KREDIBILITI penyanyi dan pendakwah bebas, Akhil Hayy yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan tidak perlu disangkal lagi. Pendekatan 'rakan sebaya' yang digunakan sedikit sebanyak berjaya menarik generasi muda ke arah kebaikan dan berkelakuan terpuji.
Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan daripada pelbagai pihak yang tidak 'merestui' perjuangannya, namun Ustaz Akhil tidak pernah rasa berputus asa.
Baginya, apa sahaja nasihat yang terkeluar dari mulutnya itu itu adalah ingatan tanpa sebarang motif melainkan ikhlas kerana Allah Taala.
Anak jati Kampung Gunung Mesah Hilir, Gopeng, Perak ini berpendirian ia adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya. Seperti yang termaktub dalam hadis yang berbunyi "Sampaikan pesanan Rasulullah walaupun hanya sepotong ayat.''
Ada pihak juga yang mempertikaikan gelaran 'ustaz selebriti' yang disandangnya. Bagi mereka tidak layak. Semua alasan itu ustaz Akhil dapat terima. Tetapi ada satu perkara yang menyentap hatinya.
Isu 'paparazi' yang menangkap gambar isterinya, Waheeda yang kini berimej baru - berpurdah semasa mereka keluar bersama. Gambar itu kemudiannya dimuat naik ke Internet.
Benarkah Waheeda sudah berpurdah ustaz?
Iya. Sudah. Memang benar, isteri ana sudah berpurdah sekarang.
Apakah ustaz yang minta dia tukar imej?
Itu semua atas kerelaan hatinya. Dia memakai purdah atas kerelaan hatinya, terbit dari rasa keinsafan yang lahir pada dirinya sendiri. Bukan atas desakan ana sebagai suaminya atau orang lain. Ana tidak pernah melarang atau menggalakkan Waheeda memakai purdah. Ana juga memberi kebebasan penuh untuk memilih mana yang terbaik buat dirinya. Ana memang suaminya tetapi ana tidak pernah memaksa Waheeda memakai purdah.
Ustaz gembira dengan perubahan imej Waheeda?
Alhamdulillah. Ana bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang sempurna. Tetapi ana tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan Waheeda di mata semua orang. Biarlah ana dan Allah sahaja yang tahu.
Bagaimana gambar Waheeda berpurdah itu boleh tersebar ustaz?
Entahlah. Ana pun tidak tahu. Gambar itu diambil semasa kami keluar bersama. Tidak ada yang perlu dikecohkan. Waheeda masih orang yang sama.
Habis itu, macam mana boleh timbul spekulasi atau cakap-cakap kurang enak mengenai pemakaian purdah isteri kesayangan ustaz itu?
Ana rasa kurang elok sekiranya hasrat murni Waheeda itu didedahkan secara terang-terangan. Ana rasa kurang adil sekiranya individu yang merakam gambar kami itu kemudiannya memuat naik gambar Waheeda di Internet. Ada pula patah perkataan 'kurang enak' yang ditulis. Kenapa perlu ada cakap-cakap sebegitu?
Mungkin orang berkenaan tidak berpuas hati dengan ustaz kot?
Yang itu berada di luar kawalan, seperti ada pihak yang mengatakan ana tidak layak memberi sebarang kuliah agama. Alasannya, ana tiada tauliah.
Benarkah ada pihak yang mengatakan keputusan Waheeda meninggalkan dunia hiburan juga atas desakan ustaz?
Itu tidak benar sama sekali. Waheeda yang membuat keputusan itu. Dia tidak mahu terlibat langsung dalam dunia hiburan. Dia mahu menguruskan rumah tangga. Ana kena hormat permintaan dia.
Habis itu, Waheeda buat apa sekarang ini?
Dia menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Menguruskan rumah tangga, jaga anak-anak, kini terletak di bahunya.
Ada pihak yang mempertikaikan kelayakan ustaz dengan mencampur-aduk urusan rumah tangga dengan kerjaya? Sejauh mana kebenarannya?
Yang itu ana tidak pasti. Terpulang kepada niat individu masing-masing. Sebab sebagai orang beriman, ana tidak akan dan tidak mahu buruk sangka dengan orang lain.
Tadi ustaz cakap, isu ustaz kena 'gam' sebab tiada pentauliahan ini mengganggu ustaz? Apa sebenarnya yang terjadi?
Begini. Secara ringkas apa yang ana buat adalah kerana Allah. Sejak 15 tahun lalu, ana berdakwah tiada siapa pula yang menghalang. Bila ada peristiwa itu dan ini, terus 'gam' ana. Apa ini?
Habis itu, macam mana ustaz tangani isu ini?
Ana minta pihak berkenaan membuka minda mereka. Jangan terkongkong dengan cara pemikiran lama. Jangan juga dilihat kepada penampilan seseorang itu. Beri perhatian isi pengajaran yang ingin disampaikan. Ana tidak mahu memakai 'topeng' baik untuk memperlihatkan kebaikan ana kepada orang ramai.
Sumber : UTUSAN
Copyright 2009 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
1 comments:
hmmm.. ana rasa perbuatan ustaz tu elok...cumanya yelah manusia ni x sumer y bpuas hati dan suka ngan prubahan seseorg y drastik kan... mudah2an ustaz bleh mbimbing kluarga y baru ni.. y lepas tu biarlah mjadi pedoman... mudah2an kekal hingga akhir hayat... juga jgn lupa tggjawab ustaz pd bekas isteri.....
Post a Comment