BERITA @ FN
Ustaz Dzulkarnain makin popular selepas jadi
Ustaz Dzulkarnain makin popular selepas jadi
pengacara Imam Muda
ORANGNYA ringkas dan sederhana, tetapi alunan suaranya cukup membuatkan hati tersentuh mendengarnya. Pengacara Imam Muda, Ustaz Dzulkarnain Hamzah memiliki `suara emas' yang mampu menarik hati dan jiwa penonton untuk mendengarnya. Di kalangan peminat program realiti ini, nama Ustaz Dzul sudah dilabelkan sebagai ‘ustaz glamor’ dek populariti yang makin mendadak menerusi rancangan berkenaan yang semakin mendapat perhatian.
Jika dulu, penonton pasti tidak akan berganjak mendengar ceramah, motivasi dan alunan zikrullah oleh Ustaz Hassan Ali, Datuk Harun Din dan Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz, kini muncul seorang lagi pengacara ilmuan Islam, Ustaz Dzulkarnain Hamzah yang sebelum ini diperkenalkan menerusi program Kalam Suci di Astro Oasis.
Anak murid kepada Mantan Masjid Imam Negara, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz yang juga Pengetua Imam Muda itu berkata, mungkin inilah berkat doanya ketika diberikan ruang memasuki dalam Kaabah oleh Kerajaan Arab Saudi ketika berusia 19 tahun. "Alhamdullilah, saya bergelar juara ketika mewakili Malaysia dalam Pertandingan Taranum dan Tahfiz Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi pada 1985. Saya diberi peluang memasuki dalam Kaabah dan doa saya, berkatkan ilmu al-Quran dan berilah kebahagiaan kepada saya dunia dan akhirat ketika mengerjakan solat sunat dalam Kaabah.
"Sungguhpun begitu, Tuhan tetapkan hati saya, mungkin orang lain menangis semahunya ketika itu, saya pula sebaliknya. Mungkin usia masih muda - 19 tahun, jadi ketika itu saya hanya mahu mengejar sebanyak ilmu yang boleh dijadikan panduan hidup dan dikongsi bersama orang lain.
"Pengalaman saya diberi masuk dalam Kaabah adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Saya sedar saya antara insan yang terpilih. Alhamdullilah, Tuhan tidak tunjuk kepada saya perkara buruk, hanya bauan setanggi yang dapat saya rasa. Ketika keluar dari Kaabah, ramai orang Arab yang datang memeluk, mencium malah ada yang menggunting baju saya.
"Dan berkat doa itu juga, saya mengelola jemaah haji dan umrah ke Makkah setiap tahun. Kini, ilmu yang dimiliki dikongsi pula dengan penonton dalam program berbentuk keagamaan seperti Kalam Suci dan Imam Muda. Saya yakin inilah berkat doa saya ketika dalam Kaabah, lambat atau cepat, Tuhan tetap akan kabulkan," katanya ketika ditemui B*Pop, baru-baru ini.
Nyata anak kelahiran Kampung Jasin, Melaka itu bukan calang-calang orang, banyak pengalaman dilaluinya seperti menjadi imam muda Istana Negara, berkhidmat selama 13 tahun sebagai guru agama di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan kini aktif sebagai pengacara, penceramah dan mengelola jemaah haji serta umrah.
Pembabitan Ustaz Dzulkarnain secara aktif dalam ilmu al-Quran bermula seawal di sekolah rendah kerana minat serta kemampuan membaca al-Quran dengan baik. Beliau pernah menjadi johan dalam Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Sekolah Negeri Melaka. Beliau turut terpilih mewakili Melaka dalam Pertandingan Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1984 dan 1985. Walaupun mendapat pendidikan di sekolah menengah aliran Inggeris, cinta terhadap ilmu membaca al-Quran tidak pernah luntur dan kerana itu, Ustaz Dzulkarnain mengambil keputusan berhenti belajar di tingkatan empat dan memasuki sekolah pondok.
Beliau menyambung pelajaran di Maahad Muhamadi, Kota Bharu dan kemudian mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran, Masjid Negara sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Jamiah Islamiah Madinah.
Menyentuh mengenai program realiti Imam Muda, Ustaz Dzulkarnain berkata, dia melihat setiap peserta yang dipilih punya kekuatan masing-masing, walaupun ada antaranya masih muda.
"Saya akui ada antara peserta yang tertekan dan rasa ingin pulang, tetapi mereka masih bertahan untuk mendapatkan segenggam ilmu berguna, selain menyemat impian bergelar juara. Juaranya nanti dijanjikan ganjaran berbaloi, termasuk penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi dan tawaran jawatan imam di sebuah masjid utama di Wilayah Persekutuan berserta kereta. Mereka juga bakal membawa pulang wang RM20,000 dan komputer riba Apple Macpro di samping pakej menunaikan haji.
"Hadiahnya memang lumayan tetapi cabarannya besar. Saya faham, mereka berkampung di Masjid Wilayah Persekutuan selama tiga bulan tanpa orang tersayang di sisi, siang dan malam tumpuan mereka pada pembelajaran dan aktiviti yang diatur. Sudah tentu ada yang mengingati anak dan isteri yang ditinggalkan serta ibu bapa dan adik beradik di kampung. Saya lihat setiap peserta punya potensi besar cuma ada antaranya tidak tahu bagaimana mahu melontarkannya. Ada pula yang terlalu banyak `control'. Semua itu dapat dilihat dengan jelas, mana yang bersahaja, mana yang mengawal kemampuan diri,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Sumber : Berita Harian
Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
0 comments:
Post a Comment