Tuesday, April 24, 2012

Konsert Salaam Sami Yusuf 14 Julai depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Sami Yusuf Luah Rasa Bimbang Persengketaan Manusia 

Sami Yusuf berharap muziknya dapat membawa kepada penyatuan manusia sejagat. - Foto oleh LIM CHENG KIAT
KUALA LUMPUR: Bintang kerohanian antarabangsa popular, Sami Yusuf tidak bimbang atau hanyut dengan sanjungan atau populariti yang dikecapnya selama hampir 10 tahun bergelar artis.
Sebaliknya, penyanyi dan komposer dari Britain ini berkata, perkara yang paling menakutkannya adalah kekacauan dan persengketaan yang boleh menjurus kepada perpecahan manusia sejagat.
"Saya tidak takut atau bimbang dengan kesan populariti dan sanjungan orang terhadap saya. Ia tidak menggugat siapa diri saya, jati diri dan keperibadian saya sebagai manusia.
"Apa yang membimbangkan adalah sikap manusia sejagat yang tidak memahami banyak perkara sehingga menjurus kepada salah faham, perselisihan dan perbalahan yang akhirnya membawa kepada perpecahan," katanya.
Penyanyi berusia 31 tahun itu ditemui selepas pengumuman konsert sulungnya di sini bersempena pelancaran album keempat iaitu Salaam.
Konsert Salaam Sami Yusuf bakal diadakan pada 14 Julai depan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Sami berkata sebagai penggiat muzik yang memperjuangkan genre kerohanian, dia mempunyai tanggungjawab dan impian untuk menyatukan manusia tanpa mengira batas agama ke arah perpaduan.
"Impian terbesar saya adalah menyatukan manusia sejagat menerusi muzik saya. Terlalu kuat pengaruh dan impak dari Barat sehingga menjejaskan jati diri dan pemikiran manusia khususnya umat Islam.
"Kepincangan ini wajar diperbetulkan terutamanya di kalangan generasi muda pada hari ini," katanya.
Sami menandatangani replika poster Konsert Salaam.
Mengenai album terbarunya yang akan dilancarkan pada Julai depan, Sami berkata album yang memuatkan 18 trek itu turut menampilkan lagu duet bersama penyanyi tanah air, Datuk Siti Nurhaliza.
"Dia (Siti) seorang penyanyi yang hebat dan dinamik. Saya akan merakamkan lagu You Came To Me ciptaan saya dengannya tidak lama lagi. Lagu itu dalam bahasa Inggeris dan Malaysia.
"Lagu-lagu lain dalam album ini juga mempunyai pengertian dan cerita yang melangkaui kehidupan manusia di atas bumi ini. Ia cukup besar ertinya," katanya.
Populariti penyanyi kelahiran Tehran ini melonjak di peringkat global selepas dia muncul dengan album sulung Al Mu'allim pada 2003.
Sami yang mempunyai jumlah peminat mencecah 2 bilion orang mendapat jolokan 'Bintang Muslim Terbesar' oleh majalah Time dan 'Muslim British Paling Popular Di Dunia' oleh The Guardian.
Konsert tersebut dianjurkan Offshore Entertainment Production.
Tiket-tiket konsert hanya akan mula dijual pada 2 Mei depan. Harga-harga tiket akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Sumber : MSTAR

Copyright 2012 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ] 

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More