Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Sunday, September 13, 2009

TAHAJJUD CINTA "NASKHAH DAKWAH SITI"

Album kerohanian pertama Siti




Menyaksikan persembahan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mendendangkan lagu Ku Percaya Ada Cinta sewaktu pelancaran album terbarunya, Tahajjud Cinta, seorang teman mengulas pendek, 'Umpama mendengar suara bidadari mengalunkan irama dari syurga.'

Walaupun kami tertawa apabila, ulasannya yang turut dipanjangkan dalam Facebook dibalas seseorang, 'Pernahkah mendengar suara bidadari?' ternyata kelunakan suara penyanyi nombor satu negara itu tiada tandingan.

Meninggalkan majlis pelancaran di kompleks beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur itu dengan jam di tangan menunjukkan hampir pukul 11 malam, cakera padat (CD), Tahajjud Cinta dipanjangkan ke pemain CD kereta.

Trek demi trek lagu daripada permulaannya Asma Ul Husna sehinggalah trek terakhir, Selawat dihabiskan untuk menjadi santapan halwa telinga. Sendirian dalam larut pekat malam, halwa telinga dan jiwa tiba-tiba tertangkap dan sangat tersentuh pada lagu Pintu Rindu dan Tahajjud Cinta.

Gemersik dan lemak merdu suara jelitawan bernama Siti terasa menusuk jiwa. Tatkala Siti melantunkan lirik lagu Tahajjud Cinta, 'Ku haus di tengah laut, lemas mencari tempat berpaut, kirimkan aku kekuatan, peta pedoman di kesesatan...,' perasaan hiba dan syahdu mula menerpa.

Tatkala itu hati saya membenarkan apa yang dikatakan teman tadi, Siti bagaikan seorang bidadari, membawa bingkisan untuk pedoman bersama.

"Tahajjud Cinta bukanlah hujah atau ceramah tetapi satu amanah. Apa sahaja yang diperoleh daripadanya diharapkan akan bercambah menjadi sesuatu yang baik serta melimpah sejuta rahmat dan hikmah," demikian ungkap Siti mengenai bingkisan album barunya itu.

Mencuri sekitar setengah jam waktu penyanyi itu sewaktu sibuk melayan tetamu dan peminatnya di restoran eksklusif, Teeq Brasserie di atas bumbung Lot 10, Siti melontar keterujaannya dengan naskhah Tahajjud Cinta.

Betapa tidaknya, selepas 13 tahun menghasilkan satu demi satu album, inilah album sulung kerohanian daripada anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu.


SITI menghasilkan Tahajjud Cinta yang menjadi album kerohanian pertamanya selepas terlibat dalam bidang seni selama lebih 13 tahun.


"Album kerohanian bukan mudah untuk dihasilkan. Ia memerlukan kekuatan dalam diri. Siti bersetuju dan yakin untuk menghasilkan album yang sepenuhnya dengan mesej kerohanian selepas Siti terlibat dalam teater Sirah Junjungan di Istana Budaya awal tahun ini," bicara Siti saat diajukan pertanyaan mengapa baru sekarang Siti tampil dengan album kerohanian.

Tanpa mahu berselindung, Siti jujur mengakui Tahajjud Cinta memerlukan penumpuan dan penjiwaan yang lebih daripadanya.

Selain mengumpulkan lagu-lagu yang tampil dengan melodi indah dan unik, lagu-lagu dalam bahasa Arab menuntut Siti belajar sebutan dan tajwid yang betul.

Kerana itu, Siti mengambil khidmat bekas ahli kumpulan Brothers, Salleh untuk mengajar dan membetulkan setiap lontaran sebutan bahasa Arabnya.

Bahkan, ungkap penyanyi yang menjadi permaisuri hati ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, antara lagu yang paling mencabar baginya sepanjang penghasilan album itu ialah Asma Ul Husna.

"Kalau rakamkan album pop biasa, kita menjiwai lagu itu dengan menggambarkan pelbagai perkara termasuk cinta antara manusia atau perkara yang indah-indah. Tetapi untuk lagu kerohanian, penjiwaan kita tentunya kepada yang Esa.

"Tetapi kalau ditanya tentang lagu yang paling mencabar tentunya bagi Siti lagu Asma Ul Husna. Lagu-lagu lain mungkin hanya lebih kepada penjiwaan, sebab ia dalam bahasa Melayu. Tetapi lagu Asma Ul Husna memerlukan Siti menyebut 99 nama Allah dengan tajwid yang betul," ujarnya.

Turut menggemari lagu Asma Ul Husna pada trek satu Tahajjud Cinta, bagaimana pun Siti memberitahu lagu tersebut tidak menjadi single pertama album itu.

Katanya, lagu Ku Percaya Ada Cinta yang dicipta oleh komposer terkenal, Audi Mok dan nukilan liriknya oleh Habsah Hassan dipilih sebagai single pertama Tahajjud Cinta.

"Ku Percaya Ada Cinta sangat unik dari segi melodinya. Adunan pelbagai jenis melodi termasuk balada dan Timur Tengah sangat indah.

"Apatah lagi, Audi Mok juga bukan nama baru dalam industri muzik tanah air kerana menghasilkan banyak lagu yang bagus.

"Bagaimanapun kalau ditanya apa lagu kegemaran Siti, keindahan Asma Ul Husna sangat menyentuh hati Siti. Cuma oleh kerana lagu tersebut agak panjang iaitu sekitar 6 minit menyebabkan mungkin stesen radio susah memainkan Asma Ul Husna," ujar Siti sambil mengharapkan stesen radio seperti Ikim.fm tidak keberatan memutarkan Asma Ul Husna biarpun lagu itu agak lama tempohnya.

Namun begitu, meneliti bait-bait indah lirik lagu Ku Percaya Ada Cinta, ada yang melontarkan pertanyaan, adakah ia sebuah lagu yang mengungkapkan perjalanan kisah cinta Siti.

Tidak menolak kemungkinan ia sedikit sebanyak menterjemah kisah cintanya, Siti memberitahu bagaimanapun dia tidaklah meminta Habsah menulis lirik seperti itu secara langsung.




"Bila kita dapat lagu ini daripada Audi, Siti minta Kak Rozie (Rozie Abdul Razak) untuk memberikannya kepada Kak Habsah. Liriknya pula Siti minta biarlah berkonsepkan ketuhanan agar sesuai dengan album kerohanian ini.

"Mungkin oleh kerana Kak Habsah antara orang yang rapat dengan Siti, sebab itu dia boleh menterjemahkan lirik itu yang mungkin ada sedikit kaitan dengan kisah Siti," ujar Siti yang bakal menunaikan umrah bersama suaminya dari 14 hingga 19 September ini.

Tidak meletakkan sebarang sasaran jualan untuk album Tahajjud Cinta beritahu diva yang sudah merakam 14 buah album studio, album tersebut dibuat kerana Allah selain memberikan kegembiraan kepada dirinya.

"Siti tidak melakukannya untuk nama atau harga kerana Tahajjud Cinta membuktikan seni tidaklah sejelik yang disangka malah, mampu menjadi karya yang menyentuh terus ke jiwa," nukilnya mengenai album yang memuatkan lapan lagu itu.

Membenarkan ungkapan Siti, 'Biar kita syahdu dialunkan oleh lagu hingga air mata menitis merenung kekesalan dan bangkit mengenal siapa kita', hakikatnya Tahajjud Cinta adalah naskhah murni seru dakwah Siti.

Sumber : KOSMO

BERITA @ FN



Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More