BERITA @ FN
Hasrat bina kampung tahfiz
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
BERBANGGA dengan kemajuan dicapai syarikatnya selepas dua bulan beroperasi.
Nazrey Johani kumpul dana dengan menceburi perniagaan produk minyak pelincir
Menyedari tidak banyak sekolah agama sedemikian wujud di negeri terbabit, Nazrey berazam untuk menghidupkan semula suasana pembelajaran agama dan hafazan al-Quran dalam keadaan lebih sempurna.
Azamnya itu makin kuat dan hampir pasti menjadi kenyataan apabila penyanyi ini bertindak menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan mengasaskan Titan Loyal Marketing Sdn Bhd, April lalu. Sejak Mei, dia mula memasarkan produk minyak pelincir diberi nama Titan Power Motor Oil.
Sebagai pengarah syarikat dan duta bagi jenama berkenaan, Nazrey berkata, sebahagian keuntungan akan turut disalurkan pada pembinaan kompleks lengkap kampung tahfiz termasuk kemudahan riadah serta rumah tumpangan, yang dijangka menelan belanja sehingga RM1 juta secara keseluruhan.
"Melihat kepada keperluan itu, saya lahir dengan idea jualan minyak pelincir yang dihasilkan menggunakan teknologi Amerika Syarikat. Dijual dengan harga promosi RM136 sebotol (4 liter), produk berkualiti tinggi ini bakal memastikan pemanduan kereta menjadi lebih lancar dengan daya pecutan yang meningkat, enjin yang lebih senyap serta petrol yang boleh dijimatkan," katanya.
Baru saja dua bulan beroperasi, kira-kira 500 ejen sudah pun dikumpulkan Nazrey. Pencapaian yang agak baik untuk jenama baru, tetapi Nazrey mengaku, jumlah itu mungkin sukar dicapai jika empunya diri sendiri tidak rajin melakukan promosi. Dia sendiri sudah dua kali menjelajah negara menemui pelanggan dan bakal ejen yang berminat.
Dengan kemajuan dicapai syarikat terbabit, Nazrey berharap, projek pembinaan kompleks tahfiz yang diimpikannya itu dapat dilaksanakan pada tahun depan.
"Sebenarnya, tapak untuk membina kampung tahfiz itu sudah ada, cuma pihak kami hanya menunggu dananya. Tetapi, apabila difikirkan kembali, rasanya ia lebih mudah dicapai jika kami jalankan juga perniagaan. Pada masa yang sama, saya amat alu-alukan pihak yang berminat untuk membantu pembinaan kompleks berkenaan," katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai minyak pelincir yang mampu meningkatkan prestasi enjin kereta sehingga 15,000 kilometer itu, mereka boleh melayari laman sesawang www.titanloyal.com atau hubungi Md Noor 019-4568490, Azman 012-3971566 dan Nazrey sendiri 012-9131566. Mereka juga boleh menulis ke alamat titantime4u@yahoo.com.
"Kami giat mencari ejen di setiap negeri bagi memasarkan minyak pelincir ini dan cara rangkaian pemasaran efektif bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya. Pada masa yang sama, kami ingin memberikan atau menjana pendapatan tambahan buat mereka," kata Nazrey.
Nazrey kembali rakam album
BERASAKAN lagu dendangan kumpulan nasyid hari ini sudah ‘berlebih-lebihan’, Nazrey ingin kembali merakamkan album berteraskan lagu asas bagi projek ketiganya bersama Inteam Records.
Kata Nazrey, melihat kepada perkembangan lagu nasyid ketika ini, kebanyakan lagunya bersifat agak berat dengan mengutarakan tema persahabatan mahupun percintaan.
"Walaupun saya sendiri sudah mempunyai dua album solo, Syahadah (2007) dan Memori Nostalgia The Zikr (2008), namun saya tidak mempunyai banyak lagu asas yang bercerita mengenai sembahyang, wuduk, mengaji dan sebagainya. Jadi, pada ketika artis nasyid lain ‘terover-over’ dalam muzik mereka, biarlah saya tenangkan sedikit keadaan dengan mengetengahkan lagu asas pula," katanya.
Menurutnya, lagu asas tidak memerlukan peralatan muzik yang rumit sebaliknya ia banyak bergantung kepada sentuhan genderang.
"Ketika ini, kami giat mengumpulkan bahan yang dirasakan sesuai untuk dimuatkan dalam album solo ketiga ini. Selain saya sendiri, tentunya karya Ito Lara dan kumpulan Inteam sendiri bakal dimuatkan sama," katanya yang menjangkakan proses rakaman bakal bermula Julai ini.
Bukan sebuah album yang bakal menyaksikan kemunculan artis bersuara lunak itu sepanjang tahun ini, bahkan Nazrey turut menerima undangan khas merakamkan sebuah lagu bagi album nasyid yang menghimpunkan artis Indonesia. Ia diusahakan oleh guru vokal terkenal Esa Putra dari Bandung.
"Haji Esa seorang guru vokal terkenal di Indonesia. Ramai juga penyanyi terkemuka negara itu yang pernah menuntut ilmu daripadanya. Saya sendiri sempat belajar serba sedikit bersama guru vokal ini.
"Keistimewaannya ialah apabila dia tidak memaksa kita mencipta teknik nyanyian mahupun suara baru. Sebaliknya, dia mendengar nyanyian kita dan kemudian memberikan petua bagaimana untuk menambah kekuatan vokal," katanya yang mungkin merakamkan lagu berkenaan sekitar Julai.
Kata Nazrey, dia aktif merakamkan lagu nasyid bukan kerana mengejar populariti. Sebagai artis nasyid, dia sudah pun mengecap nikmat kemasyhuran itu buat beberapa ketika. Kini, tiba masanya dia menghasilkan lagu dalam genre itu bagi memastikan industri muzik tanah air tidak kosong dengan lagu bercorak demikian.
"Sekarang, saya berkarya untuk mengekalkan irama nasyid dalam industri kita. Memanglah pasaran album sedang merudum, tetapi saya berasa agak bertuah apabila terus diberikan peluang untuk menghasilkan album sedangkan kebanyakan kumpulan nasyid sudah mula mendiamkan diri. Kini, hanya artis nasyid yang mempunyai nama agak kuat saja terus aktif," katanya.
Sumber : BERITA HARIAN
BERITA @ FN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
2 comments:
Tahniah...moge kome berjaye...
moga usaha murni ni akan trus terlaksana bagi memastikn masyarakt d sabah turut dpt menghayati keindahan isalm
Post a Comment