BERITA @ FN
CALON IMAM MUDA MULA BERDEBAR
SIAPAKAH yang terbaik di kalangan terbaik untuk menjadi Imam Muda apabila program realiti TV tanpa undian khidmat pesanan ringkas (SMS) itu bermula minggu depan?
Semua peserta dibimbing oleh Tuan Pengetua yang juga bekas Imam Besar Negara, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz. Beliau dibantu dua Mentor, Ustaz Shahrizan Daud dan Ustaz Syed Norhisyam Al Idrus bagi proses penilaian setiap calon yang menyertainya.
Imam Muda sebanyak sembilan episod bakal ditayangkan selama sejam setiap Jumaat dengan acara kemuncak pada 30 Julai depan.
Selain tayangan menerusi Astro Oasis (Saluran 106), episod turut disiarkan melalui saluran lain. Program berkenaan juga boleh ditonton menerusi Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Prima (Saluran 105).
Melalui tema Satu Penemuan Sebuah Perjalanan Kehidupan, 10 calon Imam Muda terpilih adalah Amiril Md Banin (Miril), 25; Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan (Asyraf), 26; Ahmad Hazran Ahmad Kamal (Aran), 26; Hizbur Rahman Omar Zuhdi (Hizbur), 27; Muhammad Khairul Azhar Ghazali (Azhar), 21; Nik Muhammad Adib Md Amin (Adib), 22; Nuri Ali Arbain (Nuri), 25; Sharafuddin Suaut (Abe Syara), 26; Ahmad Syakir Zamri (Syakir), 18, dan Mohd Taufek Mohd Noh (Taufek), 27.
Asyraf, kini mengikuti Sarjana Syariah Fiqh/Usul Fiqh berkata, penyertaan dalam Imam Muda dapat memperbaiki kefahaman masyarakat terhadap peranan imam.
"Selama ini orang menganggap imam hanya duduk di masjid atau mengendalikan majlis tertentu. Ada orang mengatakan imam tidak boleh bersukan atau tidak mampu menjadi golongan profesional. "Bagi saya, pencarian Imam Muda mampu melahirkan insan memiliki personaliti menarik, berwibawa dan mencakupi serba-serbi bidang. "Imam Muda mampu memberi wajah baru terhadap pemimpin masyarakat. Mereka menguasai bahasa Inggeris, bahasa Arab, bertaranum, menghafaz juzuk al-Quran dan menonjol dari segi kepimpinan," katanya.
Peserta termuda, Syakir berkata, dia akan memanfaatkan peluang terbaik menimba ilmu daripada kebanyakan peserta lebih senior dan imam berpengalaman luas dalam bidang masing masing.
"Banyak perkara boleh dipelajari daripada sembilan abang-abang saya dalam Imam Muda. Paling utama bagi saya adalah mengawal emosi dan tidak cepat putus asa terhadap pelbagai ujian ditempuh.
"Saya sebenarnya gembira dapat menyertai senarai 10 terakhir. Saya juga lega kerana sekolah memberi pelepasan sepanjang mengikuti program selama tiga bulan," katanya menuntut dalam tingkatan enam atas aliran Usuluddin.
Kelebihan bertutur bahasa Mandarin antara kelebihan dimiliki oleh Taufek.
"Menyertai Imam Muda ini bermakna saya memenuhi hajat ibu yang mahukan salah seorang daripada 12 adik beradik menguasai bidang agama. Saya akan cuba mengikuti setiap tugasan dan peperiksaan diberikan dengan baik," katanyayang bertugas sebagai perunding motivasi.
Program itu dihoskan oleh pengacara dikenali melalui Kalam Suci Astro Oasis, Ustaz Dzulkarnain Hamzah.
Semua calon dikumpulkan di asrama Masjid Wilayah Persekutuan selama tiga bulan bagi mempelajari serta memahami hal keagamaan dan kepimpinan Islam.
Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata sambutan diterima terhadap pencarian Imam Muda sangat menggalakkan.
"Ramai datang mencuba bakat dari serata negara termasuk Sabah dan Sarawak. Ada antara mereka berusia terlalu muda termasuklah rocker dan golongan profesional.
"Apapun, selepas uji bakat selama sebulan di empat zon, kami mendapat calon Top 10 menepati segala syarat. Lebih unik, program ini menggunakan sari kata bahasa Inggeris untuk penonton berlainan bangsa," katanya.
Sumber : MY METRO
Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
0 comments:
Post a Comment