Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Monday, June 28, 2010

"Konsert Mahabbah Gaza bukan sekadar konsert hiburan yang biasa"

Konsert amal Gaza


Azadan (tiga dari kanan) bersama ahli kumpulan Rabbani menunjukkan tabung derma yang akan diedarkan nanti.


BARU-BARU ini dunia telah dikejutkan dengan berita kekejaman Israel yang semakin menjadi-jadi. Serangan Israel keatas kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza yang juga dikenali sebagai Flotilla itu mengejutkan dunia.

Di Malaysia, kekejaman Israel ke atas Gaza itu turut dirasai penderitaannya. Pelbagai aktiviti seperti ceramah, perhimpunan dan lain-lain diadakan bagi membantah tindakan tidak berperi-kemanusiaan mereka itu.

Tidak mahu ketinggalan, kumpulan nasyid popular tanah air, Rabbani turut terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi membantu apa yang termampu di samping memberikan kesedaran kepada orang ramai dengan cara mereka sendiri.

Kumpulan Rabbani telah mengambil langkah yang drastik untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa Israel di Gaza dengan menganjurkan sebuah konsert amal.

Konsert yang dinamakan Konsert Mahabbah Gaza bukan sekadar konsert hiburan yang biasa tetapi ia bertujuan mengumpul dana bagi membantu mangsa kekejaman Israel di Gaza.

Berlangsung pada 10 Julai ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor bermula 8.30 malam, konsert ini akan menampilkan kumpulan Rabbani sendiri, Raihan, Inteam, Saujana, Nowseeheart dan Ummul Qura.

Menariknya, ujar ahli kumpulan Rabbani yang juga Pengarah Program, Azadan Abd. Aziz, konsert ini adalah percuma buat semua yang hadir.

"Tujuan kami untuk menarik orang ramai datang dan memberi kesedaran serta hikmah di sebalik apa yang berlaku.

"Nasyid dijadikan wadah agar kita semua bersatu-padu.

"Di samping itu, konsert ini dijadikan sebagai medium untuk penonton menghulurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada penduduk Palestin yang akan dikendalikan kutipannya oleh badan yang bertanggungjawab iaitu Haluan Siswa dan Lifeline 4 Gaza.

"Saya yakin ramai yang hadir prihatin dan akan menderma di tabung bergerak yang kami sediakan nanti," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Mahabbah Gaza di Restoran Puteri, Sungai Penchala di sini baru-baru ini.

Setiap artis akan mempersembahkan dua buah lagu mereka dalam konsert yang berlangsung selama dua jam ini.

Konsert ini turut menampilkan kelainan dengan menyelitkan slot khas temu-bual bersama wakil Malaysia yang terselamat yang menjadi mangsa tahanan Israel semasa berlakunya serangan ke atas kapal-kapal bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Dedikasi khas buat Asri

Selain itu, pengisian konsert ini turut diselitkan segmen khas penghargaan untuk Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani dan pejuang irama nasyid negara.

Pada konsert itu, kumpulan nasyid Rabbani Junior yang disertai oleh anak-anak ahli Rabbani akan diperkenalkan.

Kumpulan yang terdiri daripada enam orang penyanyi dan tiga orang pemuzik dalam lingkungan usia 10 hingga 15 tahun itu akan diketuai oleh anak Allahyarham Ustaz Asri, Mohd. Ilham Mohd. Asri, 12.

"Idea ini memang sudah lama, cuma belum tiba waktunya kami memperkenalkan mereka.

"Saya rasa Arwah sendiri tidak sempat perasan bakat terpendam yang ada pada anaknya kerana walaupun Ilham selalu menyertai persembahan nasyid di sekolahnya, tetapi dia seorang yang pemalu.

"Kumpulan Rabbani Junior kini giat mengadakan latihan dan insya-Allah mereka akan hadir dengan single mereka hujung tahun ini," ujarnya.

Karnival di Konsert Mahabbah Gaza

Selain pertunjukan konsert pada 10 Julai nanti, suasana di perkarangan lokasi konsert di Stadium Melawati Shah Alam akan dimeriahkan dengan karnival yang akan berlangsung sepanjang tiga hari mulai 9 Julai ini.

Pelbagai aktiviti menarik dan gerai-gerai jualan akan menggamit pengunjung ke sana.

Antara acara menarik yang disediakan ialah bazar niaga, promosi produk, pertandingan kawad formasi berirama, kuiz dan forum.

Turut diadakan di karnival itu nanti ialah sudut pidato Palestin, perlawanan futsal, cabutan bertuah dan Pertandingan Nasyid Piala Rabbani.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Rabbani di www.rabbani.com.my atau terus menghubungi pihak urusetia di 03-62721225.


Sumber : Utusan





Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More