Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Saturday, December 4, 2010

“Lagu itu adalah suara hati saya kepada Allah..." Maher Zain

BERITA @ FN

Maher Zain terharu

pix_gal0

SANTAI pada pertemuan pagi Isnin lalu di lobi HotelConcorde, Shah Alam, Maher Zain tenang menjawab pelbagai soalan yang diajukan tanpa sedikit pun mempamerkan riak kurang selesa.

Sesekali perbualan turut menyentuh isu peribadinya, tetapi penyanyi keturunan Lubnan yang membesar di Sweden itu tidak pula mengelak.

Menterjemahkan peribadinya yang jujur, Maher berkongsi satu persatu perjalanan hidupnya tanpa dibebani keinginan untuk berlindung.
“Saya berterima kasih kepada Allah kerana memberikan saya hidayah ketika saya mengambil langkah pertama untuk kembali mengenali diri sendiri. Setiap apa juga perkara yang berlaku mempunyai alasan tersendiri dan Allah sentiasa ada di sisi ketika saya memerlukan petunjukNya,” kata Maher membuka bicara.

Kesesatan yang akhirnya menemukan Maher dengan apa yang dicarinya selama ini. Hampir setahun berfikir, Maher pernah bertekad mahu meninggalkan industri muzik yang disertainya lima tahun lalu.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bergelar penyanyi. Darah seni mengalir dalam diri kerana bapa saya ialah seorang penyanyi di Lubnan, jadi muzik bukan sesuatu yang asing kepada saya. Saya sendiri aktif menerbitkan album di New York tetapi apabila untuk memilih jalan hidup yang diredai Allah, saya berperang dengan diri sendiri. Dalam pencarian itu, Allah menghadirkan inspirasi untuk saya berkongsi segala pengalaman dan kekhilafan silam lalu hadir album, Thank You Allah.

“Lagu itu adalah suara hati saya kepada Allah kerana Dia memberikan saya petunjuk ketika mengambil langkah pertama untuk mengenaliNya,” katanya yang muncul santai dengan berbaju panas belang dilengkapi topi pada pertemuan itu.
Beliau berada di Kuala Lumpur selama dua minggu dalam siri promosi album terbarunya selain membuat persembahan di Dewan Bandaraya Shah Alam, (MBSA) pada Khamis dan Jumaat lalu.

Segala kekhilafan yang dijalaninya dulu kata Maher, adalah sebuah realiti kehidupan yang tidak seharusnya dinafikan apatah lagi buat dirinya yang membesar dalam budaya Barat. Tatkala memandang ke luar, Maher akur ramai lagi manusia sepertinya yang turut mencari cahaya dan mengharapkan keredaan Allah dalam kehidupan mereka.

“Apabila meningkat remaja, kita akan melihat sesuatu di luar lebih menarik berbanding apa yang kita ada. Untuk diterima orang luar, kita juga cuba menjadi seperti mereka. Itu lumrah hidup. Alhamdulillah, Allah memilih saya untuk melalui semua ini dan apabila kembali kepadaNya, saya diberi peluang untuk berkongsi setiap pengalaman menerusi bakat kurniaanNya iaitu muzik,” katanya.

Akui Maher, tidak semua sentuhan yang dimuatkan dalam produksi Thank You Allah adalah catatan pengalamannya kerana manusia lain turut menempuh laluan hidup serupa.

Cuma yang menggembirakan Maher, usahanya itu menerima reaksi positif masyarakat seluruh dunia tidak kira yang beragama Islam atau sebaliknya.

“Saya terharu apabila ada peminat yang datang memberitahu mereka kembali mendekatkan diri kepada Allah selepas mendengar album ini. Bahkan, persepsi sesetengah pihak terhadap Islam juga berubah kerana saya berusaha menjunjung peribadi Rasulullah dalam pekerjaan yang dilakukan.

“Sebagai wajah kepada agama Islam, saya harus menunjukkan contoh yang baik. Islam pada pandangan saya, bukan sekadar sebaliknya ia juga melambangkan sistem kehidupan yang sempurna. Jika kita sebagai penganutnya berbuat jahat, tanggapan terhadap Islam juga silap. Justeru saya berusaha untuk mengalihkan pandangan negatif terhadap Islam dengan menunjukkan pekerti yang mulia menerusi hasil kerja seni saya,” katanya.

Ujarnya dalam nada terharu, ketika pembikinan klip video lagu The Chosen One yang disempurnakan di Los Angeles, dia dihujani pelbagai pertanyaan daripada mereka yang ingin mengenali Islam. Jujur Maher mensyukuri segala rahmat yang dicurahkan Allah terhadap usaha yang diperjuangkannya sejak setahun lalu.

“Saya menyambut baik jika lebih ramai penggiat seni Islam tampil untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka.

Sumbangan terhadap agama bukan hanya menerusi ceramah, buku atau keluar berdakwah sebaliknya dengan bakat seni kurniaan Allah juga dapat dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej Islam.

“Saya juga menggunakan bakat yang diberikan Tuhan menerusi muzik untuk jalan kebaikan,” katanya yang fasih berbahasa Swedish, Inggeris, Arab dan Turki.


Suka lihat suasana Islamik di Malaysia

KETIKA berada di ibu negara. Maher Zain yang turtu ditemani isteri dinikahinya tahun lalu mengakui pernikahannya berlaku pada usia agak lewat iaitu 28 tahun.

Maher berkata, seandainya dapat diputarkan masa serta diberikan pilihan usia terbaik untuk mendirikan rumah tangga adalah pada usia 21 atau 22 tahun.

“Perkahwinan adalah tuntutan kehidupan. Setiap manusia dicipta berpasangan dan seandainya membelakangkan tuntutan yang menjadi keperluan hidup ini, kita pasti terjebak dalam gejala tidak sihat. Saya seronok melihat kehidupan abang yang mendirikan perkahwinan pada usia muda. Sekarang dia sudah mempunyai tiga anak sedangkan saya belum dikurniakan apa-apa lagi.

“Mungkin ketika itu, saya masih belum bersedia,” katanya yang sempat bercuti ke Pulau Langkawi.

Masih sibuk menjelajah dunia untuk memperkenalkan Thank You Allah kerana masih ramai yang mahu mengenali isi album itu, Maher berkata, kejayaan itu tidak akan mampu dicapainya sendirian. Dia bersyukur kerana Allah memberikan tenaga kreatif yang sentiasa memastikan produksi terbaik, seterusnya membuka ruang untuk memperkasakan perjuangannya atas nama Islam.

“Selesai urusan persembahan di Kuala Lumpur, saya akan ke Brunei sebelum menjelajah lima bandar di Amerika Syarikat selain ke Dubai, Jerman dan Sarajevo.

“Saya sendiri terharu dengan sokongan yang diberikan. Sebelum tiba di Kuala Lumpur, saya terkejut apabila menerima lebih 20,000 reaksi daripada peminat yang tidak sabar ingin bertemu saya. Malaysia memberikan sokongan luar biasa kerana di sini, kanak-kanak sekecil usia lima tahun sudah menghafal lagu saya. Ia amat mengejutkan dan kerana itu, saya mahu kembali lagi ke sini.

“Saya selesa dengan suasana yang Islamik di sini, malah keindahan alam semula jadi Malaysia membuat saya lebih tertawan selain terpikat dengan keramahan penduduknya,” kata penggemar saluran National Geographic ini.

Sumber : BERITA HARIAN




Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More