BERITA @ FN
Gabungkan nasyid, indie, rock
|
|
MUZIK itu sifatnya universal. Biarpun mengangkat jalur muzik nasyid kontemporari dan ketuhanan, ia bukan menjadi halangan buat grup nasyid membentuk formasi Far East untuk beralih angin. Demi memenuhi tuntutan atmosfera semasa, mereka sanggup melakukan perbezaan daripada kumpulan lain.
Enggan membataskan kotak fikir bahawa pelantun lagu-lagu aliran sama selayaknya hanya perlu mempersembah karya berunsur kerohanian diiringi melodi perlahan dan mendayu-dayu, grup dibentuk pada tahun 2001 itu mengambil kata putus keluar sedikit dari kepompong asal.
Bukan bermakna secara total menongkah arus daripada ciri khas yang kukuh mereka pegang selama ini. Ia bagaimanapun melibatkan transisi kecil dianggap mampu menebarkan lebih meluas jenama Far East kepada peminat terutama generasi baru.
Menurut salah seorang ahlinya, Fadzli, Far East yang memiliki tiga buah album studio sebelum ini sentiasa mengenengahkan himpunan idea baru bagi mempermudahkan perjalanan dan langkah kumpulan tersebut.
"Kalau boleh kami mahu lari sikit daripada konsep sebelum ini dengan menggabungkan elemen nasyid bersama pemuzik indie atau rock. Terus terang, kami tidak berdepan masalah menonjolkan pembaharuan kepada peminat agar tidak dilihat berada di takuk lama.
"Sebagai permulaan, Far East bekerjasama dengan komposer terkenal, Adnan Abu Hassan menyanyikan lagu ciptaannya, Aman yang dimasukkan dalam album keempat ini. Ia menyelitkan irama rap yang berlawanan daripada cara persembahan kami," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran album keempat Far East, Halawatul Iman II - Saat Lafaz Sakinah di ibu negara minggu lalu.
Selain Fadzli atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Bakar, jentera Far East turut diperkukuhkan bersama Azwan Ibrahim, Shairiman Badzri dan Nabil Ahmad.
Menganggap kolaborasi dengan Adnan sebagai salah satu strategi memikat hati pendengar terutama peminat baru, Far East menganggap sudah tiba masa mereka meneroka dengan lebih meluas muzik nasyid.
"Jalan dakwah lebih luas sebenarnya selepas kami buat pemerhatian dan kajian terperinci. Tidak dinafikan, Far East boleh menggunakan pelbagai kaedah menyalur maklumat tentang keindahan Islam kepada orang ramai di luar sana.
"Cuma dalam apa jua dilakukan, kami sentiasa berpegang pada formula mementingkan lirik terlebih dahulu daripada melodi dan lagu. Setiap orang lain caranya. Tetapi, ini stail kami yang terbiasa diamal sejak bertahun-tahun lalu bagi menzahirkan mesej tertentu.
"Begitupun, Far East tahu ukur kemampuan sendiri dalam menampilkan kelainan. Contohnya lagu rock yang ingin dinyanyikan, perlu seimbang dengan muzik nasyid kami. Atau dalam erti kata lain, ia tidak keterlaluan," jelasnya tentang Far East yang ingin merakamkan lagu dalam bahasa Tamil untuk naskhah seterusnya.
Kesinambungan album ketiga
Memunculkan Halawatul Iman II - Saat Lafaz Sakinah, Fadzli mentafsirkan album keempat itu kesinambungan naskhah ketiga Far East, Halawatul Iman yang sebelum ini menerima sambutan memberangsangkan di kalangan peminat nasyid.
"Kami masih mengekalkan konsep tarannum seperti album-album terdahulu. Malah, temanya masih mengangkat soal cinta yang menyeluruh untuk pendengar matang dan hendak memulakan atau sudah berada dalam sebuah institusi kekeluargaan.
"Lagu-lagu berunsur tarannum ini memiliki signifikan sendiri kepada Far East kerana ia merupakan warisan zaman sahabat Rasulullah. Kalau satu hari album ini tercalon dalam mana-mana anugerah, ia merupakan kemenangan Islam secara sepenuhnya.
"Kami hanya melagukan dengan sebaik mungkin sambil meminta tunjuk ajar daripada individu pakar bertarannum bagi menjaga setiap sebutan dan lenggoknya," kata Fadzli yang mula didekatkan dengan tarannum oleh keluarganya sejak berada di bangku sekolah rendah.
Selain Adnan, Far East turut bekerjasama dengan beberapa nama seperti Fauzi Marzuki, Hafiz Hamidun, Eddie Marzuki, Greg Henderson dan ramai lagi bagi menyudahkan Halawatul Iman II - Saat Lafaz Sakinah yang dianggar sekitar tiga bulan sahaja.
Antara lagu yang dimuatkan dalam naskhah itu adalah Ala Baladi, Saat Lafaz Sakinah, Keunggulan Insan Berteraskan Al-Quran, Syahdu, Mabrur, Safa Marwah dan Maafkan Ibu Tidak Sempurna.
Peminat boleh mendapatkan album Halawatul Iman II - Saat Lafaz Sakinah yang diterbit dan diedarkan oleh Inteam Records Sdn. Bhd. itu dengan harga RM25.90. Sudah berada di pasaran, ia juga boleh dibeli secara laman maya dengan melayari www.inteammobile.com.
Sumber : KOSMO
Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]
0 comments:
Post a Comment