Browsers Compatible

Internet Explorer 8 for Windows Vista  Opera Browser  Chome Browser  Safari Browser  Flock Browser Firefox Browser


Thursday, July 29, 2010

FINALIS AKADEMI AL QURAN ( AQ 4 ) SIAPAKAH BERGELAR JUARA ?

BERITA @ FN

EMPAT PESERTA LAYAK KE PERINGKAT AKHIR

Peserta AQ 4

Pelbagai cabaran dan rintangan telah dilalui dengan tabah selama 8 minggu di dalam program realiti Akademi Al-Quran musim ke 4 (AQ4) ini, namun hanya 4 dari 12 peserta sahaja yang layak ke peringkat akhir pertandingan berbentuk ilmiah ini.

Berlandaskan kemahiran dan semangat jati diri yang teguh, kini tiba masanya seorang daripada mereka meraih gelaran Juara Akademi Al Quran Musim ke 4.

Empat finalis bertuah yang berjaya meneruskan perjuangan untuk bergelar Qari dan mara ke peringkat akhir AQ4 adalah Husni bin Ali Hassan (25 tahun), Muhammad Ahmad Zahid (15 tahun) dan pasangan adik-beradik, Ahmad Tirmizi Ali (25 tahun) dan Yahya Ali (23 tahun).

Program realiti 13 episod yang bertujuan untuk melahirkan generasi Al-Quran yang cemerlang ini telah berjaya mendedahkan ilmu-ilmu bacaan Al-Quran seperti ilmu tajwid, tarannum, bayati, qiraat dan pecahan-pecahan qiraat yang banyak membantu mereka dalam memperbaiki dan memantapkan cara bacaan Al-Quran.

Program realiti berbentuk ilmiah ini menerima sambutan yang amat menggalakkan sejak ia disiarkan sehingga berjaya menarik perhatian lebih 600,000 penonton.

Program yang dihoskan oleh Ustaz Mohd Zamri Bin Hj. Mohd Zainuldin, Sharifah Khasif Fadzilah dan Khairul Noormaaidah (Aida) ini turut menonjolkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh peserta dalam pelbagai aktiviti luar dan aktiviti kemasyarakatan seperti bersukan, gotong-royong, melawat rumah-rumah kebajikan supaya penerapan nilai-nilai murni dapat berdiri teguh dalam sanubari mereka. Sememangnya pembabitan golongan remaja ini sedikit sebanyak telah mempertingkatkan usaha TV9 dalam menggalakkan pembacaan Al-Quran dan memantapkan ketaqwaan di kalangan muda-mudi pada zaman moden ini.

Sepanjang pertandingan Akademi Al-Quran Musim 4 dijalankan, peserta turut dinilai melalui pembacaan mereka, malah ilmu pengetahuan mereka dalam mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran juga diambil kira supaya mereka lebih menghayati kandungan kitab suci Al-Quran.

Hadiah menarik turut disediakan untuk pemenang. Antara hadiah menarik yang ditawarkan adalah :

Juara Akademi Al-Quran 4
• Trofi AQ4 sumbangan ZRA Glocal Sdn Bhd.
• Wang tunai berjumlah RM30,000 daripada TV9.
• Pakej umrah tajaan Irna Yakin Sdn Bhd
• Sebuah digital Al-Quran daripada Enmac Sdn Bhd

Naib Juara Akademi Al-Quran 4
• Wang tunai berjumlah RM15,000 daripada TV9.
• Sebuah digital Al-Quran daripada Enmac Sdn Bhd
• Trofi AQ4 sumbangan ZRA Glocal Sdn Bhd.

Pemenang Ketiga Akademi Al-Quran 4
• Wang tunai berjumlah RM10,000 daripada Mutiara Jati Sdn Bhd
• Sebuah digital Al-Quran daripada Enmac Sdn Bhd
• Trofi AQ4 sumbangan ZRA Glocal Sdn Bhd.

Pemenang Keempat Akademi Al-Quran 4
• Wang tunai berjumlah RM2,000 daripada TV9.
• Sebuah digital Al-Quran daripada Enmac Sdn Bhd

Juri-juri Akademi Al-Quran Musim 4 yang banyak memperbaiki kelemahan peserta ini terdiri daripada Ustaz Mohd Nazeri Abdullah (qiraat), dan Ustaz Radzi Kamarul Hailan (tarannum) dan Ustazah Asni Mansor (tajwid dan fasohah). Sementara itu, AQ4 ini diterajui oleh penerbit eksekutif Wan Sabariah Shikh Ali dan penerbit Shukri Haji Ibrahim.

Peringkat akhir Akademi Al-Quran Musim 4 yang dijangka sengit dan mendebarkan ini akan disiarkan secara langsung pada 6 Ogos 2010 (Jumaat) bermula 9.00 malam hingga 11.00 malam dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sumber : BUDIEY


Copyright 2010 .::FENOMENASYID Islamic Entertainment::.
[ INTERAKTIF HIBURAN ISLAM ]

0 comments:

Post a Comment

Blogroll


Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More