Saturday, July 3, 2010

SETIAP MINGGU IMAM MUDA SEMAKIN BANYAK CABARAN

BERITA @ FN

Imam muda ke pusat penyembelihan


PESERTA Imam Muda dinilai dari segi ketelitian mutu penyembelihan serta mengaplikasikan kefahaman yang dipelajari dalam kelas.


MINGGU demi minggu, yang masih tinggal di gelanggang pembelajaran membentuk sahsiah bakal imam yang sejati, hanya berbaki lapan orang sahaja lagi.

Tentu sahaja tuntutan menyempurnakan tugasan apabila melangkah ke fasa yang lebih tinggi bukan sesuatu yang ringan dan boleh dipandang enteng.

Tugas menyembelih tidak boleh diambil mudah dan banyak perkara yang perlu dititik beratkan.

Dari segi hukum, tertib dan cara penyembelihan segalanya perlu diberi perhatian sewajarnya apatah lagi apabila haiwan yang disembelih itu akan dimakan oleh orang muslim.

Menyedari betapa pentingnya pengetahuan dan tertib penyembelihan, peserta Imam Muda kali ini didedahkan dengan operasi pemeriksaan penyembelihan di beberapa pusat penyembelihan di ibu kota.

Operasi dilakukan sekitar pukul 1 pagi itu turut disertai oleh beberapa penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang terlebih dahulu memberi taklimat serta panduan sebelum memulakan serbuan.

Operasi bertujuan memastikan pusat-pusat penyembelihan yang terlibat mengikuti prosedur serta hukum penyembelihan sebenar mengikut syarak.

Peserta yang masih kekal dalam program terbitan saluran Oasis (saluran 106, Astro) ialah Amiril Md. Banin, 25; Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26; Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 26; Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27 dan Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21.

Tidak ketinggalan ialah Nik Muhammad Adib Md. Amin, 22; Nuri Ali Arbain, 25 dan Mohd. Taufek Mohd. Noh, 27.

Daripada situ, pengetahuan serta kepekaan peserta Imam Muda mengesan kesalahan serta pelbagai aspek kekurangan yang tidak menepati syarak bakal teruji.

Disinilah peserta Imam Muda menjalankan tanggungjawab mereka dalam memberi khidmat nasihat yang sewajarnya dalam waktu yang sama memberikan kaunseling kepada pemilik premis agar kesalahan yang sama tidak berulang lagi pada waktu akan datang.

Menjalankan serbuan berdasarkan informasi yang diterima oleh pihak Jawi, serbuan dimulakan dengan soal siasat terhadap pemilik premis.

Ini termasuklah pemeriksaan keatas barangan, peralatan serta mesin-mesin yang diguna pakai oleh sesebuah premis sepanjang menjalankan aktiviti penyembelihan.

Selain itu, cabaran yang diberikan kepada peserta Imam Muda ialah menguji sejauh mana kefahaman serta pengetahuan amali yang telah disampaikan oleh tenaga pengajar diaplikasikan kepada aktiviti penyembelihan.

Inilah yang bakal dinilai oleh tenaga pengajar mereka kerana tidak kesemua pelajar Imam Muda sebelum ini berpengalaman melakukan aktiviti penyembelihan.

Pengetua Imam Muda, Datuk Hassan Mahmood ketika dihubungi Hits memberitahu, tugasan ini sengaja diberikan kepada mereka bagi memastikan mereka mampu mengaplikasikan setiap ajaran yang diberikan dalam kelas sebaik mungkin.

"Minggu ini mereka menunjukkan kebolehan dan kefahaman masing-masing dalam tugasan penyembelihan.

"Kebenaran daripada pihak Jawi, ialah haiwan berkaki dua jadi kita memilih ke premis penyembelihan ayam bagi melaksanakan tugasan Imam Muda pada minggu ini.

"Dari segi hukum, rukun penyembelih serta adab mereka ketika melakukan penyembelihan diberikan pemarkahan," katanya.

Ini termasuklah menggunakan pisau yang tajam ketika menyempurnakan penyembelihan, menghadap kiblat serta tidak menyakiti haiwan.

Tambah Hassan, prestasi serta pemarkahan yang dinilai daripada tugasan yang dilakukan oleh mereka sangat hampir antara satu sama lain.

Ini kata Hassan, berkemungkinan kerana ada antara mereka telah mempunyai pengalaman menyembelih maka markah yang mereka terima masing-masing tidak jauh berbeza.

"Biarpun markah yang diperolehi hampir sama, namun penyingkiran pasti akan berlaku.

"Kerana itu sudah diberitahu sedari awal rancangan ini bersiaran.

"Untuk tugasan minggu ini, apa yang mengurangkan markah mereka ialah beberapa kesalahan seperti tidak memegang haiwan yang hendak disembelih dengan betul, tangan menggigil, serta mutu penyembelihan yang tidak sempurna," katanya.


Sumber : UTUSAN





Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More