Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Saturday, July 24, 2010

IMAM MUDA "SUPERSTAR" DI AKHBAR SWITZERLAND


BERITA @ FN

Imam Muda Diintai Negara Luar


ANTARA tugasan mencabar yang pernah dilakukan oleh Imam Muda sepanjang berlangsungnya program tersebut sehingga mencetus fenomena tersendiri.


PROGRAM pencarian bakat imam unggul di kalangan generasi muda pertama di dunia, Imam Muda ternyata berjaya mencetus fenomena luar biasa dalam dan luar negara.

Ini kerana program realiti yang bersiaran di Astro Oasis (saluran 106, Astro) itu bukan sahaja mendapat liputan meluas daripada media tempatan, malah turut mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa terutama Jerman dan Switzerland.

Hal ini jarang berlaku pada mana-mana program tempatan.

Apatah lagi apabila melibatkan sebuah rancangan realiti bercorak keagamaan seperti ini.

Di saat masyarakat sedang mencari sesuatu yang baru untuk dipertontonkan, Imam Muda merintis pembaharuan.

Menongkah arus di tengah-tengah lambakan program realiti berbentuk hiburan disogokkan oleh kebanyakan saluran televisyen yang sarat nyanyian dan tarian, Imam Muda dilihat sebagai ‘penawar’.

Penerimaan masyarakat terhadap program tersebut dilihat cukup memberangsangkan.

Buktinya, di laman sosial Facebook, Imam Muda sahaja telah berjaya mengumpul hampir 44,000 peminat setia daripada pelbagai lapisan umur.

Pernah akhbar harian di Switzerland iaitu Tagesanzeiger, menyifatkan para peserta Imam Muda sebagai ‘superstar’ di kaca televisyen tempatan.

Ini rentetan fenomena luar biasa yang diperoleh oleh rancangan itu sehingga dilaporkan media itu peserta Imam Muda rata-rata menjadi pujaan para peminat wanita.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar ketika ditemui di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, fenomena tersebut merupakan perkembangan baik kepada sesebuah program televisyen tempatan.

“Kita sudah berusaha membuat sesuatu kepada agama.

“Kami juga sebelum ini tidak pernah terlintas bahawa program ini mampu melangkaui sempadan seperti ini.

“Apa yang kita lihat sekarang, Imam Muda bukan sahaja mendapat perhatian dari dalam negara tetapi juga pihak luar,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya ada rancangan untuk membawa program itu ke luar negara, kata Izelan, pihaknya ada terfikir untuk mengeksportnya, namun biarlah selepas tamat sepenuhnya program itu nanti.

Mengakui telah ada permintaan daripada dua televisyen luar negara iaitu salah sebuah saluran di Mesir dan sebuah lagi di Turki, pihaknya masih lagi dalam pertimbangan.

“Kita tunggu dahulu program ini siap sepenuhnya nanti baru kami akan fikir sama ada untuk membawa format Imam Muda ke luar negara atau tidak.

“Pada pandangan saya, sebagai sebuah negara Islam moden sudah sampai waktu untuk kita pasarkan program-program bercorak keagamaan keluar negara,” kata Izelan.

Tambah Izelan, dalam apa juga agama ramai yang berpendapat bahawa usaha untuk menarik anak-anak muda untuk mendekati agama memang cukup sukar.

Fokus Astro Oasis hanya satu iaitu memperluaskan pengetahuan masyarakat tentang peranan imam yang sebenar serta memartabatkan status imam itu sendiri.

“Tentang penghasilan program tempatan yang mendapat pujian di negara luar saya kira ia suatu bonus kepada rakyat Malaysia.

“Jangan tidak tahu, pengikut Imam Muda sebenarnya bukan hanya terdiri daripada orang Melayu semata-mata tetapi juga kaum lain seperti Cina dan India.

“Ramai juga daripada kaum lain yang menghubungi menyatakan minat serta perhatian mereka terhadap rancangan ini,” jelas Izelan.

Terlibat secara langsung ketika dalam proses uji bakat para peserta, Izelan mengakui, dalam usaha melahirkan imam unggul di kalangan generasi muda, inilah landasan terbaik yang dilakukan oleh Astro Oasis.

Cabaran demi cabaran yang dilalui oleh sepuluh peserta Imam Muda termasuklah menguruskan jenazah yang telah tiga bulan tidak dituntut, memberi motivasi kepada kanak-kanak serta golongan dewasa di rumah perlindungan, operasi ke pusat penyembelihan dan rumah pelacuran serta memberi kaunseling kepada pasangan suami isteri yang bermasalah.

Dalam pada masyarakat sering menuding pelbagai persepsi negatif terhadap golongan muda, Imam Muda memperlihatkan memperlihatkan golongan itu pada sisi lainnya.

“Secara tidak langsung, kita baru tahu ramai sebenarnya remaja di luar sana yang boleh kita bentuk untuk ‘memimpin’ remaja seusia mereka.

“Bila tengok remaja-remaja seperti ini di televisyen tentu ramai ibu bapa yang merasa sejuk hati.

“Saya yakin dengan adanya ‘pentas’ yang betul maka betullah apa yang cuba kita cari,” kata Izelan lagi.

Seperti program realiti lain di negara ini, Imam Muda juga melalui proses penyingkiran.

Namun sistem pemarkahannya cukup berbeza apabila 50 peratus markah diperoleh menerusi ujian teori dan selebihnya menerusi ujian praktikal.

Biarpun ada penyingkiran jelas Izelan tiada istilah kalah dan menang dalam program ini biarpun Imam Muda unggul yang dicari telah pun ditemui kelak.

“Ini kerana kesemua 10 peserta yang kita pilih memang berkelayakan menjadi imam.

“Kita bukan cari pemenang sebaliknya imam yang unggul dan kesemua mereka nanti selepas tamat program ini akan kita hantar mengikuti kursus-kursus tertentu.

“Apa yang boleh dikongsikan, separuh daripada mereka sudahpun mendapat tawaran menjadi imam di masjid-masjid tertentu.

“Sudah tentu sepanjang bulan Ramadan nanti jadual-jadual mereka penuh, terisi dengan pelbagai aktiviti tertentu sepanjang bulan tersebut,” kata Izelan.

Empat peserta Imam Muda yang masih bertahan ialah Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, Ahmad Hazran Ahmad Kamal, Hizbur Rahman Omar Zuhdi dan Mohd. Taufek Mohd Noh.

Enam peserta yang telah tersingkir ialah Amiril Md. Banin, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, Nik Muhammad Adib Md. Amin, Nuri Ali Arbain, Sharafuddin Suaut dan Ahmad Syakir Zamri.

Kesemua mereka dipimpin oleh pengetua Imam Muda, Datuk Hassan Mahmood serta dua tenaga pengajar iaitu Ustaz Shahrizan Daud dan Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang.


Sumber : UTUSAN




Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More