JUARA sulung Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan akui program realiti kelolaan Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu banyak mengubah kehidupannya.
Walaupun berpengalaman sebagai imam, peserta berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu banyak mempelajari perkara baru sepanjang 10 minggu menyertai program tersebut.
Melalui kemesraan yang dipaparkan, Asyraf dilihat sebagai imam yang disenangi ramai dan bijak berkata-kata. Setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya disampaikan dengan lantang dan penuh makna.
Selepas Imam Muda melabuhkan tirainya, Jumaat, Asyraf, 26, bercita-cita untuk bergelar seorang imam yang mesra remaja di samping menerapkan nilai-nilai murni lain.
“Saya rasa program ini banyak mengubah hidup saya kerana menjadi pilihan orang pertama yang mengetuk pintu institusi imam. Banyak perkara yang saya lalui dan pelajari sepanjang mengikuti tutorial dalam program ini.
“Insya-Allah, saya akan cuba menjadi seorang imam yang mesra remaja, cool, relaks, manja dengan kanak-kanak dan ramah dengan orang tua,” katanya pada sidang media selepas dinobatkan sebagai juara di Kompleks Pusat Islam, Jawi.
Mengenai perancangannya selepas ini, Asyraf akan terikat dengan Astro selama enam bulan dan mengikuti program yang telah diaturkan.
Berhubung tawaran menjadi Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan, Asyraf belum mengetahui di mana dia akan memulakan tugasnya itu.
“Saya fleksibel untuk menjadi imam di mana-mana masjid,” ujarnya.
Asyraf juga berkata dia akan menghabiskan dahulu pengajian Sarjananya di Universiti Malaya sebelum mengikuti pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi sebagai salah satu hadiah yang dimenanginya itu.
Seperti yang diperkatakan oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, Asyraf dan sembilan peserta lain berhak menentukan bila mereka mahu memulakan pengajian selama empat tahun itu.
Untuk jangka masa panjang, Asyraf berazam untuk menubuhkan kelab imam muda dan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk kesenian.
Sumber : MSTAR
Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
0 comments:
Post a Comment