Adib dijemput jadi Imam Terawih di Amerika Syarikat
BIARPUN tidak meraih apa-apa kemenangan dalam Imam Muda, Adib telah menerima jemputan sebagai imam terawih di salah sebuah masjid di Amerika Syarikat selama sebulan.
Adib atau nama sebenarnya Nik Muhammad Adib Md Amin, 22, dari Kota Baru, Kelantan yang tersingkir pada minggu ketujuh mempunyai pendidikan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Muta’ah, Jordan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, tawaran itu baru sahaja diterima pada malam Kemuncak Imam Muda, Jumaat.
Sementara itu, beliau juga mengesahkan jemputan untuk juara Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dan naib juaranya, Hizbur Rahman Omar Zuhdi untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza setelah ditawarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut menghadiri program realiti di Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu.
Bukan itu sahaja, salah seorang peserta Imam Muda iaitu Muhammad Khairul Azhar Ghazali atau dikenali sebagai Azhar ditawarkan sebagai hos program Khabar Haji di Astro Oasis.
“Sepanjang bulan puasa tahun ini, semua imam muda juga mendapat tawaran untuk menjadi imam terawih di Masjid Wilayah Persekutuan dan beberapa masjid negeri.
“Alhamdulillah, program ini telah dapat dikenali seluruh dunia dan saya bersyukur program ini dapat melepasi daripada jangkaan kami.
“Kita telah mendapat liputan daripada media cetak dan elektronik luar negara seperti BBC World, CNN, Associated Press (AP), majalah Der Spiegel dari Jerman dan media dari Jepun,” katanya penuh gembira kepada mStar Online.
Difahamkan, program itu berjaya menarik perhatian ramai pengguna media sosial apabila laman sesawang Facebook berjaya mengumpul hampir 60,000 pengikut setia dari pelbagai negara di seluruh dunia.
Atas sokongan meluas itu, Izelan tidak menafikan Astro Oasis akan meneruskan program realiti pertama di dunia itu untuk musim seterusnya pada tahun depan dan memperbanyakkan program ilmiah yang diselit dengan unsur hiburan di saluran itu.
Malah beliau juga menyambut baik cadangan Jamil Khir yang berharap program itu akan diteruskan pada tahun depan dengan turut membuka peluang penyertaan kepada negara-negara serantau seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.
“Sekarang kita dalam perancangan untuk membuat Imam Muda 2. Kita juga akan pertimbangkan tentang cadangan Datuk Seri Jamil Khir untuk membuka pencarian imam muda kepada peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei jika ia mendapat sokongan dari Jawi.
“Saya rasa tiada masalah kerana perkara itu merupakan cadangan yang baik dan cukup bagus,” ujar Izelan lagi.
Program Imam Muda mula bersiaran buat pertama kalinya pada 28 Mei lalu selama 10 minggu. Ia turut disertai oleh Ahmad Hazran Ahmad Kamal, Mohd. Taufek Mohd Noh, Amiril Md. Banin, Nuri Ali Arbain, Sharafuddin Suaut dan Ahmad Syakir Zamri.
Sumber : MSTAR
Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
0 comments:
Post a Comment