Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Thursday, February 9, 2012

Anugerah Nasyeed Com Di dalam Akhbar-akhbar Utama

Kosmo !

Keratan 5 Feb 2012

Irama nasyid pernah berada di kemuncak sekitar tahun 1996 apabila kumpulan Raihan membawa pembaharuan dengan sebuah album kontemporari, Puji-pujian.

Puji-pujian bukan sekadar album ketuhanan biasa, tetapi magisnya memaksa lebih 3.5 juta unit album terjual di seluruh dunia. Selepas percaya dengan trend itu, nama-nama lain mula tumbuh . Rabbani, In-Team, Hijjaz, UNIC dan Brothers antara yang muncul seakan menjadi abang dan adik dalam mewarnai industri ini. Namun, keluarga besar itu dilihat seakan bersinar semusim. Dalam tempoh 15 tahun gelombang populariti seakan tidak terjangka. Kadangkala pasang dan kini dilihat semakin surut.

Nasyid tidak pernah jatuh, bahkan saban hari semakin banyak pelapis baharu yang muncul. Cuma taring populariti mereka seperti sudah hilang bisa. Entah mengapa sebabnya sengat kumpulan nasyid semakin luntur di pentas anugerah besar industri hiburan tempatan. Ada majlis anugerah yang menggugurkan hak kumpulan nasyid.

Boleh dikatakan menjadi penyelamat kepada ‘kejatuhan’ empayar nasyid tempatan, Anugerah Nasyid.Com (ANC) hadir tepat pada masanya. Biarkan belum terbukti membantu, namun ‘hero’ itu tetap menyuntik semula semangat pejuang-pejuang irama keislaman itu untuk terus berdakwah. ANC merupakan sebuah majlis anugerah yang memartabatkan artis nasyid tempatan. Majlis anugerah pertamanya akan diadakan pada 13 April depan yang memberi peluang kepada penyanyi nasyid menyertai 13 buah pencalonan.

Apa pandangan kalian terhadap usaha memperkenalkan Anugerah Nasyeed.Com?

Isman : Walaupun ia tidak sepopular majlis anugerah lain, sekurang kurangnya ia membantu ketika ia industri nasyid yang kini suram. Kalau hendak dianjurkan sendiri, itu bukan kerja kami. Sudah pasti Hijjaz mengalu-alukan ANC. Kami sudah lama mengidamkan perkara seumpamanya.

Suhaimi Saad : Pengguguran pencalonan untuk penggiat nasyid dalam anugerah besar sebelum ini sedikit sebanyak dibela dengan majlis ini. Saya harap ANC akan menjadi setaraf anugerah besar lain. Walaupun perjalanannya masih jauh, tetapi ia tidak mustahil. Kami lebih semangat untuk terus berkarya kerana ketika ini industri nasyid amat perlahan dan seolah-olah tiada harapan.

Syahril : Kita yakin dengan kemampuan anugerah ini kerana ia dianjurkan oleh pakar dalam penganjuran majlis. Jenama Nasyeed.Com itu sendiri membawa tema nasyid dan ia akan diingati sampai bila-bila. In-Team akan beri kerjasama untuk mendekatkan majlis ini dengan media dan mendapatkan penajaan bagi memeriahkan ANC.

Pandangan kalian mengenai senario nasyid sekarang?

Isman : Jangan melihat nasyid dari sudut sebuah kumpulan komersial sahaja. Saban hari, industri ini sebenarnya semakin berkembang. Banyak festival nasyid yang dianjurkan di peringkat kementerian kerajaan, sekolah dan universiti. Senario nasyid sekarang dilihat banyak yang begitu. Walaupun mereka tidak melakukan secara serius dan komersial, tetapi nasyid ada pengikutnya sendiri.

Suhaimi Saad : Ruang untuk pengamal nasyid begitu banyak sepanjang tahun kerana banyak bulan keraian Islam. Permintaan tinggi ketika musim Maal Hijrah, Mualidur Rasul, bulan Haji bahkan permintaan tertinggi ketika bulan Ramadhan. Tempat untuk nasyid sentiasa ada, cuma publisitinya agak kurang.

Syahril : Ramai yang kata bahawa nasyid kini suram, tetapi ia tidak pernah putus. Sebelum nasyid dikomersialkan dalam bentuk kontemporari, ia sebenarnya sudah lama wujud. Alunan zikir dan marhaban merupakan nasyid. Selagi dunia wujud, nasyid tidak akan terkubur. Nasyid akan terus ada.

Industri nasyid sekarang semakin sukar dijangka, komen kalian?

Isman : Peringkat awal penyertaan kumpulan nasyid kontemporari dalam industri ini adalah melalui syarikat rakaman besar. Mereka ada cara dan bajet untuk pemasaran dan penjenamaan. Enam tahun kebelakangan bila banyak kumpulan nasyid bergerak sendiri, publisiti jugak kurang. Justeru populariti semakin merosot walaupun kami masih ada dalam industri. Tetapi, pada tahun ini nasyid mula dilihat boleh berdikari terutamanya ketika lambakan laman sosial seperti Facebook dan Youtube yang banyak membantu.

Suhaimi Saad : Pada awal-awal dahulu album kumpulan Raihan pernah terjual sangat banyak dan mengatasi artis popular lain. Jumlah besar yang dicatatkan tersebut kerana Raihan membawa sesuatu yang baharu ketika itu. Pada masa kini kehadiran penyanyi luar seperti Maher Zain adalah contoh pembaharuan yang dilakukan mengikut peredaran masa. Nasyid perlu lebih segar dan diperbaiki untuk terus diterima.

Syahril : Revolusi nasyid perlu sentiasa bergerak selari dengan perkembangan selera pendengar. Kita kena berusaha untuk kekalkan imej Malaysia yang dikatakan sebagai ‘kiblat’ industri nasyid kontemporari walaupun nasyid terlebih dahulu bermula di tanah Arab. Turun naik itu tidak dijangka untuk terjadi tetapi perubahan dan pembaharuan itu penting.

Banyak artis bukan nasyid yang menyanyikan lagu-lagu dengan lirik ketuhanan tetapi mengekalkan irama mereka. Komen kalian?

Isman : Saya kagum dengan lagu Andai Ku Tahu dan Mentari Merah di Ufuk Timur. Itu adalah contoh yang baik bahawa nasyid tidak tertumpu kepada artis nasyid sahaja. Menyampaikan perkara baik adalah wajib. Apabila ada usaha itu dan diterima untuk orang berubah itu adalah baik. Mungkin cara yang berbeza seperti disampaikan secara rock dan pop, tetapi apa yang bagus kita tidak boleh tolak. Cuma cara penyampaian sahaja yang berbeza.

Suhaimi Saad : Kita mengalu-alukan lagu-lagu ketuhanan daripada artis-artis ini. Tetapi lebih elok kalau ia tampil dengan pakej yang lengkap bukan sahaja pada seni kata, tetapi penyampaian dan peribadi. Mungkin itu lebih baik untuk diterima orang ramai. Nanti orang cakap tak serupa bikin kalau penampilan yang tidak selari dengan liriknya.

Syahril : Bagi artis-artis tersebut, itu adalah sebuah penjenamaan semula lagu mereka. Ada yang menamakannya sebagai pop positif atau di Indonesia dikenali sebagai pop religi. Hakikatnya semua itu adalah nasyid. Selagi ia menyampaikan perkara kebaikan dan berlandaskan Al-Quran dan Hadis, ia tetap nasyid. Perkembangan itu adalah positif untuk kita sama-sama berdakwah.

Apa pandangan kalian mengenai masa depan nasyid?

Isman : Walaupun publisiti nasyid ada turun naik, saya sangat yakin bahawa nasyid tidak akan lenyap. Saban hari wajah-wajah baharu dan kelainan dalam nasyid ditonjolkan. Kami akan gunakan medium laman sosial habis-habisan untuk menaikkan kembali kegemilangan nasyid pada 2012.

Suhaimi Saad : Selagi penggiat nasyid mahu berubah mengikut trend, nasyid kontemporari akan terus diterima. Artis Sweden, Maher Zain merupakan contoh pelapis nasyid yang menyambung masa depan irama ini.

Syahril : Perkembangan teknologi berperanan besar untuk penggiat nasyid mengekalkan nama dalam industri.

Sumber : Akhbar Kosmo! Ahad 5 Feb 2012
Ditaip semula oleh : grafik@nasyeed.com


Harian Metro

SEKITAR 1996 hingga 2000, irama nasyid mencapai kemuncak membanggakan. Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana dan In-Team antara yang tidak asing di bibir peminat. Bagaimanapun, selepas era emas itu sehingga kini, nasyid seakan-akan dipinggirkan daripada arus perdana sedangkan kelompok peminatnya masih ramai.

Menyedari hakikat perlu menjenamakan semula lagu nasyid dan bercorak dakwah, Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd yang lebih dikenali dengan Nasyeed.Com akan menganjurkan Anugerah Nasyeed.Com yang akan berlangsung pada 13 dan 14 April 2012 ini. Acara yang julung kali diadakan ini berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam.

Pengarah Eksekutif Nasyeed.Com, Mohd Khairulnizam Zainol berkata, sebelum ini mereka sudah mewujudkan program carta lagu nasyid selama hampir dua tahun. Bagaimanapun, hanya pada Julai tahun lalu, barulah ia dikenali dengan nama Carta Nasyeed.Com.

“Semua aktiviti ini berlangsung di laman sosial facebook tanpa membabitkan rangkaian komunikasi lain. Bagaimanapun, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penggiat nasyid sendiri dan peminat hingga mencatat jumlah 1.2 juta pengikut. Sekarang kami ambil inisiatif bagi mencari mana hala tuju sebenarnya lagu nasyid dan rancang mengadakan acara ini.

“Niat kami bukan untuk bersaing dengan mana-mana anugerah tetapi kami berasakan perlu ada sesuatu untuk menghargai penggiat nasyid. Sebagai karyawan nasyid, kami gunakan apa yang kami ada kerana bertujuan nak mengiktiraf hasil karya penggiat nasyid di Malaysia. Kami berasa bertanggungjawab untuk memartabatkan kembali nasyid kerana orang kata genre ini sudah malap.

“Pandangan ini salah kerana hakikatnya 30 album nasyid dihasilkan pada tahun lalu. Justeru, kami sangat mengharapkan sokongan semua pihak termasuk media untuk menyemarakkan lagi majlis anugerah yang bakal diadakan,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Kelana Green Restaurant, Kelana Jaya pada Selasa lalu.

Tambahnya, niat asal mereka menerbitkan Carta Nasyeed.Com hanyalah bertujuan untuk menguji pasaran. Bagaimanapun, dengan sambutan positif daripada pelbagai pihak termasuk syarikat rakaman, ia bertukar menjadi besar sehingga terhasilnya Anugerah Nasyeed.Com. Malah mereka sudah menerima penyertaan lebih daripada 20 kumpulan nasyid untuk terbabit dengan majlis ini.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Nasyeed.Com, Muhamad Razin Che Mud menjelaskan, mekanisme pertandingan dibuat menerusi pencalonan lagu daripada artis, syarikat rakaman mahupun peminat. Lagu-lagu ini akan dibahagikan kepada beberapa kategori berbeza dan perlu ada muzik video untuk dimuat naik dalam facebook dan YouTube sebagai tontonan.

“Dari sini, lagu-lagu ini akan diundi setiap minggu oleh peminat bagi menentukan kedudukan lagu yang popular. Kategori berbeza yang ditetapkan ialah Anugerah Nasyeed Sirah, Anugerah Nasyeed Cinta, Anugerah Nasyeed Amar, Anugerah Nasyeed Selawat, Anugerah Nasyeed Perjuangan dan Anugerah Nasyeed Munajat yang semuanya akan dinilai berdasarkan undi popular.

Anugerah Susunan Muzik Terbaik, Anugerah Klip Video Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Lirik Terbaik, Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Juara Carta Nasyeed.Com dan Anugerah Khalifah Nasyeed akan dinilai sepenuhnya barisan juri profesional yang dipilih.

“Setakat ini, kaedah undian masih menggunakan Facebook sepenuhnya dan mungkin pada final nanti kami akan menggunakan kaedah tertentu. Mungkin juga trend undian akan dibuka kepada mekanisme lain. Kami membuka sepenuhnya lagu-lagu dan karya kepada semua peng–giat seni dan semua golongan untuk menyertai anugerah ini,” katanya.

Sumber Berita : Mymetro


Berita Harian

Keratan 6 Feb 2012

Mursyid sasar 2012 kembalikan zaman gemilang

MUZIK nasyid tidak terkubur mahupun malap, sebaliknya cuma kurang diberikan publisiti, kata anggota kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam.

Menganggap irama itu masih ada pengikut dan peminatnya sendiri, sikap tidak menonjolkan diri secara berlebihan kalangan penyanyi atau kumpulan nasyid bukanlah bererti muzik terbabit sudah tidak laku lagi.

Malahan, permintaan untuk mengadakan persembahan pentas masih banyak diterima oleh penggiat irama nasyid.

“Alhamdulillah, sehingga kini nasyid masih diterima kerana kebanyakan peminat membesar dengan muzik ini, sejak 10 tahun lalu. Jadual persembahan kami juga sentiasa penuh,” katanya.

Isman kini bergabung bersama Muhammad Hazamin Harun daripada kumpulan Inteam dan Mohd Nazri Alias (Al-Farabi Band) menjadi antara tenaga penting dalam menggerakkan Persatuan Muzik Nasyid Malaysia (Mursyid).

“Mursyid banyak membantu kumpulan nasyid dari segi album dan persembahan. Tahun lalu saja ada lebih 30 album baru yang dihasilkan anggota Mursyid, hasil usaha keras mereka sendiri tanpa membabitkan mana-mana pihak,” kata Isman.
Penubuhan Mursyid bukan saja bersifat membantu kumpulan nasyid sebaliknya sebagai tempat berkongsi pendapat dan pandangan.

Malah penganjuran Anugerah Nasyeed.Com yang akan diadakan pada 13 April di Pusat Islam nanti ialah hasil usaha sama antara persatuan terbabit dengan Nasyeed.Com.

Berasakan nasyid masih mempunyai tempat dalam industri muzik tempatan, tahun 2012 dianggap sebagai tapak bagi mereka mengembalikan irama berkenaan seperti era kegemilangannya lebih sedekad lalu.

“Malaysia ialah pelopor industri nasyid dan menjadi sumber rujukan artis luar seperti Maher Zain. Mereka mengintai peluang di negara ini untuk buat lagu nasyid Melayu kerana peminat nasyid di sini sangat ramai. Jadi, inilah masanya untuk kita bangkitkan semula irama nasyid.

“Dengan adanya anugerah ini, bukan saja ia dapat mengangkat muzik itu sendiri sebaliknya membuka mata pihak luar bahawa nasyid masih diperlukan dalam industri. Kalau dulu label muzik banyak membantu artis nasyid dari segi promosi dan edaran, tetapi kini ia sudah berkurangan. Kalau adapun, sekadar edaran album,” katanya.

Meskipun kurang menonjol di negara sendiri, tetapi menurut Isman, sehingga kini mereka masih mendapat tempat di Indonesia, selatan Thailand, Singapura, Brunei malahan di Eropah.

Menganggap nasyid sebagai pendidikan, kata Mohd Nazri, genre ini mudah diterima semua pihak kerana ia boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk muzik termasuk rock.

“Jangan menganggap semua muzik rock itu tidak elok, tetapi kalau kita masukkan unsur positif seperti nasihat dan didikan dalam usaha menarik peminat muda, insya-Allah ia dapat diterima semua pihak.

“Tujuan nasyid adalah untuk mendidik dan bukan sekadar hiburan. Sebab itu nasyid kini dipelbagaikan dalam bermacam-macam genre muzik, bertujuan untuk menarik semua golongan,” katanya.

Hazamin pula menegaskan, enggan melihat genre nasyid dipandang sepi dan disisihkan industri muzik, Mursyid berusaha membantu pejuang irama berkenaan terutama kumpulan baru untuk bersinar dan dikenali.

“Kini, ramai artis yang hanya menghasilkan single, tetapi kami berani mengeluarkan album dan peluang yang ada ini kami gunakan untuk mengangkat kembali irama nasyid.

“Tidak hairanlah kalau penyanyi nasyid di Indonesia dan Thailand mengintai peluang di sini kerana mereka mengikut acuan kita juga. Malah, setiap kali anggota Mursyid membuat persembahan di sana, sambutan diterima cukup meriah,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Kosmo !

Keratan 6 Feb 2012

SEKITAR sepuluh hingga 15 tahun lalu irama nasyid telah berjaya menembusi pasaran industri muzik tempatan serta mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Ketika itu muncul pelbagai kumpulan nasyid kontemporari seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Inteam dan lain-lain sehinggakan penjualan album yang mengandungi lagu-lagu berunsur ketuhanan dan menyeru ke arah kebaikan mendapat sambutan dan mencecah puluhan ribu unit.

Buktinya, album sulung kumpulan Raihan yang berjudul Puji-Pujian telah mencipta rekod baharu dalam penjualan album tempatan iaitu sebanyak 750,000 unit dan masih belum lagi dipecahkan oleh mana-mana penyanyi sehingga sekarang.

Namun begitu, irama nasyid dikatakan sudah tidak lagi semeriah dahulu dan sudah kurang mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan golongan muda yang diketahui merupakan penggemar lagu-lagu nasyid sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Nasyeed Edutainment Publishing (Nasyeed.Com), Mohd. Khairulnizam Zainol menafikan irama nasyid semakin suram kerana sehingga kini ia masih lagi diterima ramai.

“Sepanjang tahun 2011 sebanyak 30 buah album nasyid tempatan telah dihasilkan dan ini membuktikan bahawa masih ada lagi sebilangan penggemar muzik yang terus meminati lagu-lagu nasyid.

“Mungkin perkembangan irama ini dalam tiga atau empat tahun lalu bergerak agak perlahan. Namun, saya yakin nasyid kini akan melalui zaman kebangkitan semula dan mampu mencapai zaman kegemilangan seperti dahulu,” ujarnya.

Menurut Khairulnizam, dalam usaha untuk memeriahkan semula industri muzik nasyid tempatan, pihaknya telah bersepakat untuk menganjurkan sebuah acara yang dikenali sebagai Anugerah Nasyeed.Com.

Jelasnya, matlamat utama penganjuran anugerah berkenaan adalah untuk memartabatkan irama berkenaan serta memberi pengiktifaran kepada penggiat nasyid tanah air yang banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan industri itu.

“Kami mengambil inisiatif ini bukanlah mahu bersaing dengan mana-mana acara anugerah yang sedia ada. Lagipun sekarang ini masih belum ada lagi acara anugerah yang khusus kepada nasyid.

“Jadi, kami merasakan sudah tiba masanya anugerah sebegini dianjurkan dalam usaha kami untuk menyemarakkan semula kemeriahan dan kegemilangan irama nasyid seperti yang pernah dilalui dahulu,” jelasnya.

Ketika berucap pada majlis pelancaran Anugerah Nasyeed.Com baru-baru ini, Khairulnizam memberitahu bahawa acara anugerah tersebut akan mempertandingkan lagu-lagu yang bersaing dalam Carta Nasyeed.Com.

Ujarnya, carta tersebut mula diwujudkan pada bulan Julai 2011 dengan menggunakan platform laman sosial Facebook dan para peminat boleh mengundi lagu-lagu kesukaan mereka dengan melawat laman sosial tersebut menerusi nama Nasyeed.Com.

“Walaupun carta ini baru sahaja diperkenalkan beberapa bulan yang lalu, tetapi ia telah mendapat sambutan yang hangat apabila ia telah dikunjungi oleh 1.2 juta pengguna Facebook,” ujarnya.

13 kategori

Merupakan acara anugerah yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Nasyeed Edutainment Publishing, ia akan berlangsung pada 13 dan 14 April 2012 di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Pengasasnya, Muhamad Razin Che Mud berkata, semasa anugerah itu diadakan nanti, sebanyak 13 kategori akan dipertandingkan merangkumi lagu terbaik dan anugerah dari segi teknikal.

“Tentang pemilihan lagu yang akan bersaing nanti hanya lima buah lagu yang dipilih untuk setiap kategori dan pemilihan dibuat berdasarkan undian orang ramai menerusi laman Facebook kami.

“Mengenai undian berkenaan ia boleh dilakukan sehingga 26 Februari ini dan peminat boleh undi mana-mana lagu yang mereka gemari. Selepas itu hanya lima lagu bakal terpilih dan penilaian akan dibuat oleh juri profesional yang dilantik,” ujarnya.

Antara kategori yang akan dipertandingkan nanti adalah seperti Anugerah Nasyeed Sirah, Anugerah Nasyeed Cinta, Anugerah Nasyeed Amar, Anugerah Nasyeed Selawat, Anugerah Nasyeed Perjuangan dan Anugerah Nasyeed Munajat.

Tujuh lagi anugerah yang turut dipertandingkan menerusi kategori teknikal iaitu Anugerah Susunan Muzik Terbaik, Klip Video Terbaik, Vokal Terbaik, Lirik Terbaik, Lagu Terbaik, Juara Carta Nasyeed.Com dan Khalifah Nasyeed.

“Acara anugerah ini akan berlangsung pada 13 April, tetapi ia hanya boleh dihadiri oleh pihak media serta tetamu undangan memandangkan tempatnya yang agak terhad dan tidak mampu menampung ramai orang.

“Kemudian pada keesokan harinya kami akan menganjurkan sebuah konsert nasyid di tempat yang sama dan ia terbuka kepada semua orang. Konsert ini dianjurkan sebagai satu penghargaan kepada peminat yang banyak memberikan sokongan,” ujarnya.

Muhamad Razin turut meluahkan kegembiraan kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan persetujuan untuk menjadi penaung kepada anugerah tersebut.

Sumber: Kosmo! Online




Copyright 2012 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ] 

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More