Tingkat promosi album ketiga untuk lebih dikenali peminat
MUNGKIN nama Assaufee tidak popular seperti kumpulan nasyid Rabbani, Raihan mahupun Hijjaz, tetapi itu tidak bermaksud mereka tidak hebat atau tidak diminati ramai.
Pernah menjuarai carta Nasyid Minggu Ini (NMI) menerusi lagu Rindu Kekasih selama 11 minggu berturut-turut mengatasi pencapaian lagu Al-Jannah nyanyian Mawi, kumpulan ini dilihat lebih gemar bergerak secara 'senyap' tanpa pendedahan media.
Bukan tidak mahu atau sengaja menjarakkan diri dari media, cuma anggota Assaufee ketika itu lebih tertumpu pada kerjaya tetap dan hanya memperjuangkan irama nasyid mereka apabila mempunyai kelapangan masa. Malah, ada anggotanya menetap di luar Kuala Lumpur menyebabkan arus perjalanan seni Assaufee agak perlahan berbanding kumpulan nasyid lain. Menyedari perjuangan mereka belum berakhir Assaufee yang ditubuhkan sejak 1999 itu dan dianggotai seramai lima orang iaitu Mohd Fakhrul Idzhan Mazlan, Hafiz Mahmood, Ahmad Radzuan Idris, Nazrul Azwan Ahmad Sabri dan Faizal Mohd Sapri ingin menembus kembali kesilapan masa lalu dengan bergiat lebih aktif.
Tidak bermaksud melepaskan kerjaya tetap begitu saja semata-mata karier seni kerana ada yang bertugas sebagai pendidik dan pengurus, kali ini mereka komited untuk seimbangkan kedua-duanya agar semua berjalan lancar dan mengikut jadual dirancang. Ketika ditemui pada sesi fotografi Rap di Balai Berita, baru-baru ini beritahu Faizal, impian Assaufee untuk lebih dekat dengan media bukanlah disebabkan faktor 'populariti' semata-mata.
"Kami akui Assaufee tidak terkenal kerana kurang promosi dan masing-masing sibuk dengan komitmen kerjaya tetap. Selain itu, ada yang menetap di luar Kuala Lumpur menyebabkan proses promosi agak sukar sikit. "Dengan masa terhad, kami terpaksa melupakan impian mempopularkan Assaufee. Mungkin pendedahan media terhadap nama Assaufee agak tidak menyerlah berbanding kumpulan nasyid lain, tetapi bagi penggemar irama muzik nasyid, mereka mengenali dan mengetahui lagu-lagu kami.
"Malah, setiap bulan jadual Assaufee akan terisi dengan undangan persembahan dan ini secara jelas membuktikan peminat mengetahui kewujudan kami. Cuma, dulu kami tersilap atur kerana terlupa mendekatkan diri dengan media untuk tujuan promosi. "Bukan tidak suka, cuma seperti apa diperkatakan tadi yang kami agak sibuk hingga lupa tujuan promosi walhal ia perkara penting apabila menceburkan diri dalam industri hiburan tempatan.
"Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk seimbangkan kedua-duanya antara kerjaya tetap dan Assaufee. Kami juga berusaha merancang strategi terbaru berhubung dengan media bagi tujuan promosi. Sejajar dengan tahun baru, kami komited bekerja keras mempopularkan Assaufee. "Tanpa pertolongan media, sudah tentu perancangan ini tidak akan menjadi.
Di sebabkan itu, ketika ini kami berusaha mencari mana-mana ruang untuk menjalin ikatan baik dengan media bagi tujuan promosi. "Tetapi, kami harap orang luar jangan salah faham pula. Tujuan kami mendekati media bukanlah kerana ingin kejar populariti.
Assaufee tetap seperti dulu di mana matlamat utama kami menyebarkan dakwah Islam menerusi lagu dan muzik. Cuma, kami rasa sudah tiba masanya kami ke depan bersama kumpulan nasyid lain bagi meningkatkan kesedaran terhadap agama.
"Kalau dilihat ketika ini ramai remaja Islam mudah terikut-ikut kehidupan dunia barat. Jadi, kami rasa irama nasyid amat sesuai dijadikan sebagai panduan, nasihat dan peringatan akan kepentingan agama dalam kehidupan seseorang manusia," katanya. Sesi fotografi pada petang itu, bagaimanapun tidak dapat dihadiri dua anggotanya, Mohd Fakhrul dan Nazrul Azwan kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Mengenai perkembangan terkini, Assaufee kini sibuk dalam proses menerbitkan album ketiga mereka yang dijangka siap tahun ini.
Selepas menerbitkan album pertama, Keinsafan pada 2001, album kedua, Rindu Kekasih (2007), Assaufee mengambil masa tiga tahun untuk melahirkan album ketiga. Menjanjikan kelainan, lagu yang bakal dimuatkan dalam album baru nanti akan melihat satu transformasi ketara berbanding sebelum ini. Mereka yang sebelum ini mengetengahkan nasyid klasik, kali ini menampilkan konsep pop-world muzik.
"Walaupun kami menukarkan konsep muzik, tetapi elemen tradisional atau asas nasyid masih ada. Tujuan kami, biarlah Assaufee diterima ramai dan bukan tertumpu di kawasan setempat saja. "Kami juga berharap perjuangan Assaufee memenuhi permintaan global, remaja masa kini dan disebabkan itulah kami membuat keputusan menukar konsep agar ia bersesuaian dengan kehendak semasa.
Bagaimanapun, elemen tradisional atau asas nasyid masih kami tekankan. "Ketika ini, dua lagu sudah siap dirakam iaitu Gerbang Hidayah dan Sinar Yang Calar. Kami mengambil masa untuk lahirkan album ketiga kerana ingin menambahkan lagi kualiti lagu selain proses transformasi yang akan ditampilkan nanti," katanya.
Sila layari website rasmi Assaufee : Klik
Wallpaper ASSAUFEE
Credit to : Assaufee Multiply
BERITA @ FN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
0 comments:
Post a Comment