarkan negara dengan jumlah jualan album sulungnya, Puji-pujian yang mencecah lebih 600,000 unit pada tahun 1996.

Sejak itu, masyarakat mula menunjukkan minat dan kecenderungan mendekati lagu-lagu nasyid. Ia adalah satu perkembangan yang cukup positif. Apa tidaknya, muncul pula nama-nama seperti, Rabbani, Hijjaz, Brothers, In-Team dan kumpulan baru yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan.

Namun, pada satu peringkat, kita mula merasai kesuraman genre nasyid ini, bila mana kurang cerita-cerita mereka terpapar di dada-dada akhbar. Tiada lagi dimainkan lagu-lagu mereka di corong-corong radio, malah di rak-rak kedai juga sekadar menawarkan kaset atau cakera padat (CD) album-album tilawah, selawat dan zikir.

Tahun 2010 ini, telah nampak usaha otai-otai penasyid seperti kumpulan Raihan dan Hijjaz yang muncul dengan album terbaru mereka iaitu Musafir Perjuangan dan Permata Hijjaz. Uniknya album kali ini, ia telah mendapat kerjasama daripada syarikat korporat Muslim seperti Syarikat HPA dan Permata Hijrah. Menyusul penuh berani adalah kumpulan Far East dengan album keempat mereka berjudul, Halawatul Iman II - Saat Lafaz Sakinah.

Hakikatnya, ini adalah satu perkembangan yang amat baik tetapi agak terlalu awal untuk mengatakan industri nasyid sudah kembali rancak. Namun, perjuangan ini selain bermatlamat dakwah, juga bermisi memartabatkan kembali genre nasyid di persada seni tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif Raihan Group of Companies, Abdul Mubin Abdul Latif, kurang setuju dengan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan industri nasyid sudah lesu, tepu dan menuju ke penghujung hayatnya.

Baginya, sesuatu benda itu akan sampai satu tahap tepu untuk jangka masa sementara. Ini bukan bermakna ia terhenti atau sampai noktahnya. Ia lebih kepada tempoh saringan dalam menentukan kumpulan mana yang mampu bertahan atau meneruskan kelangsungan. Yang bertahan adalah mereka yang profesional dan menjadikan bidang ini sebagai periuk nasi.

"Bukan industri nasyid sahaja mengalaminya tetapi sebenarnya, keseluruhan industri muzik negara ini memang sudah jatuh dari sudut pembuatan album dan persembahan.

"Senario sekarang ini, sama ada artis nasyid ataupun genre lain, mereka sudah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penjualan album semata-mata. Kini, penjualan album boleh dianggap sebagai satu bentuk promosi sahaja. Yang lebih membawa pendapatan ialah undangan persembahan.

"Sebab itulah, beberapa syarikat rakaman yang berminat untuk mengambil artis mereka akan mengikat artis tersebut dengan kontrak persembahan sekali. Mungkin atas sebab itu, ramai artis-artis yang sudah ada nama atau lama dalam dunia ini menolak, melainkan artis-artis baru yang mana mereka memerlukan pendedahan," kata Abdul Mubin dalam pertemuan dengan Mega di pejabat Raihan, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Akuinya lagi, ramai artis-artis yang sudah lama dalam dunia seni hiburan tempatan mungkin tidak berminat dengan syarat sebegini, lebih-lebih lagi kalau diganggu periuk nasi mereka.

Jelasnya, pendapatan mereka boleh dikatakan hanya 10 peratus daripada jualan album dan selebihnya atau mungkin lebih besar peratusnya, datang daripada persembahan.

"Sepanjang saya berkecimpung dalam industri ini iaitu bermula tahun 2000 hingga 2004, apa yang dapat saya perhatikan, penjualan album tidaklah teruk terjejas walaupun pada masa itu cetak rompak sedang berleluasa. Bagi saya, jualan album tidak bergantung kepada isu cetak rompak. Ini kerana pada masa itu, album Raihan boleh terjual sehingga 600,000 unit atau kekal antara 30,000 hingga 60,000 unit.

"Tetapi kini apabila jualan 5,000 unit, tauke-tauke cetak rompak pun tidak berminat. Mereka akan sasar kepada jualan album yang melebihi 10,000. Jadi, saya rasa isu cetak rompak tidak menimbulkan kesan yang besar terhadap kejatuhan album sama ada nasyid atau bukan nasyid.

"Malah album terbaru Raihan berjudul Musafir Perjuangan yang berada di pasaran pada Februari lalu, telah terjual 12,000 unit dalam tempoh sebulan. Itu dikira sebagai satu pencapaian yang besar. Malah, ia diakui sendiri oleh orang industri," katanya.

Tambah Abdul Mubin, yang banyak memonopoli industri kita sekarang ialah produksi-produksi dari negara luar. Ini kerana syarikat hanya menanggung kos cetak dan kos promosi.

Padahal belanja yang besar terletak kepada kos penghasilan atau produksi. Kesannya, berlakulah lambakan album-album artis-artis luar berbanding artis tempatan.

"Perkara ini kalau tidak dibendung dari sekarang, berkemungkinan 90 peratus dimonopoli oleh album atau artis antarabangsa dan bakinya adalah artis atau album tempatan. Ini tidak sihat bagi industri muzik tempatan.

"Sebab itulah perlu adanya satu laporan khas yang lebih teliti. Mereka yang berada di Recording Industry Association of Malaysia (RIM) terutamanya, yang mendapat bantuan daripada kerajaan untuk menaikkan industri muzik tempatan, perlu mengorak langkah lebih proaktif," tegasnya.

Malah kata Abdul Mubin, dalam keadaan sekarang di mana industri tempatan menghadapi kejatuhan dalam penjualan, perlu difahami bahawa nasyid bukan hiburan semata-mata, nasyid ini hiburan yang mendidik atau platform dakwah kepada semua umat.

Justeru beliau menyarankan, dalam saat inilah badan-badan serta agensi-agensi agama yang besar seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), agensi zakat dapat menyalurkan peruntukan atas platform dakwah. Khasnya kepada kumpulan-kumpulan nasyid yang sudah berwibawa seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz untuk membantu dalam segi kos pengeluaran album.

"Saya rasa dengan sokongan padu ini tidak mustahil nasyid akan melonjak atau meletup dan mampu mengalahkan genre-genre muzik yang lain. Kalau perkara ini dapat dilaksanakan, saya yakin nasyid mampu mengatasi album-album luar yang semakin melekakan umat Islam kita.

"Malah saya amat bersyukur dengan kepercayaan dan kerjasama yang terjalin dengan syarikat korporat Muslim iaitu Syarikat HPA dengan Raihan mewujudkan HPA Raihan Sdn. Bhd. telah berjaya menerbitkan mini album terbaru. Mini album ini yang bertajuk Musafir Perjuangan menampilkan dua buah lagu iaitu Musafir Kelana dan Allah is Calling.

"Alhamdulillah, Allah telah mendengar doa Raihan selama ini. Kami amat berterima kasih kerana kerjasama yang dibina ini adalah bertujuan meneruskan perjuangan Raihan. Pun begitu, satu dua syarikat sahaja tidak cukup, sedangkan kita banyak lagi syarikat besar Islam seperti institusi kewangan yang berlandaskan Islam tetapi sayangnya kurang sambutan diterima," katanya.

Tegas Abdul Mubin lagi, kalau di sini nasyid dikatakan semakin merudum tetapi suasana berbeza di luar negara, di mana nasyid masih baru dan segar. Ini terbukti dengan jemputan kumpulan Raihan mengadakan konsert di Perth, Australia dalam masa terdekat ini.

Pada 30 Jun ini pula, konsert paling besar akan dibuat di Royal Festival Hall, London. Kata Abdul Mubin, peminat nasyid di Barat memandang Malaysia ini sebagai asalnya genre nasyid. Malah para penasyid di luar negara, menganggap Raihan sebagai sifu serta sentiasa menjadikan Raihan rujukan mereka.

"Kita seharusnya berbangga dengan genre nasyid yang dikatakan berasal dari Malaysia. Jika orang luar lebih menghargai, mengapa orang kita tidak atau pandang dengan sebelah mata? Ini satu kerugian kerana tidak menghargai apa yang sudah dicapai oleh nasyid itu sendiri.

"Hakikatnya, nasyid telah menjadi budaya kita. Kita lihat di sekolah, universiti, pejabat dan di mana-manapun, nasyid mesti ada," kata Abdul Mubin yang percaya nasyid akan muncul atau naik semula seandainya ia tampil lebih kreatif dan unik.

Di samping itu, Abdul Mubin turut menyuarakan agar artis nasyid tempatan mencari pasaran baru di luar negara kerana bersetuju dengan pasaran negara yang dikatakan sudah semakin tepu sementelah pula dalam negara menghadapi kegawatan ekonomi.

Itulah juga yang telah dibuktikan oleh Raihan dengan mengembangkan sayap mereka ke negara-negara luar seperti di Eropah, Afrika Selatan malah dalam kelompok negara di benua Asia sendiri.

Sumber: UTUSAN



Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More