BERITA @ FN IKIM FM terap konsep 3M |
|
SETIAP stesen radio tidak kira sama ada yang dimiliki oleh kerajaan atau swasta mempunyai motto, konsep mahupun pendekatan rancangan untuk para pendengar.
Stesen radio IKIM FM misalnya, menggunakan pendekatan yang berkonsepkan 3M iaitu mendidik, menghibur dan menyampaikan maklumat buat para pendengarnya.
Pengarah Radio IKIM FM yang baru, Nik Roskiman Abdul Samad berkata, sebagai sebuah stesen radio berteraskan Islam, konsep itu diharap dapat memberi manfaat buat pendengar setia.
"Konsep 3M ini kami tekankan kepada para pendengar sejak penubuhan radio ini sembilan tahun lalu. Konsep 3M membezakan kami dengan radio-radio yang lain.
"Dalam konsep ini, kami pecahkan nisbahnya sebanyak 70 peratus yang bertujuan mendidik dan memberi kefahaman tentang Islam sesuai dengan nama IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) itu sendiri.
"Banyak perkara yang masyarakat kurang faham tentang Islam akan diutamakan dalam segmen-segmen siaran kami.
"Sementara 30 peratus lagi daripada waktu siaran IKIM FM akan diisi dengan lagu-lagu yang bersesuaian dengan Islam," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi mencernakan konsep 3M di kalangan pendengarnya, radio yang terletak di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri itu juga sentiasa melakukan pelbagai perubahan.
Perubahan itu antara lain dikenali sebagai penjenamaan semula segmen-segmen dalam IKIM FM diharap akan menarik lebih ramai pendengar mengikuti siaran stesen tersebut.
Menurut Nik Roskiman, penjenamaan semula segmen-segmen dalam stesen radio milik kerajaan itu yang pertama dilakukan selepas hampir sembilan tahun ia bersiaran.
"Dalam tempuh sembilan tahun, ini adalah kali pertama kami melakukan penjenamaan semula dalam segmen-segmen di IKIM FM. Ia bagi memberi kesegaran kepada para pendengar.
"Semua 100 peratus segmen dalam siaran IKIM FM kami tukar sedikit demi sedikit mulai beberapa bulan lalu. Ia sejajar dengan sambutan ulang tahun IKIM FM pada awal Julai nanti," ujarnya.
Katanya, antara 44 rancangan yang menepati konsep 3M dalam penjenamaan baru stesen radio itu ialah Citra IKIM, Visi Islam, Dunia Ekonomi, Isu Semasa dan Cabaran Pemikiran Masakini.
Sementara segmen Suri merupakan suatu penghargaan IKIM FM kepada para surirumah yang merupakan antara pendengar tertinggi dalam suatu kajian baru-baru ini.
Sejak ditubuhkan hampir sedekad lalu, radio yang dibarisi oleh 12 penyampai tetap dan lima penyampai sambilan telah melalui perkembangan yang cukup memberangsangkan.
Sebagai contohnya, mengikut suatu kajian oleh sebuah badan bebas, Nielsen Survey sehingga 6 Oktober tahun lalu IKIM FM berjaya mencatat seramai 719,000 purata pendengar.
Antara segmen popular di radio itu ujar Nik Roskiman ialah Haya Bil Arabiah di mana ia tentang pembelajaran bahasa Arab yang semakin popular di kalangan masyarakat hari ini.
"Kami dapati sudah ada kecenderungan orang ramai mahu mempelajari bahasa Arab yang juga merupakan bahasa al-Quran sejak akhir-akhir ini. Lagu-lagu yang kami siarkan juga pelbagai.
"Kami tidak hanya menyiarkan lagu-lagu nasyid tetapi juga dalam bahasa lain termasuklah Inggeris asalkan lirik dan temanya tentang ketuhanan dan nilai moral yang baik," ujarnya.
Bagi mempopularkan lagi IKIM FM, pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini akan mempromosikan para penyampainya.
Jelas bekas pensyarah di fakulti Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM ini, beliau akan mengatur pelbagai aktiviti memperkenalkan para penyampai IKIM FM kepada khalayak.
Sumber : UTUSAN
Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
2 comments:
saya cuba cari laman web tapi rasanya masih belum beroperasi. Saya rasa laman web pun berperanan untuk meningkatkan rating.. betul tak..
rasenya UmmuFatihah boleh lihat web Teman IKIM disni :
http://www.temanikim.com/community/default.php
Memang betol,setiap pengunjung akan memainkan peranan mereka menaikkan rating Blog/Webstie...dan segala maklumat perlu diupdate dan dikemas kini,agar pengunjung x jemu...betol x? hehhe
Post a Comment